Segala puja, puji dan syukur hanya layak untuk Allah s.w.t. Selawat dan salam buat junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w, para Sahabat, pemimpin-pemimpin agama Islam, muslimin dan muslimat serta seluruh pengikut Baginda s.a.w sehingga ke hari Kiamat.
Rasulullah s.a.w telah mengeluarkan umat manusia daripada gelap kejahilan kepada sinar kesejahteraan Islam, kecuali mereka yang enggan. Semoga kita digolongkan dalam kalangan yang sentiasa redha dengan cahaya Allah s.w.t.
Selaku seorang kawan, ku lakarkan coretan ini buat perkongsianmu dan buat sesiapa yang sudi menerimanya. Agar coretan ini juga dikira oleh Allah Taala sebagai satu usaha kecil seorang kawan untuk menolong kawan-kawannya.
Mahasiswa Islam dan Faqih
Kawan-kawanku sekalian,
Bersyukurlah kita dengan kurniaan yang amat besar ini. Kita masih lagi diberi peluang untuk memegang panji Islam di dunia ini. Tapi ingat! Islamnya kita sekarang ini bukannya kerana Ibu dan Ayah kita sudahpun Islam, tetapi kerana kita yang mahukan Islam!
Segalanya bermula dengan ‘kehendak’ kita sendiri. Berapa ramai yang telah dilahirkan dalam keluarga yang Islam tetapi kini dia sedang berusaha untuk lari dari Islam,??? dia menganggap Islam adalah musuhnya, Islam itu menyekat kebebasannya, Islam itu agama di masjid sahaja, dan Islam itu hanya untuk orang-orang tua sahaja.
Itu semua adalah atas ‘kehendak’ mereka sendiri. Siapa yang ‘berkehendak’ pada hidayah Allah, maka Allah akan bentangkan jiwanya seluas-luasnya untuk menerima Islam. Manakala siapa yang ‘berkehendak’ pada kesesatan, maka Allah akan sempitkn jiwanya sesempit-sempitnya daripada menerima Islam.
Mahasiswa Islam adalah mahasiswa yang berjiwa besar dan berlapang dada.
Sikap ‘berlapang dada’ yang ada pada mahasiswa Islam berperanan menonjolkan sikap toleransi dalam Islam. Islam adalah satu agama Toleransi. Namun toleransi itu juga perlu diikat pada suatu paksi yang kukuh supaya ia tidak terlalu bebas atau tidak terarah.
Pengikatnya adalah KEFAHAMAN dalam agama(Tafaqquh fi Din). Kerana ia akan membezakan antara Mahasiswa Muslim dan Mahasiswa Munafiq.!!
Kawan-kawanku,
“Sesiapa yang Allah Taala mahukan kebaikan untuknya, maka akan dikurniakan KEFAHAMAN dalam agamanya”
Oleh itu, tidak cukup sekadar kita bermegah dengan mengibarkan panji Islam itu sahaja, namun masih memerlukan pelengkapnya iaitu ‘Mahasiswa Faqih fid Din’.
Ibaratnya, orang yang tidak faham agama akan terus menerus mengibarkan panji Islam tanpa melihat kesesuaian waktu dan tempatnya, akibatnya mereka akan mudah letih dan bosan. Tetapi orang yang faham agamanya akan mengibarkan panjinya pada waktu dan tempat yang sesuai sehingga masyarakat sekeliling tidak terasa terganggu atau sakit dengan revolusi Islam itu sebaliknya menerimanya dengan senyuman.
Mahasiswa yang faqih tidak akan mudah melenting atau menghukum orang lain dengan kesilapannya, tetapi mereka akan berusaha memperbaiki kesilapan itu seterusnya memberi ruang dan peluang kepada orang lain untuk terus berasa nikmat hidup bersama Islam.
Mahasiswa yang faqih mampu berinteraksi dengan masyarakat di pelbagai lapisan dengan mudah. Kerana mereka betul-betul memahami akan tuntutan agama terhadap para mukallaf.
Oleh itu, ingatlah wahai kawan, sekiranya Ilmu itu boleh terhijab dengan para Mu’alliminnya, maka Islam ini juga mungkin akan terhijab dengan Muslimin itu sendiri.!!
Mahasiswa berzikir dan berfikir
Wahai kawan,
Kejarlah Qurbah Allah dengan menghidupkan amalan fardhu dan sunat!
Perhatikanlah banyak perintah dalam Al-Quran yang dimulakan dengan menunaikan solat. Kerana di situ ada sumber kejayaan, di situ ada sumber pertolongan, di situ ada taufiq dan di situ ada ketenangan. Walau dalam apa juga keadaan sekalipun, perintah menunaikan solat itu tidak akan luput ke atas seorang yang mukallaf.
Oleh itu, marilah wahai kawan, kita segera menunaikan solat di awal waktunya. Usahalah dengan sedaya upaya kerana ia membuktikan kesungguhan kita dalam menegakkan tiang agama. Lazimilah diri kita dengan jemaah dan berhati-hati daripada menjadi mangsa sang serigala.
Wahai kawan,
Sentiasalah sedar dan ingat pada sang Pencipta.! Doronglah diri kita untuk sentiasa berzikir kerana padanya ada ketenangan dan kesejahteraan. Didiklah diri kita dengan sentiasa membaca Al-Quran, menghafal dan memahami mesej-mesej yang terkandung dalamnya kerana ia adalah sebaik-baik zikir dan pedoman seorang hamba. Perbanyakkan amalan sunat kita agar ia mampu menghapuskan dosa-dosa kita yang terdahulu.
Wahai kawan,
Paksalah diri kita untuk menguasai bahasa Al-Quran. Jangan terlalu layan dengan kepayahan itu, tapi pandanglah pada kemuliaan yang ada padanya. Sudah lama kita mula mempelajari bahasa itu, tetapi kita mungkin tidak sedar bahawa setiap hari kita berdialog dengan Allah dengan bahasa itu dalam Solat. Amat cuailah kita jika kita gagal menguasai bahasa agama kita sendiri.!!
Wahai kawan,
Dalam mengejar qurbah Allah itu, perlu diingat….ia bukan setakat solat dan zikir di masjid atau di rumah sahaja. Mendekati jiwa masyarakat juga adalah satu cara mencapai qurbah Allah Taala. Berfikirlah untuk agama kita! Untuk diri kita! Untuk keluarga kita! Untuk kawan-kawan kita! Untuk masyarakat kita! Bagaimana nasib kita dan mereka di akhirat kelak..!?
‘Masa’ yang dikurniakan di dunia ini perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya. Berlaku adillah antara dunia dan akhirat kita! Berlaku adil dengan dunia bukan bermakna memenuhi segala kehendak dunia tetapi menjadikan ia sebagai alat untuk kita mencapai kejayaan di akhirat.
Walaupun selipar itu telah banyak berjasa pada kita. Dengannya kita mampu ke masjid dank e jamiah. Namun cara membalas jasanya bukan dengan menjunjungnya di atas kepala, tetapi tetap meletakkan ia di bawah tapak kaki. Malah bersyukurlah pada Allah kerana Dia telah mengurniakan selipar sebagai alat untuk kita berasa selesa di dunia dan mencapai qurbah pada Allah. Begitu juga dengan dunia.!!
Berfikir dan Bertadabburlah wahai kawan!!
Berapa ramai mahasiswa Islam yang sedang berkasih dan bercinta sesame manusia !? Berapa ramai pula mahasiswa non-muslim yang juga sedang bercinta dan berkasih !?
Berapa ramai mahasiswa Islam yang sedang makan dan minum. Berapa banyak juga lembu dan anjing yang juga turut makan dan minum. ?!
Berapa ramai mahasiswa Islam yang telah menerima nasihat dan teguran?! Berapa ramai juga Mat-mat rempit dan penagih dadah yang turut menerima nasihat itu?!
Kalaulah begitu, apa bezanya kita dengan non-muslim itu, apa beza kita dengan lembu dan anjing itu, apa beza kita dengan mat rempit dan penagih dadah itu???!
Itulah realiti yang kita nampak pada hari ini. Tapi sedarlah wahai kawan, terdapat perbezaan yang amat besar antara KITA dan MEREKA….
Ya….bezanya adalah cara kita berFIKIR.
Mereka berkasih dan bercinta hanya sekadar dengan manusia, tetapi kita bercinta dan berkasih kerana Allah. Si anjing makan dan minum kerana lapar dan dahaga sahaja, tapi kita makan dan minum kerana Allah. Si mat rempit itu menerima nasihat itu kerana manusia yang mungkin ustaz atau cikgu, tetapi kita menerima nasihat dan teguran itu kerana Allah!!
Oleh itu, hikmah untuk perenggan kedua ini adalah pelengkap kepada Mahasiswa Berzikir adalah Mahasiswa Berfikir. Kerana ayat-ayat Allah itu bukan hanya pada Al-Quran itu semata-mata, tetapi ia ada di mana saja kita berada. Maka sentiasalah berfikir dan bertadabbur pada setiap ciptaan Allah ini untuk mencapai QurbahNya.
Hebatnya Mahasiswa adalah kerana senjatanya adalah berfikir…malah lagi hebat Mahasiswa itu jika segala fikirannya itu ditujukan hanya kerana ALLAH TAALA !!
Mahasiswa berilmu dan beramal
Wahai kawan,
Mahasiswa amat sinonim dengan Ilmu. Tetapi Ilmu itu tidak akan bermakna kepada mahasiswa tanpa ada amalannya. Bak kata ahli ilmu, “Ilmu tanpa amal ibarat pokok yang tidak berbuah atau berbunga”.
Ibaratnya…menghabiskan masa menuntut ilmu di perantauan, menghabiskan duit sumbangan atau tajaan, mengorbankan rasa rindu keluarga di tanah air, mengurangkan waktu tidur, menghabiskan keringat pensyarah-pensyarah, menghabiskan elektrik di rumah, air di tangki, menghabiskan tenaga berjalan ke kelas dan lain-lain. Namun hasilnya tiada. Hanya segulung ijazah sebagai simbolik sahaja.
Kawan-kawan ku,
Para sahabat salafus soleh amat menitikberatkan perihal amalan ini. Mereka tidak akan mudah berpindah dari satu ilmu ke satu ilmu yang lain selagi ia belum diamalkan. Kerana yang akan dipersoalkan di hadapan Allah kelak, bukanlah kuantiti ilmu yang dimiliki sahaja, tetapi kuantiti ilmu yang telah diamalkan.
Menjadi satu mala petaka akhir zaman apabila ilmu hanya berada di buku dan di bibir semata-mata tetapi tiada pengamalnya.!!
Berapa ramai graduan-graduan Syariah mahupun Adab yang berjaya di peringkat universitinya namun gagal di medan masyarakat…?
Berapa ramai mahasiswa Islam pengkhususan Fiqh yang mengetahui hukum-hukum yang disepakati dan hukum-hukum yang tidak disepakati….tetapi kenapa hanya wujud perbahasan dan perbandingan itu sahaja..??? dimanakah pengamalnya…?
Berapa ramai mahasiswa pengkhususan Hadis yang menghafal ratusan malah ribuan hadis dari pelbagai darjat kesahihannya,…..tetapi kenapa hanya wujud perbahasan ‘itu sahih’ dan ‘itu dhoif’ sahaja?? Di manakah pengamalnya..??
Berapa ramai mahasiswa pengkhususah Bahasa Arab yang mahir dalam nahu dan sorofnya….tetapi kenapa hanya wujud perbahasan ikhtilaf kaedah kufi atau basri dan nota-nota sahaja…?? Dimanakah pengamalnya…??
Wahai kawan,
Sedarlah bahawa kita kini ketandusan pengamal-pengamal ilmu Allah Taala.!! Siapa lagi yang kita harapkan kalau bukan KITA !!!
Mahasiswa berdebat dan beradab
Kawan-kawan ku,
Walaupun berdebat itu adalah satu kaedah yang dianjurkan oleh Islam untuk menyerlahkan suatu kebenaran. Namun jangan kita lupa untuk menjaga adab-adabnya. Jauhi pertarungan idea tanpa beradab.
Pertarungan idea yang tidak beradab akan mendorong kepada pertengkaran dan perbalahan. Dan jangan sekali-kali kita mendekati pertengkaran kerana padanya terdapat pihak yang ketiga yang akan membisikkan kita ke arah memutuskan silaturrahim. Syaitan laknatullah namanya…..!!
Sekalipun kau tahu kebenaran berada di pihak mu, namun jagalah adab-adabmu apabila kamu menasihati atau menegurku ini. Sesungguhnya kamu tidak akan mampu memberi petunjuk kepada sesiapa yang kamu suka, tetapi yang memberi hidayah dan taufiq itu hanyalah Allah Rabbul Jalal. Maka mohonlah petunjuk itu dariNya.
Sekalipun kau mempunyai fahaman yang lebih mendalam dalam agamamu, namun kamu juga perlu ingat, bahawa aku juga mahukan kefahaman itu. Maka kau didiklah aku dengan kefahaman itu. Sesungguhnya aku juga inginkan menjadi sepertimu.
Wahai kawan,
Jadilah kamu seorang penyelamat pada disetiap masa. Janganlah kamu yang menyemarakkan lagi api yang sedang membara ini, malah jadilah kamu seorang penyelamat yang sentiasa memadamkan mara api kemarahan ini.
Berpeganglah pada falsafah ini :
“Tolong-menolonglah menegakkan apa yang kita sepakati, dan berlapang dadalah dengan apa yang tidak kita sepakati.”
“Pendapat kamu itu benar, tapi mungkin juga ada silapnya. Pendapat aku ini salah, tapi mungkin juga ada yang betulnya.”
Mahasiswa bermasyarakat dan berakhlak
Kawan-kawan ku,
Bermasyarakat adalah satu tuntutan dalam kehidupan. Kerana manusia itu perlu saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Begitulah aturan yang Maha Esa terhadap fitrah manusia. Siapa kita untuk melawan fitrah itu ?!
Luaskan rangkaian kamu dalam berkawan, walaupun mereka tidak meminta kamu berbuat demikian. Hulurkan salam ukhuwwah, salam kasih sayang, salam kemesraan dan salam perkenalan. Demikian jugalah antara hikmah yang tersirat disebalik pensyariatan Ibadat Haji. Seluruh umat Islam datang berkunjung tidak mengira bangsa, darjat, warna kulit, dan jawatan. Mereka berukhuwwah kerana Allah.
Tuntutan bermasyarakat itu bukanlah bermaksud kita wajib menghabiskan masa sepenuhnya bersama masyarakat dengan mengabaikan tanggungjawab pada diri sendiri dan keluarga serta orang yang terdekat dengan kita. Berpada-pada, itulah ajaran Islam kita.
Perintah menyampaikan dakwah yang diturunkan kepada Nabi s.a.w juga bermula dengan kawan-kawan yang terdekat kemudian kepada mereka yang lebih jauh. Malah baginda juga telah mendidik para Isteri dan para sahabatnya melalui gurauan senda baginda.
Wahai kawan ku,
Hiasilah pergaulan dan gurauanmu bersama kawan-kawan mu dengan akhlak dan tutur cara yang baik. Jangan sekali-kali hati mereka terluka disebabkan tingkah laku dan pertuturanmu itu. Perlakukan kepada mereka dengan perlakuan yang paling kamu suka, dan jauhi dari yang sebaliknya.
Senyumlah selalu dan bersederhanalah ketika ketawa. Nabi s.a.w adalah orang yang paling banyak melemparkan senyuman dan memberi salam, dan baginda juga ketawa tetapi hanya pada waktu yang sesuai sahaja. Jauhi diri dari hiburan yang melampau yang boleh melalaikan kita dari mengingati Allah.
Kawan-kawanku,
Jauhi umpat mengumpat, keji mengeji, ejek mengejek dan lain-lain. Adakah kamu suka memakan daging saudaramu sendiri yang sudah mati..??! Usahlah merendah-rendahkan persatuan atau pertubuhan lain atau mengutuk aktiviti-aktiviti yang di anjurkan oleh mereka itu. Bercakaplah sekiranya ada keperluan kebajikan padanya.!!
Kawan-kawanku,
Kawallah suara mu ketika bercakap dengan teman-temanmu. Kerana ia boleh mendatangkan fitnah pada diri mu dan boleh menyakitkan hati teman-teman mu itu. Bersederhanalah ketika mengeluarkan suaramu itu, kerana itulah cara yang turut disukai oleh Tuhanmu ketika Dia ingin mendengar doa dan rintihanmu.
Kawan-kawanku,
Seriuslah kamu dalam melakukan tugasan dalam kehidupanmu, dan berguraulah pada waktu-waktu yang sepatutnya. Kerana tanpa serius kuranglah kesungguhan, dan tanpa gurauan maka tawarlah kehidupan.
Bak kata penyair :
“Rehatkan jiwamu yang kesibukan dengan berfikir, ubati ia dengan bergurau. Tapi jika kamu mahu ubatinya dengan bergurau, hendaklah dalam batasannya seperti kamu memasukkan garam dalam masakan.”
Walau apa sekalipun, ketahuilah sumber akhlak yang paling utama adalah AKHLAK AL-QURAN. Bertadabbur dan beramallah dengannya !!
Mahasiswa berdisiplin dan menghormati masa
Wahai kawan,
Zaman moden kini, ‘disiplin’ telah diluasertikan kepada segenap skop kehidupan manusia. Memandangkan pelbagai profesion yang makin berkembang mengikut keperluan semasa, maka disiplin juga semakin bertambah.
“Sesungguhnya Allah amat menyukai seseorang yang apabila dia melakukan amalan, dia tekun atau berdisiplin”
Seperti disiplin seorang guru, seorang pelajar, seorang pensyarah, seorang pekerja, seorang pemandu kapal terbang, seorang kerani, seorang suruh, seorang petani, seorang imam, seorang pengawal keselamatan, dan banyak lagi.
Namun disiplin yang wajib ada pada setiap profesion itu adalah disiplin masa. Jika mahasiswa mampu mendisiplinkan dirinya dengan masa yang ada, maka mereka telah menutup pintu kerugiannya. Bagaimana untuk berdisiplin?? Jawapannya termaktub dalam surah al-Asr. Kajilah ia wahai kawan…..(Beriman, beramal soleh, tolong-menolong dengan kebenaran dan dengan kesabaran.)
Maksimumkanlah manfaat waktu kita dan tolonglah kawan-kawan kita yang lain untuk memanfaatkan waktu mereka. Biasakan diri dengan hidup berjadual. Hormatilah masa kawan-kawan kita !!
Kawan-kawan sekalian,
Jika anda dijemput menyampaikan kuliah atau ceramah atau apa-apa pengisian, maka patuhilah masa yang diperuntukkan itu. Kerana ia juga sebahagian daripada bentuk didikan anda kepada para pendengar yang hadir.
Oleh itu, elakkan daripada bicara yang meleret-leret tanpa hala tuju dan noktah. Kerana ia mungkin termasuk dalam perkara-perkara yang tidak memberi manfaat padamu. Mahasiswa yang hebat adalah mahasiswa yang sentiasa meninggalkan segala perkara-perkara yang tidak memberi manfaat padanya.
No comments:
Post a Comment