Wednesday, February 16, 2011

Putera Puteri Dunia

“Tidak sempurna iman seseorang (muslim) itu, sehinggalah dia mencintaiKu (Rasulullah) melebihi cintanya terhadap ibubapanya, anaknya dan manusia keseluruhannya”-hadis-

Sanah helwah diucapkan pada kekasih kita Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w. sempena ulangtahun kelahiran baginda 12 Rabiul Awal (Selasa). Sollu ‘alaih wa ‘ala alih wa ashabil….

Umat Islam di seluruh negara meraikan dan memperingati hari yang penuh bermakna ini. Cara untuk memperingati itu tidak menjadi pertikaian, yang lebih penting adalah ia mampu menyuburkan ingatan umat islam terhadap kekasih kita Muhammad s.a.w. setiap masa.

Jika diteliti pada kalendar-kalendar masihi. Jarak 12 Rabiul Awal (Maulidurrasul) dan 14 Februari (Valentine day/ Hari Cinta). Tarikh yang begitu bermakna bagi kaum yahudi dan nasrani. Pada tahun ini (2011), “hari ini Maulidurrasul manakala semalamnya Valentine day.”

Terdapat negara-negara islam yang memperuntukkan cuti rasmi pada Maulidurrasul dan Valentine day. Ada juga yang hanya Maulidurrasul dan ada juga hanya Valentine day. Mungkin cuti itu diberi kerana ingin memuliakan hari tersebut, mungkin juga ada alasan–alasan yang lain. Semoga alasan-alasan menepati kehendak Syarak.

Rasulullah dan Cinta.

Mencintai Rasulullah lebih mulia berbanding mencintai ibubapa, anak-anak dan sekalian manusia di dunia ini. Namun, bagaimana dengan cinta pada Allah??
Tanda-tanda seseorang itu mencintai Allah adalah dengan dia mencintai RasulNya. Tanda-tanda seseorang itu cintakan Rasulullah adalah dengan dia mencintai apa yang disukai dan disuruh oleh baginda.

“Katakan (wahai Muhammad) : Sekiranya kamu mencintai Allah, maka ikutlah aku, nescaya Allah akan mencintaimu dan mengempunkan dosa-dosamu, dan sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang” –Surah Ali Imran : 31-
Bagaimana dengan cinta lelaki dan wanita ?

حبب إلي من الدنيا النساء والطيب وجعلت قرة عيني في الصلاة
“Yang aku sukai daripada dunia adalah wanita dan wangi-wangian dan dijadikan sembahyang itu penyejuk hati bagiku”-Ditakhrij oleh Imam Ahmad dan An-Nasa’i-.

Nabi s.a.w menyukai dan mencintai wanita seperti baginda menyukai wangi-wangian sahaja, tetapi penyejuk hati bagi nabi s.a.w adalah solat.

Kerana solat adalah medan pertemuan antara hamba dan Penciptanya. Solat juga melambangkan cinta hamba pada Allah. Ini menunjukkan bahawa cinta Rasul kepada Allah mengatasi cinta baginda terhadap wanita dan lain-lain.

Nabi Muhammad s.a.w adalah sebaik-baik guru dan kaunselor. Apa yang dipilih dan dinasihatkan kepada umatnya adalah yang terbaik. Maka berpeganglah dengan nasihat baginda dan jangan sekali-kali menyalah ertikan nasihat tersebut atau mengada-adakannya..!

من كذب علي متعمداً فاليتبوأ مقعده من النار
“Siapa yang membuat penipuan terhadapku, maka dia menempah kediamannya di neraka” -hadis-

Hawa nafsu dan Angan-angan.

Antara perkara-perkara yang amat dibimbangi oleh Rasulullah yang bakal berlaku pada ummatnya adalah mengikut hawa nafsu dan panjang angan-angan.

Dorongan hawa nafsu akan merugikan manusia di dunia. Manakala angan-angan yang panjang akan menyebabkan manusia lalai dan alpa dengan hari Akhirat. Kedua-dua perkara tersebut hanya akan memberi penyesalan pada si pelakunya di Akhirat kelak.

Manusia yang panjang angan-angannya tidak akan mengambil berat tentang umur atau usianya kerana angan-angan tida penghujungnya. Umpama berenang di lautan tanpa pantainya. Ajal mautnya tidak dihiraukan apatah lagi amalan-amalan yang telah dikerjakan.

Manusia yang lupakan hari Kiamat tidak akan berusaha melakukan amal kebaikan di dunia. Mereka selalu berlenggah dengan kewajibannya. Solat selalu dilewat-lewatkan apabila telah masuk waktunya. Menangguhkan fardhu haji walaupun sudah berkemampuan. Belajar sambil lewa dan mengulangkaji hanya apabila sudah dekat dengan peperiksaan.

Namun perlu dibezakan antara angan-angan dan cita-cita. Cita-cita adalah suatu yang digalakkan oleh islam kerana ia sangat berkait rapat dengan USAHA dan TINDAKAN.

Orang yang mempunyai motivasi dan cita-cita yang murni akan berusaha bersungguh untuk mencapai apa yang diimpikan. Bukan sekadar doa dan tunggu sahaja !

Tiadalah motivasi dan cita-cita yang paling tinggi selain daripada ingin berjumpa Allah di Akhirat kelak sebagai seorang hambaNya yang berjaya. Namun untuk sampai kepada cita-cita tersebut, tidak salah untuk bercita-cita untuk berjaya di dunia ini juga.

ومن يرد ثواب الدنيا نؤته منها ومن يرد ثواب الأخرة نؤته منها وسنجزي الشاكرين
“..dan siapa yang mahukan ganjaran di dunia maka kami akan berikannya ganjaran (dunia), dan siapa yang mahukan ganjaran di akhirat maka kami akan berikannya ganjaran (akhirat), dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang berSyukur.”-surah Ali Imran : 145-

Maka bersyukurlah apabila mendapat kebahagiaan di dunia. Kerana dengan bersyukur, Allah akan melipat gandakan nikmat yang telah diberikan itu.

Antara tindakan orang-orang yang bersyukur itu adalah dengan menggunakan nikmat-nikmat yang dikurniakan itu ke jalan yang sepatutnya.

Bersyukur dengan ‘kepandaian’ adalah dengan mengamalkannya dan menyampaikannya kepada orang lain. Bersyukur dengan ‘kekayaan harta’ adalah dengan bersedekah kepada faqir miskin dan menolong orang lain yang memerlukan. Bersyukur dengan ‘peluang dapat belajar’ adalah dengan belajar bersungguh-sungguh dan memperbaiki kelemahan diri. Dan semikianlah seterusnya….

Belajar sambil bercinta atau bercinta sambil belajar?

Gejala ini boleh dianggap telah merebak di seluruh peringkat dan juga bidang pengajian. Tidak kira pelajar aliran agama, sastera, ekonomi, kedoktoran, kejuruteraan dan lain-lain. Cuma permulaan yang paling serius adalah bermula di peringkat pengajian menengah.

Kerana ‘cinta itu buta’ lah, persoalan di atas timbul !!

Orang yang ‘mabuk bercinta’ akan mendahulukan cinta berbanding belajar. Mereka menganggap cinta itu yang utama dan belajar itu sambilan. Kadang-kadang Ibu bapa juga turut diabaikan, apatah lagi prestasi akademiknya.

“Takpe lah tak dapat tinggi pon janji dapat grade same-same”

Mentaliti kolot yang lahir dari ‘mabuk cinta’ ini akan memberi kesan yang buruk pada diri mereka sendiri, sekarang mahupun akan datang.

Antara tabiat buruk golongan yang mabuk cinta ketika belajar masa kini :

1) Menghabiskan duit hanya dengan top up untuk bergayut.
2) Menghabiskan masa dan kurang tumpuan kerana sibuk layan-melayan sms atau YM serta Facebook si dia.
3) Interaksi dengan keluarga kurang, terutamanya dengan Ibu bapa.
4) Bibit derhaka terhadap ibubapa bermula dengan tidak mengendahkan pendapat ibubapa dalam pemilihan calon pasangan dan lain-lain tindakan.
5) Waktu malam dan waktu cuti dihabiskan dengan ‘bergayut’.
6) Melenggah-lenggahkan solat 5 waktu terutamanya solat subuh. (kerana letih bergayut).
7) Hal ehwal semasa di sekitarnya tidak dihiraukan.
8) Mencari apa sahaja peluang dan alasan untuk dapat bersua muka dengan si dia.
9) Percubaan untuk menghalalkan yang haram.
Semua ini adalah realiti yang berlaku dalam masyarakat pada hari ini. Tidak kiralah pelajar aliran agama mahupun tidak, penuntut di luar negara mahupun dalam negara, lelaki mahupun perempuan. Mungkin banyak lagi tabiat-tabiat yang tidak tersenarai untuk kali ini, selebihnya itu diserahkan pada pembaca untuk terus memerhatikan realiti ini.


Adakah menjadi masalah jika bercinta ketika belajar ?


Bercinta ketika belajar tidak menjadi masalah. Yang bermasalah adalah apabila mahasiswa atau pelajar yang tidak memahami keutamaannya ketika belajar. Buktinya, banyak lagi faktor-faktor yang menyebabkan seorang penuntut itu bermasalah dalam akademiknya.

Satu contoh paling popular adalah bersukan. Siswa terutamanya amat gemar bermain bola sepak. Bukan setakat bermain bola sepak sahaja, malah menonton perlawanan bola sepak di televisyen juga menjadi kegemaran sebahagian siswa kini.

Kerana minat yang teramat, cuaca yang sejuk atau panas tidak menjadi halangan untuk turun padang bermain. Kos belanja yang tinggi juga tidak menjadi penghalang untuk menonton perlawanan bola sepak. Akibatnya, sebahagian daripada mereka bermasalah dalam pelajarannya.

‘Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’.

Perlu diingatkan selalu, prioriti bagi seorang penuntut ilmu. Islam tidak sekali-kali menghalang penganutnya bermain bola sepak mahupun menonton perlawanan bola sepak. Namun janganlah kerana terlalu sibuk dengan bola sepak, minat terhadap belajar semakin pudar.

Sebaliknya bola sepak mampu meningkatkan prestasi akademik seseorang pelajar jika ia mampu menyusun jadual pembelajarannya dan mendisiplinkan dirinya antara bola sepak dan belajar. Kerana bermain bola sepak mampu menyihatkan jasmani. Seterusnya jasmani yang sihat mampu menghasilkan akal fikiran yang cerdas.

Begitu juga dengan percintaan. Sedangkan pada kemaluan manusia (tempat melepaskanhawa nafsu manusia) itu juga terdapat kebajikannya jika ia digunakan pada jalan yang betul. Apatah lagi hanya perasaan cintakan seseorang.

Perasaan tersebut adalah satu kurniaan yang istimewa buat manusia. Oleh itu, janganlah sekali-kali melupakan siapakah Penciptanya dan apakah tujuan penciptaannya. Perasaan tersebut perlulah disalurkan pada jalan yang betul demi mencapai keredhaan Allah s.w.t di dunia dan akhirat.

Berkasih sayang kerana Allah.

Antara tujuh golongan yang mendapat lindungan ‘arasy Allah s.w.t daripada panas di padang mahsyar kelak adalah golongan yang mana mereka hanya berkasih sayang kerana Allah dan pertemuan dan perpisahannya adalah kerana Allah.

Semoga ciri-ciri manusia yang bercinta kerana Allah adalah seperti berikut:

1) Rindu pada Allah mendahului rindunya pada si dia.
2) Restu ibubapa menjadi keutamaan mereka dalam perhubungan.
3) Menjaga status perhubungan tersebut dengan mewujudkan pertunangan yang sah. (untuk mengelakkan fitnah).
4) Sentiasa menjaga tingkah laku mereka kerana bimbangkan fitnah sepanjang perhubungan mereka.
5) Sentiasa menasihati si dia supaya menjadi lebih baik kerana Allah.
6) Selalu mendoakan kebahagiaan si dia.
7) Mampu menghadapi masyarakat sekeliling dengan pergaulan yang mesra.
8) Sentiasa baik sangka dalam berdepan dengan konflik dalam perhubungan.
9) Akan mengutamakan kewajibannya dalam pelajaran berbanding selalu bertanya khabar si dia.
10) Menjaga kehormatan diri dan juga si dia serta keluarga.

Realiti yang dimaksudkan di atas adalah sebelum perkahwinan. Sebaiknya ia bermula dalam tempoh pertunangan yang sah di sisi syarak.

Segala yang disenaraikan ini hanyalah berdasarkan penelitian dan sedikit pengalaman hidup. Mungkin juga terdapat kesilapan dalam menyatakan realiti-realiti tersebut.

Kesimpulan

Siapakah putera puteri dunia?

Mereka adalah orang-orang yang mentaati hawa nafsu dan menjadikan nafsu sebagai tuhannya. Mereka merasa berbahagia dengan seruan kemungkaran, malah berusaha untuk lebih menghayati keduniaan itu. Mereka mahu letih berusaha mengejar kebahagian di dunia yang sementara.

Mereka langsung tidak mahu menghubungkan perbuatannya di dunia ini dengan akhirat. Mereka menganggap kesenangan yang dikecapi itu hanya untuk mereka sahaja, tidak ada kaitan dengan orang lain di sekelilingnya. Merekalah putera puteri dunia.!

Sementara putera dan puteri Akhirat adalah mereka yang kehidupannya berteraskan akidah yang sebenar dan amalan yang berlandaskan syariat Nabi Muhammad s.a.w. Mereka sentiasa mempertahan kebenaran islam. Mereka reka mempertaruhkan jiwa dan raga demi mempertahanan kebenaran islam. Mereka lebih suka menghindari atau memerangi segala kemungkaran dan kemaksiatan yang berlaku disekelilingnya.

Putera puteri Akhirat dan putera puteri Dunia mempunyai perbedaan yang jelas dan ketara. Mustahil bagi kedua-dua golongan yang berlainan anutan ini bersatu melainkan yang Putera Dunia mengikut Putera Akhirat ataupun Putera Akhirat mengikut Putera Dunia.

Wallahu a’lam…

Thursday, February 10, 2011

Ru'yah dan Falak Syar'ie

Adakah kaedah HISAB FALAKI dibolehkan dalam menentukan awal bulan qomari? Atau hanya melalui kaedah RU'YAH sahaja??


Kemunculan anak bulan merupakan suatu petanda yang sangat berkait rapat dengan taklif, hukum-hakam syarak, dan amal ibadat muslimin dalam kehidupan. Antara ibadat yang sangat bergantung pada penentuan anak adalah seperti ibadat berpuasa di bulan Ramadhan, perayaan Aidil Fitri dan Aidil Adha.

Namun secara umumnya, Islam telah memberi garis panduan dan kaedah dalam menentukan kemunculan anak bulan tersebut melalui utusan mulia Nabi Muhammad S.A.W.


عن أبي هريرة رضي الله عنه : أن النبي (ص) قال : (( صوموا لرؤيته وأفطروا لرؤيته، فإن غم عليكم فأكملوا عدة شعبان ثلاثين يوماً )) رواه البخاري ومسلم.

Daripada Abu Hurairah R.A: Sesungguhnya Nabi S.A.W telah bersabda : (Berpuasalah kamu setelah kamu melihat anak bulan (Ramadhan), dan juga berbuka puasalah(beraya) kamu setelah melihat anak bulan(Syawal), sekiranya ia terlindung dari pandangan kamu, maka sempurnakan bilangan hari bagi bulan Syaaban itu sebanyak 30 hari ).
Riwayat Bukhari da Muslim.

Imam Ibn Mubarak, Imam Syafi'e, Imam Ahmad, dan Imam Nawawi pula bersepakat menerima penyaksian seorang lelaki yang adil dalam menentukan anak bulan Ramadhan manakala mensyaratkan penyaksian dua orang lelaki yang adil dalam menentukan anak bulan Syawal.


Ru'yah Hilal

Kaedah yang telah disyariatkan untuk menentukan masuknya awal adalah dengan manusia melihat anak bulan. Dan disyaratkan kepada orang yang melihat anak bulan itu adalah thiqah (dipercayai) dalam agamanya dan diakui kekuatan penglihatannya. Apabila dia telah mengaku melihat anak bulan maka wajib beramal dengan pengakuan tersebut. Samada berpuasa (Ramadhan) jika anak bulan Ramadhan, ataupun beraya (Aidil Fitri) jika anak bulan Syawal.

Kaedah cerapan anak bulan sekalipun tidak diharuskan sekiranya ia tidak dilaksanakan dengan menggunakan penglihatan mata manusia. Dan sekiranya ia menggunakan penglihatan manusia maka ia diharuskan berdasarkan dalil umum dari kata-kata Nabi S.A.W :

عن ابن عمر قال : سمعت رسول الله (ص) يقول : (( إذا رأيتموه فصوموا وإذا رأيتموه فأفطروا فإن غم عليكم فاقدروا له )) رواه البخاري ومسلم وفي رواية لمسلم : ((فاقدروا ثلاثين))

Daripada Ibn Umar R.A, beliau berkata : "Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda : (( Apabila kamu melihatnya (anak bulan Ramadhan) maka berpuasalah, dan apabila kamu melihatnya (anak bulan Syawal) maka berbuka puasalah (berhari raya) dan sekiranya ia terlindung dari pengihatan kamu maka buatlah andaian padanya.)) [riwayat Bukhari dan Muslim].

Dan lafaz pada riwayat Muslim "anggaplah ia tiga puluh "

Ulama' berselisih pendapat dalam mentafsir ungkapan "maka buatlah andaian padanya". Namun Imam Hanafi, Imam Malik, Imam Syafi'e dan Jumhur Ulama' sepakat mentafsirkan ia dengan "menyempurnakan bilangan 30 hari dalam bulan tersebut". Dengan menganggap lafaz daripada riwayat Imam Muslim itu menghuraikan lafaz dalam riwayat Imam Bukhari dan Muslim tersebut.


Oleh yang demikian, tidak wajib berpuasa Ramadhan kecuali telah masuknya bulan tersebut, dan cara untuk mengetahui masuknya bulan tersebut adalah dengan melihat anak bulan. Sekiranya anak bulan tersebut terlindung dari penglihatan, maka wajib untuk menyempurnakan hari ke-30 dalam bulan Syaaban kemudian berpuasa Ramadhan. Tidak kira samada cuaca ketika itu terang ataupun mendung.

Kesimpulannya, Ulama' sepakat menerima kaedah menentukan kemunculan anak bulan dengan menggunakan kaedah Ru'yah sebagai kaedah yang syari'e berdalilkan dengan zahir hadis tersebut. Dan sebahagian Ulama' daripada mereka menerima dan menganggap bahawa melihat anak bulan itu adalah suruhan yang berbentuk Ta'abbudi.


Hisab Falaki

Namun peredaran zaman dan perkembangan teknologi pada hari ini telah menjumpai satu kaedah baru yang cekap dan memudahkan dalam menentukan kemunculan anak bulan qomari ini. Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian Ulama' Mu'asarah menerima kaedah ini dan sebahagian yang lain hanya berpegang dengan kaedah Ru'yah Hilal.

Masing-masing mempunyai pendirian yang tersendiri dan sandaran yang diterima oleh syariat Islam.


* Sebab-sebab Ulama' terdahulu tidak menerima Hisab Falaki :


1) Menentukan kemunculan anak bulan pada hari ke 29 dengan kaedah melihat dengan mata manusia merupakan satu perbuatan ibadat (amrun ta'abbudi). Walaupun Kaedah Hisab Falaki mampu mencapai tahap pensabitan yang terperinci dan yakin, namun hanya kaedah ru'yah diterima kerana ia satu ibadah.

2) Syara' tidak membebankan umat Islam dengan menentukan kemunculan anak bulan pada awal bulan Ramadhan atau penghujungnya dengan menggunakan kaedah yang menyusahkan seperti dengan mengira dan menulis (hisab falaki). Tetapi hanya memadai dengan melihat tanda-tanda (kemunculan anak bulan) yang jelas dengan menggunakan mata kasar manusia. Bahkan ia dianggap menyamai dengan hasil dari kaedah mengira dan juga menulis tersebut. Hikmahnya adalah untuk menyesuaikan kaedah yang mudah ini di setiap generasi dan tempat.

3) أن رسول الله (ص) قال : (( إنا أمة أمية لا نكتب ولا نحسب، الشهر هكذا وهكذا )) أخرجه البخاري ومسلم وأحمد وأبو داود والنسائي (واللفظ للبخاري).

Sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah bersabda : "Kita adalah umat yang ummiy, tidak menulis dan tidak mengira, (bilangan hari) dalam bulan begini dan begini (29 hari atau 30 hari)"
Diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Dawud, dan Nasa'i. Dan lafaz hadis ini adalah dari lafaz riwayat Bukhari.

Kegiatan menulis ( نكتب ) pada zaman tersebut sangat kurang. Manakala (نحسب ) iaitu mengira bintang dan meramalnya, yang mana mereka kurang mahir dalam bidang tersebut. Oleh itu, Nabi telah mengajar mereka dengan kaedah melihat anak bulan (رؤية الهلال ) untuk menentukan kemunculan awal bulan dan akhir bulan.

4) Mereka menolak حساب الفلكي kerana istilah Ahli Nujum pada zaman mereka sering dikaitkan dengan tukang tilik nasib, tukang sihir, teori gerak hati, taksiran, tekaan, dan lain-lain yang berpaksikan ilmu yang berbentuk sangkaan atau tidak meyakinkan. Pendapat ini disandarkan kepada kata-kata Ulama' terkemuka seperti Ibn Hajar Al 'Asqalani, Ibn Taimiyyah, Ibn Battol, Ibn Bazizah, An Nawawi, Al Qastolani, As Sindi, Al 'Aini. Mereka memberi peringatan tentang bahayanya menyandarkan suatu ilmu terhadap Ahli Nujum yang asas ilmunya meragukan.

5) Sebahagian dari mereka berdalilkan dengan ayat Al-Quran :
(( فمن شهد منكم الشهر فليصمه )) dengan mentafsirkan ia "Maka siapa diantara kamu yang melihat anak bulan maka berpuasalah padanya".
[ surah al-baqarah : 185]


* Pendapat yang mengharuskan kaedah Hisab Falaki dan hujjah-hujjahnya :

Sebahagian Ulama' terkemudian kini telah mengharuskan kaedah Hisab Falaki ini dengan berdasarkan kajian yang mendalam terhadap riwayat-riwayat hadis yang berkaitan disamping melihat tujuan atau maqosid disebalik pensyariatan Ru'yah Hilal.
Namun mereka tidak lari dari asas sandaran Islam yang disepakati dan pandangan-pandangan Ulama' masyhur yang terdahulu, bahkan mereka lebih cenderong untuk melaksanakan hukum-hakam berdasarkan kemampuan semasa dan realiti kehidupan umat masa kini.

Antara tokoh ilmuan yang lantang melontarkan pendapat mengharuskan kaedah Hisab Falaki ini adalah Syiekh Mustafa Ahmad Az Zarqo', seorang dari ulama' mu'asoroh di bumi syam Jordan.

Antara hujjjah-hujjah beliau adalah seperti berikut :-

1) Ru'yah Hilal bukanlah satu suruhan yang berbentuk ta'abbudi (satu amal ibadah). Tetapi ia merupakan satu wasilah (jalan) untuk umat islam mencapai suatu matlamat yang ta'abbudi iaitu berpuasa di bulan Ramadhan dan lain-lain amalan yang berkaitan.

Beliau telah memberi sedikit komentar terhadap pendapat Imam Al Qarafi yang membezakan antara sebab ibadah solat dan ibadah puasa. Menurut Imam Al Qarafi, sebab diwajibkan Solat lima waktu sehari semalam adalah "masuknya waktu". Manakala sebab diwajibkan berpuasa adalah dengan "melihat anak bulan" tersebut.

Menurut Az Zarqo', membezakan sebab antara dua ibadah ini adalah tidak wajar. Sepatutnya ibadah puasa juga diwajibkan dengan sebab "masuk waktunya".

Tambahan lagi, Ibadah Solat itu lebih utama dari Ibadah Puasa. Tetapi, realiti masa kini, kenapa hanya dibenarkan ibadah Solat untuk menggunakan taqwim waktu solat, sedangkan Puasa tidak ??

2) (رفع الحرج) melenyapkan segala kesulitan. Dalam merungkaikan maksud tersirat di sebalik hadis : (إنا أمة أمية لا نكتب ولا نحسب ).

Imam Ibn Hajar al 'Asqalani berpendapat bahawa tujuan pensyariatan kaedah Ru'yah Hilal adalah untuk melenyapkan segala kesulitan pada zaman tersebut. Kesulitan yang dimaksudkan beliau adalah bersandar kepada Ahli Nujum ataupun ilmu yang Dzonni (tidak meyakinkan).

Demikian juga pendapat Al 'Aini, Ibn Battol, Al Qostolani dan As Sindi. Mereka menganggap kaedah Ru'yah Hilal itu adalah satu kaedah untuk menjaga ummat dari mudharat mempercayai suatu ilmu yang tidak meyakinkan atau dengan kata lain "untuk melenyapkan segala kesulitan" pada zaman tersebut.

Oleh itu, Nabi S.A.W tidak menyusahkan ummatnya dengan menyuruh menggunakan kaedah Hisab Falaki yang agak rumit (pada masa itu) dan tidak juga menyusahkan dengan mengira mengikut kiraan bulan syamsiyyah yang lebih menyukarkan, bahkan hanya mentaklifkan hambaNya dengan melihat anak bulan qomariyyah yang jelas.
Menurut Az Zarqo', memandangkan Ru'yah Hilal itu adalah satu wasilah, maka ia boleh berubah menurut peredaran masa dan tempat. Dan sekiranya Ru'yah Hilal itu dianggap رفع الحرج, maka Hisab Falaki juga boleh dianggap رفع الحرج . Kerana Hisab Falaki pada zaman kini adalah dengan kemudahan pelbagai dan teknologi yang canggih yang boleh mendekatkan pemandangan yang jauh dan juga boleh mengira kelajuan pergerakan matahari, bulan, bumi serta bintang dan seterusnya mampu mencapai tahap kayakinan yang lebih tinggi dalam mensabitkan kemunculan anak bulan qomari.


3) Keperluan memahami Maqosid Syariah. Maqosid atau tujuan disebalik Nabi S.A.W menyuruh umat pada pasa itu menggunakan kaedah Ru'yah Hilal seperti dihujjahkan oleh Ulama' terdahulu dengan hadis ( صوموا لرؤيته وأفطرو لرؤيته ) , adalah kerana keadaan umat ketika itu adalah ummiy iaitu tidak pandai menulis dan mengira seperti disebut dalam riwayat yang lain ( إنا أمة أمية لا نكتب ولا نحسب، الشهر هكذا وهكذا). Ibn Hajar Al 'Asqalani menghuraikan dua kalimah ( لا نكتب ولا نحسب ), kedua-duanya menggunakan dhamir mustatir NAHNU 'kami'. Dan ia menunjukkan khitob kepada 'kami' iaitu umat islam pada zaman kata-kata itu dilafazkan.

Ini jelas menunjukkan pada kita bahawa, kaedah ini boleh berubah mengikut kemampuan semasa dan keperluan setempat. Kerana Feqh itu Flexsible sesuai dengan peredaran zaman.

4) Penafsiran terhadap istilah Ilmu Falak diantara Fuqaha' terdahulu dan kini sudah berubah dan caranya juga sudah berbeza.

Pada zaman Fuqaha' terdahulu, telah banyak berlaku percampuran di kalangan masyarakat antara ilmuan falak, dan pendeta, tukang tilik, tukang sihir. Sehingga menyebabkan ilmuan falak ketika itu turut terikut dengan cara-cara yang sesat yang digunapakai oleh tukang sihir, pendeta dan sebagainya. Seterusnya mereka turut tidak dipercayai oleh Fuqaha' dan dilabelkan dengan suatu ilmu yang tidak meyakinkan. Tambahan pula peralatan dan kemudahan yang ada pada masa itu masih kekurangan. Dua faktor Fuqaha' tidak menerima Ilmu Hisab Falaki pada masa tersebut :
i- Kerana ilmu itu hanya bergantung pada andaian dan jangkaan manusia semata-mata. Oleh itu, adalah lebih baik mereka memilih kaedah yang meyakinkan iaitu dengan kaedah melihat anak bulan (Ru'yah Hilal).

ii- Kerana golongan ini amat berbahaya. Dan dibimbangi mereka akan menyesatkan umat Islam pada masa akan datang dengan ilmu mereka yang tidak meyakinkan itu.

Pada zaman kini, Ilmu Falak Syari'e telah berkembang dan Ilmuannya pula telah mula diterapkan dalam kalangan masyarakat islam pada hari ini. Dan ketahuilah bahawa ilmu mengkaji pergerakan bulan dan bintang itu bukanlah suatu yang sesat, bahkan ia merupakan tuntutan dari Allah S.W.T dalam firmanNya :


(( قل انظروا ماذا في السموت والأرض وما تغني الآيآت والنذر عن قوم لا يؤمنون ))

Katakanlah, "Perhatikanlah apa yang ada di langit dan di bumi!" Tidak bermanfaaatlah (tanda-tanda kebesaran Allah) dan peringatan-peringatan (oleh rasul-rasulnya) terhadap golongan yang tidak beriman. [surah yunus: 101]

Dan tidak masuk akal sekiranya Nabi S.A.W melarang ummatnya daripada mengkaji ciptaan Allah S.A.W dan mencari hikmahnya. Sesungguhnya Ilmu Allah S.A.W itu amatlah luas dan melingkupi seluruh ciptaannya.


5) (( فمن شهد منكم الشهر فليصمه )) "Oleh itu, barang siapa di antara kamu yang berada pada bulan itu, maka berpuasalah." [surah Al Baqarah : 185]

(Sila rujuk Al-Quran dan Terjemahannya oleh (JAKIM) diterbitkan oleh Pustaka Darul Iman Sdn. Bhd.)

Perkataan شهد dalam ayat tersebut membawa maksud "hadir / ada" bukannya "melihat". Hadir yang dimaksudkan adalah wujud pada suatu tempatnya apabila tibanya Ramadhan, bukan sebagai seorang musafir. Maka wajiblah ke atasnya berpuasa padanya.

Oleh itu, jelas bahawa kewajiban berpuasa adalah dengan sebab memasuki zon Ramadhan itu, bukan atas sebab melihat anak bulan semata-mata. Sekiranya melihat anak bulan dianggap sebagai satu wasilah dalam menentukan anak bulan qomari pada zaman terdahulu atas alasan رفع الحرج , maka kaedah Hisab Falaki juga boleh dianggap sebagai satu cara untuk menentukan kemunculan anak bulan atas alasan رفع الحرج .


KESIMPULAN

عن أبي بكرة رضي الله عنه عن النبي (ص) قال: ( شهرا عيدٍ لا ينقصان، رمضان وذو الحجة ). أخرجه البخاري ومسلم وأبو داود والترمذي وبن ماجه وأحمد.
Menurut Abi Bakrah R.A daripada Nabi S.A.W, baginda telah bersabda : ( Dua bulan perayaan yang tidak akan berkurang, bulan Ramadhan dan bulan Zul Hijjah).

Hadis ini membawa pengertian bahawa tidak akan berkurangnya pahala ibadah pada kedua-dua bulan tersebut sekalipun bilangan hari dalam bulannya itu tidak mencukupi.

(( ومن صام رمضان وأتبعه بست من شوال، كان كصيام الدهر ))
"Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan 6 hari selepasnya pada bulan Syawal, seumpama dia berpuasa setahun."

Fadhilat berpuasa yang dianjurkan sedemikian akan layak dicapai pahalanya walaupun bilangan hari di bulan Ramadhannya cukup ataupun tidak.
Wallahu a'lam.

IKHTILAF atau KHILAF...??

Merekalah Ibu..merekalah Ayah...

Tatkala kami berperang di medah Mu'tah...

Tatkala kami berada dalam musykilah...



Begitulah ibarat Dakatir (pensyarah) Kuliah Syariah Jamiah Mu'tah Jordan pada mahasiswa malaysia di sini.


Pernah juga saya membelek-belek biodata mereka di laman web universiti,...masyaAllah...kadang-kadang macam nak percaya, kadang-kadang macam tak nak percaya pula....jika dibandingkan latar belakang pengajian mereka itu dengan perwatakan mereka yang saya lihat dalam muhadharah. Sungguh qana'ah mereka....


Uni. Al Azhar, Uni. Urduniyyah, Uni. Dimasyq, Uni. Qaherah, Uni. Islamiyyah Saudi, Uni. di Sudan, di Yamman, di Eropah, ........ Degree & Master & PhD MUMTAZ!!
....MasyaAllah...

Diantara mereka, ada yang pakar hadis, pakar tafsir, pakar ilmu kalam, pakar feqh muamalat, pakar feqh muasarah, pakar tajwid....mereka mempunyai pendirian tersendiri dalam suatu permasalahan yang timbul berdasarkan gaya-gaya berhujjah tersendiri.


Kelebihan mereke amat pelbagai dan berbeza-beza....kalaulah nak diceritakan di sini semua tentang mereka...tidak larat rasanya.


Cuma ada satu perkara yang membuatkan saya tertarik untuk direnungkan bersama pembaca sekalian.


MEREKA BERCANGGAH PENDAPAT NAMUN MEREKA TIDAK BERPECAH, BAHKAN MAMPU UNTUK BERSATU PADU....!!



Walaupun kurang dua tahun saya berdamping dan mengenali mereka, namun saya rasa apa yang saya sedari ini bukanlah suatu yang baru atau pelik, malah itulah hakikat mereka sesama mereka.


Walaupun aliran pengajian dan pemikiran mereka berbeza, namun mereka kelihatan seronok bekerja di bawah satu naungan, bermesyuarat di meja yang sama, bergurau dengan gurauan yang sama, menyelesaikan masalah yang dihadapi bersama.....mungkin itu tanda mereka betul-betul telah merasa izzah dengan ilmu agama yang ada pada mereka.


Bagi saya mereka layak digelar Ulama'.!!


"Ulama' itu pewaris para Anbiya'"


Itukah sifat-sifat Anbiya'??


Yaa....kerana nabi tidak mewariskan harta atau pangkat....nabi hanya mewariskan ilmu dan akhlak yang mahmudah.


CONTOHILAH MEREKA...WAHAI KALIAN YANG BERPELUANG BERSAMA MEREKA...



Imam Ghazali dalam beberapa penulisannya kepada golongan penuntut ilmu, antaranya Ihya' Ulumuddin dan Ayyuhal Walad, beliau amat menekankan adab seorang penuntut ilmu dengan Guru atau Mursyidnya. Sehingga apa yang disampaikan oleh si Guru itu tidak patut untuk dibantah dan diuji selagi ia tidak bercanggah dengan Al Quran dan As Sunnah. Sebaliknya jika Guru tersilap, maka amalkan sahaja apa yang betul itu dan sentiasa bersangka baiklah dengan Guru.


Dr. Sa'id Hawwa juga menerangkan secara jelas dalam karangannya Tazkiatul Anfus. Bagi beliau, menjadi keperluan kepada si penuntut ilmu itu mengenali dan mengetahui adab terhadap 3 perkara ini ketika ia menuntut ilmu. ILMU, MU'ALLIM, dan 'ALIM.


Sebagai seorang yang mahasiswa islam,...

Bukan hanya ilmu yang keluar dari mulut pensyarah itu sahaja yang didengar, bukan buku sukatan itu sahaja yang dibaca, bukan madah itu sahaja yang dikaji, bukan satu pensyarah itu sahaja yang dituju apabila ingin bertanyakan masalah,...berlaku adillah dengan kebenaran dan cahaya yang sedang kalian cari.


Jika menjadi kewajiban seorang MURSYID memberi contoh teladan yang baik kepada pelajarnya, maka menjadi kewajiban juga pada seorang MAHASISWA DI UNIVERSITI MUTAH melihat dan mencontohi sikap baik yang ditunjukkan oleh Duktur-duktur di Jamiah Mu'tah itu...apatah lagi nasihat dan tegurannya.



MEREKA MAMPU BERSATU KERANA MEREKA MEMAHAMI ADAB-ADAB DALAM BERIKHTILAF....



Perlu dibezakan antara IKHTILAF dan KHILAF.

IKHTILAF adalah perkara tabi'i atau semulajadi yang wujud bersama kewujudan generasi manusia itu sendiri. Ia masih dikira perbahasan berlaku dalam lingkungan kelompok yang HAK. Manakala KHILAF itu adalah perbahasan berlaku antara dua kelompok, yang hak dan yang batil.

Selain itu, IKHTILAF itu berdasarkan dalil dan bukti, manakala KHILAF itu tidak berdasarkan dalil mahupun bukti, sebaliknya semata-mata bertujuan untuk keluar dari berpegang dengan sesuatu pendapat.



Sikap Mahasiswa Islam dalam menghadapi IKHTILAF :-


1) Menerima IKHTILAF sebagai suatu perkara yang DHARURI.

2) Menerima IKHTILAF sebagai satu rahmat.

3) Menerima IKHTILAF sebagai satu perbendaharaan.

4) Menerima hakikat bahawa menghapuskan IKHTILAF adalah suatu yang mustahil.

5) Menerima hakikat kemungkinan pendapat orang lain itu ada betulnya.

6) Menerima kepelbagai pendapat yang betul itu mungkin berlaku.

7) Menerima hakikat orang yang salah dalam berijtihad itu tetap diberi pahala.

8) Menerima hakikat tidak boleh menolak perkara IKHTILAF yang berlaku di kalangan Ulama'.

9) Menerima hakikat semua mazhab yang muktabar itu merupakan wasilah untuk mengenal pasti hukum syara'.

10) Tidak keterlaluan dalam menolak amalan bertaqlid dan bermazhab.


Oleh itu, FEQH IKHTILAF dan FEQH AULAWIYYAT menjadi antara ilmu yang diperlukan oleh mahasiswa islam era kini. Agar para ulama' yang bakal pulang ke tanah air kelak, menjadi pemudah cara yang praktikal kepada masyarakat dalam melaksanakan hukum-hakam ISLAM di muka bumi ini.

Bibit LIBERAL di timur tengah

"....itulah antara tanda-tanda kesan resapan pemikiran liberal yang sudah lama terpendam dalam diri mahasiswa Islam di timur tengah sekarang..."

keluhan seorang mahasiswa malaysia di timur tengah. Beliau yang sudah saya anggap sebagai seorang ustaz, sifu, abang, senior yang sarat dengan pengalaman dalam selok belok kehidupan sebagai seorang mahasiswa di Malaysia mahupun di timur tengah.


Beberapa perbualan dan perkongsian pengalaman bersama sahabat-sahabat "baru" di timur tengah ini menyuntik rasa bimbang di hati saya lantas menghantui pemikiran ini. Ditambah sedikit realiti kehidupan yang pernah dilalui sendiri.

Saya yang hanya berlatar belakangkan pengajian yang tidak seberapa ini turut merasa bimbang apabila menyedari hakikat segelintir kehidupan mahasiswa agama di timur tengah, apatah lagi jika diminta komentar dan ulasan dari individu-individu yang lebih lama bertapak dalam medan pengajian agama ini.


Bermula dengan Sekolah Kebangsaan Dato' Hashim (2)...di situ saya hanya banyak disuap dengan fakta-fakta akademik untuk bekal peperiksaan UPSR semata-mata. Situasi pembelajaran yang agak riuh rendah dengan mencampurkan pelajar lelaki dan perempuan dalam kebanyakan aktiviti membuatkan saya sedikit "kaku". Sehinggakan pernah juga dibuli oleh kawan-kawan perempuan sekelas atas kelemahan-kelemahan tertentu...tetapi tidak lagi sekarang....

Kemudian memilih dan terpilih untuk menyambung pengajian di peringkat menengah di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Pulai Chondong, Machang (MTAQ). Salah satu dari maahad-maahad yang mula-mula ditabur benih di Negeri Kelantan yang kininya semakin membiak subur di setiap daerah di kelantan. Dengan kuantiti pelajarnya hanyalah enam ratus setengah ditambah 2 orang pekebun lelaki, 2 orang pengawal (Pakgat) dan 3 orang makcik-makcik kantin. Di situ saya rasa sudah "tidak kaku" dan lebih selesa untuk memulakan persaingan dalam setiap aspek...pembelajaran, jati diri, kemahiran dalam kepimpinan dan lain-lain. Sehinggakan pagar maahad yang zahir boleh dibolosi dengan skill batin (fly). Dan Undang-undang Maahad yang batin itu dilanggar dengan perbuatan yang zahir.


Seterusnya "terpanggil" untuk menyambung lagi pengajian di peringkat Diploma Pengajian Islam di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Di sana, saya terasa seolah-olah ingin mula kembali "kaku" setelah lebih kurang 6 tahun berada di dalam kurungan maahad. Dengan nisbah kuantitinya mahasiswanya dengan maahad yang dulu hanya perlu menambah 1 digit lagi sahaja (6 ribu setengah). Dan nisbah Adam dan Hawa pada ketika itu adalah 1:3. Kiri dan kanan ada saja yang bertudung. Tetapi tuntutan telah mengatasi kehendak....di situ saya berusaha mendidik diri dengan realiti masyarakat berlainan jantina dan berbilang budaya serta berlainan bahasa.


Dan kini saya sedang berusaha memanfaatkan masa-masa yang berbaki lagi yang tidak berapa lama lagi ini di Universiti Mu'tah, Jordan, Timur tengah. Sarjana Muda Syariah Pengkhususan Feqh Wa Usuluhu. Si sini, saya rasa agak selesa. Ada masanya saya berseronok bersama Ustaz-ustaz. Ada kalanya saya perlu memerah keringat dan berkongsi pendapat dengan ustazah-ustazah. Namun saya sentiasa berdoa agar saya tidak lagi dibuli oleh perempuan dan tidak juga terdorong membolos atau melanggar undang-undang yang sedia ada di sini. Ameen...


Tidak bermakna jika saya kini berada di Mu'tah, apa yang akan diperkatakan ini hanya berlaku di Mu'tah bahkan ia juga layak untuk dijadikan renungan sahabat-sahabat pembaca di mana sahaja kalian berada. Mungkin di Malaysia dan mungkin juga di timur tengah. Tetapi saya hanya cuba untuk khususkan kepada mahasiswa agama yang telah banyak mengetahui hukum-hakam dalam agamanya.

Hanya tinggal, mahu diamalkannya ataupun hanya mahu untuk menyampaikannya ???


Allah s.w.t Maha Adil dan Maha Mengetahui setiap ciptaanNYA. DIA yang telah menciptakan setiap sesuatu itu secara berpasangan, DIA juga yang menciptakan keperluan-keperluan kepada pasangan-pasangan tersebut dan hanya DIA juga yang mengetahui natijah pasangan tersebut samada baik atau buruk.


Menjadi Fitrah manusia yang normal, lelaki memerlukan perempuan, dan perempuan juga memerlukan lelaki untuk saling melengkapi antara satu sama lain kerana manusia itu serba kekurangan. Namun kesempurnaan yang dibina itu tidak akan sekali-kali mencabar kesempurnaan Pencipta yang Maha Sempurna.


ALhamdulillah...Islam telah memberi ruang dan jalan yang selamat dan sejahtera kepada pasangan lelaki dan perempuan dengan AKAD PERKAHWINAN ataupun yang kini popular dengan LAFAZ SAKINAH. Walau apapun namanya, Akad tersebut mestilah sah di sisi Syara' Islam.


Alhamdulillah juga...berbesar hati saya mendengar khabar berita sahabat-sahabat di Mesir giat menganjurkan jalan yang sejahtera ini kepada mahasiswa dan mahasiswinya di sana. Nasib baik saya di Jordan.


Namun, kadang-kadang LAFAZ SAKINAH ini juga tidak menjaminkan kehidupan yang betul-betul sakinah selepasnya atas beberapa faktor yang mungkin dipandang remeh oleh pasangan-pasangan tersebut. Faktor redha ibu bapa dan sanak saudara, faktor waktu yang sesuai, faktor masyarakat setempat, faktor persediaan diri sendiri dari sudut ekonomi dan kesihatan dan lain-lain.

Perlu diingat bersama bahawa tujuan utama perkahwinan ini adalah untuk mencapai kehidupan yang lebih bahagia dan sejahtera (fizikal dan mental) seterusnya melalui kebahagian ini, Redha Allah itu dapat dicapai. Mampukan kita mencapai Redha Allah dengan menggunakan jalan yang tidak diredha oleh kedua ibubapa..?? Sesungguhnya Redha Allah itu pada redha kedua ibubapa. Dan matlamat yang baik sekalipun tidak dapat menghalalkan caranya yang ma'ruf ianya tidak baik.


Tetapi..walau apapun..tahniah saya ucapkan pada sahabat-sahabat yang berusaha menggunakan cara yang selamat dan sejahtera itu,,..walaupun hanya perlukan sedikit muhasabah dan bimbingan yang betul.


Namun yang mendukacitakan kita adalah kelompok yag tidak mahu menggunakan jalan yang selamat itu, mereka lebih terdorong untuk menggunakan jalan yang tidak selamat itu. Walaupun telah selamat di dunia....di akhirat??? Sesungguhnya Allah itu lebih dekat kepada kamu berbanding urat lehermu!!

Sudahlah memilih jalan yang tidak selamat, berani pula menggunakan pula nas-nas syara' dan tipu helah untuk melindungi diri dari uqubat duniawi ini. Di dunia mungkin terlepas...di akhirat pun mungkin nas-nas dan tipu helah itu juga yang akan mendakwa supaya dia diazab nati.


Kini...

KITA sudah berani dan lantang menuntut hak-hak kebebasan diri masing-masing tanpa meneliti hak-hak Pencipta Syariat. Sebarang kesalahan KITA lebih cenderung untuk dihukum berdasarkan niat/tujuan.

Sedarilah...itu semua bukan cara KITA selaku seorang muslim, apatah lagi yang belajar ilmu agama. Itu semua adalah kesan pemikiran LIBERAL.


LIBERAL bermaksud, "bebas dari sekatan bersuara atau perlakuan", seperti bebas dengan harta, atau lidah bebas, selalunya dikaitkan dengan sikap tidak malu.

Sesungguhnya antara tanda-tanda Qiamat adalah apabila hilangnya rasa malu daripada kaum Hawa dan hilangnya kehormatan diri dari kaum Adam.


Percampuran antara lelaki dan perempuan semakin berleluasa tanpa menghormati Etika Syariat Islam bahkan hanya didasari dengan sikap LIBERAL manusia. Tidak lagi memikirkan maslahah dan mafsadahnya. Uruf dan adat tidak lagi dipeduli apatah lagi jika ia dikaitankan dengan Ibadat. Sikap ini semakin terdorong apabila tabiat mereka yang bergelar orang dewasa itu, "tidak mahu dikongkong" dan "sibuk ingin mencuba tetapi tidak mahu sibuk untuk memikirkan natijahnya pada jangkamasa panjang".


Apabila ditanya "kenapa berdua-duaan??" Dijawabnya, "Kami tak buat apa-apa pun, berborak je..."

Apabila ditanya "kenapa berada di rumah bukan muhrim tanpa ada penjaga?" Dijawabnya, "Kami tak buat apa-apa pun, duduk je..."


Semua itu pernah berlaku di depan mata saya sendiri di Malaysia suatu masa dahulu di dari kalangan pelajar yang tidak mendapat didikan agama yang cukup. Semoga mereka mendapat taubat nasuha. Dan semoga ia tidak akan berlaku di bumi timur tengah ini dari kalangan yang sentiasa berlegar disekitarnya hukum-hakam agama itu..!!


Jadilah mahasiswa Islam yang berlajar untuk beramal. Bukan mahasiswa Islam yang hanya belajar ilmu-ilmu agama semata-mata untuk menambah ilmu pengetahuan tentang hukum-hakam Fekah dalam kehidupan dan menyebarkannya.


KITA tidak berilmu jika tidak beramal dengannya dan KITA tidak dikira beramal dengannya jika tidak ikhlas kerana Allah.


Antara penyakit mahasiswa Islam timur tengah yang perlu difikirkan ubatnya adalah ,;


"Kita terlalu khayal bermain dengan dengan hukum-hakam dan teori di dalam kelas di Universiti, sehingga kita tidak tahu macam mana ingin keluar kepada isu-isu kemasyarakatan. Kita lebih suka berdebat dan berjidal dengan isu agama yang sudah banyak disepakati oleh ulama' terdahulu, sehingga kita tidak tahu yang mana satu hukum yang sesuai dengan masyarakat kita sekarang."


Wahai sahabat-sahabat seperjuangan...!!! Bangunlah dari lenamu..!! Sedarlah dari lalaimu..!! Hidup kamu di sini bukan semata-mata untuk kebahagian kamu di masa depan, tetapi juga untuk menentukan nasib keluargamu, sahabat-sahabatmu dan kaum-kaummu kelak.

"Dan tidak sepatutnya orang-orang mukmin itu semuanya pergi (ke medan perang). Mengapa sebahagian dari setiap golongan di antara mereka tidak perlu untuk memperdalami pengetahuan agama mereka dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali agar mereka dapat menjaga dirinya." [At Taubah 122]

Janganlah kamu hanya berbangga dengan gelaran kamu sebagai seorang penuntut ilmu atau berseronok sebagai golongan yang berkecuali dari JIHAD pedang itu,...tetapi ingatlah..! Mereka yang syahid di medan perang itu akan mendakwa kamu nanti, jika kepulanganmu kelak tidak mampu menjadi contoh teladan dan memberi peringatan kepada anak cucu mereka nanti....

Bagi saya..cara terbaik membendung gejala LIBERAL ini adalah dengan perkukuhkan IMAN dengan cara BERSABAR.

Imam Ghazali dalam Ihya' Ulumuddin membahagikan IMAN manusia, separuhnya SABAR dan separuh lagi adalah SYUKUR. Sifat SABAR bagi takrifan beliau :
"ثبات باعث الدين في مقابلة باعث الهوى" : Menguatkan kehendak kepada agama untuk melawan kehendak hawa nafsu.


Sebahgian ulama' juga mengklasifikasikan SABAR ini kepada 3 keadaan :

PERTAMA : Sabar dalam melakukan perkara KETAATAN. Agar kamu lebih Istiqamah dan Berjaya.

KEDUA : Sabar daripada melakukan perkara MAKSIAT. Agar kamu terselamat dari Neraka.

KETIGA : Sabar apabila ditimpa malapetaka atau musibah. Agar kamu mendapat kegembiraan kelak.


Oleh yang demikian, kita perlu seimbang dalam memenuhi tuntutan-tuntutan yang ada dalam kehidupan kita pada hari ini. Antara tuntutan yang paling dekat dengan kita adalah tuntutan Emosi dan Tuntutan Etika. Kadanag-kadang, apabila Emosi mengatakan "boleh buat", Etika mengatakan "tidak boleh buat"...kadang-kadang dari sudut Etika ia perlu dilaksanakan, tapi dari sudut Emosi manusia ia tidak perlu dilaksanakan.


Imbangilah ia dengan Akal yang waras berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. InsyaAllah...selamat Dunia hingga ke Akhirat.