Sunday, May 15, 2011

FIQHUL 'Jawab'

Alhamdulillahi robbil 'alamin....

Segala pujian dan syukur hanya milik Allah Taala, yang telah mengurniakan pada kita sehingga ke hari ini dengan pelbagai nikmat yang tidak terhingga nilainya. Seperti Islam, Iman, akal, perasaan, kehidupan, pancaindera dan banyak lagi.

Dan lebih bersyukur lagi, nikmat-nikmat tersebut tidak pernah diminta bayarannya samada bulan mahupun tahunan. Alhamdulillah....Bahkan nikmat-nikmat itu dikira sebagai modal untuk kita, jika kita gunakannya ke arah kebaikan maka kita UNTUNG. Jika kita gunakannya ke arah kejahatan maka kita RUGI.


Pada kali ini hanyalah ingin mengolah kepentingan sebahagian kecil dari nikmat-nikmat yang umat manusia pada hari ini sedang kecapi (kecuali yang bisu). Iaitu nikmat 'BERCAKAP'.

Pesanan Nabi Muhammad s.a.w berkaitan dengan 'percakapan' ini :

"من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليقل خيراً أو ليصمت"
"Barangsiapa yang beriman pada Allah dan hari Akhirat maka berkata dengan kata-kata baik, atau diam.." - riwayat Bukhari dan Muslim


'Bercakap' yang dimaksudkan adalah percakapan yang melibatkan dua belah pihak atau lebih (perbualan). Kerana yang bercakap berseorangan itu, dikhuatiri kewarasannya kecuali pada tempat-tempat dan masa-masa tertentu.

Oleh itu, perkongsian 'FIQHUL JAWAB' kali ini adalah bertujuan meneliti disiplin-disiplin atau kemahiran-kemahiran yang perlu dipatuhi dalam menjawab suatu persoalan dan juga dalam menyampai suatu ilmu.


Perkongsian ini hanya ditujukan pada pembaca-pembaca yang menyahut seruan hidup bermasyarakat! Sebaliknya tidak ditujukan pada mereka yang 'anti bermasyarakat', 'anti berpesatuan', mereka yang hanya suka hidup bersendirian, dan lain-lain yang sewaktu dengannya. Kerana tiada 'jawab' dalam kehidupan bersendirian.

Perkongsian ini juga tidak ditujukan pada mereka yang berniat ingin menyembunyikan ilmu yang ada padanya. Kerana tiadanya proses 'penyampaian ilmu' pada diri mereka.

Perkongsian ini hanya ditujukan khas buat ilmuan-ilmuan yang merasakan tanggungjawab dalam menyampaikan Ilmu Allah walaupun sedikit dan menjauhkan Agama Islam dari fitnah-fitnah manusia yang jahil.


Berinteraksi dengan manusia berdasarkan tahap fikiran mereka.
(خاطبوا الناس على قدر عقولهم
)

Para nabi terdahulu amat menggalakkan umatnya untuk bergaul dengan sekalian manusia dengan meraikan tahap pemikiran mereka. Kerana itu adalah salah satu method dakwah yang amat berkesan untuk menarik manusia kepada agama Islam. Masuknya manusia ke dalam Islam bukan hanya kerana fakta-fakta dan bukit-bukti yang pasti itu, bahkan didorong oleh naluri dan tabiat pemikiran yang sesuai.

Prinsip ini bukan hanya dipraktikkan ketika berhadapan dengan kanak-kanak sekolah rendah atau warga-warga emas sahaja. Malah ia perlu dilihat dalam konteks masyarakat yang lebih luas.

Allah Taala telah menganugerahkan kepada manusia dengan potensi akal fikiran yang berbeza-beza. Dan potensi ini tidak boleh diukur dengan tepat hanya dengan melihat pada raub wajah, usia, jantina atau luaranya sahaja. Kadang-kadang ada yang umurnya telah dewasa tetapi pemikirannya kebudak-budakan dan ada juga yang usianya masih muda tapi memiliki kematangan dan pemikiran yang dewasa.

Selain itu, ada juga golongan dewasa yang berilmu yang cenderong menerima sebarang input dengan menggunakan logikal sahaja, dan ada juga cenderong menerima input yang hanya mempunyai sandaran pada nas-nas sahaja dan pelbagai lagi.

Oleh itu, amat tidak wajar sekali jika kita terlalu cepat menghukum seseorang individu itu hanya dengan memandang luarannya sahaja. Sebaliknya kita seharusnya lebih teliti dalam mengenal manusia disekiling kita. Mendekati mereka sebelum menegur mereka. Memahami mereka sebelum mengajar mereka.

MENGELAK SALAH FAHAM ORANG AWAM

Realiti yang berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini, ...banyak perpecahan yang berlaku berpunca daripada golongan interlektual (ustaz-ustaz) yang tidak faham 'FIQHUL JAWAB'. Apabila mereka berasa bangga dan tinggi dengan ilmu-ilmu, kitab-kitab dan tokguru-tokguru mereka. Seterusnya mereka mengajar orang-orang kampung yang sedang 'kebuluran ilmu' itu dengan menggunakan istilah-istilah yang pelik.

Ustaz-ustaz yang mengajar di masjid atau mana-mana majlis ilmu sepatutnya memandang serius pada permasalahan ini. Kerana yang dimaksudkan dengan 'menyampai ilmu' itu adalah dengan memastikan pendengar benar-benar faham dengan apa yang hendak disampaikan itu.

Jika tidak, buruk padahnya!!


"حدثوا الناس بما يعرفون، أتحبون أن يكذّب الله ورسوله"
"Berkata-katalah kamu pada manusia dengan apa yang mereka ketahui, adakah kamu suka mereka mendustai kata-kata Allah dan RasulNya.?" (hadis mauquf dari Saidina Ali-dalam sahih Bukhari)

Sewajibnya ustaz-ustaz menjadi pemudahcara bagi masyarakat awam untuk memahami sesuatu hukum hakam agama. Oleh itu, jawablah segala pertanyaan mereka dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami, dan elakkan dari menggunakan istilah-istilah yang 'pelik-pelik' yang boleh menjadi benteng kepada akal dan hati pendengar daripada menerimanya.

Ustaz-ustaz juga perlu mengambil kira juga tahap pemikiran masyarakat awam yang tiada asas didikan agama terutamanya pemuda-pemuda yang sangat agresif dalam menolak pendapat-pendapat yang mungkin bercanggah dengan naluri dan tabiat harian mereka.

Akibatnya, mereka menganggap kata-kata 'bombastik' dan nas-nas syar'ei yang dibawa oleh ustaz-ustaz itu adalah suatu yang direka-reka sahaja. Kerana bagi mereka Islam itu agama yang menyeluruh dan tidak akan bercanggah dengan fitrah manusia.

Secara tidak langsung, mereka telah mendustai Allah dan RasulNya dengan menolak jawapan-jawapan dan nas-nas yang dibawa oleh si ustaz-ustaz itu. Berhati-hati lah wahai ustaz-ustaz.......

MENJAUHI FITNAH DALAM MENJAWAB SOALAN

Selain daripada berusaha meraikan tahap pemikiran si penyoal itu , ilmuan-ilmuan juga perlu berhati-hati terhadap akibat kepada jawapan yang diberikan itu. Kerana boleh jadi, jawapan yang diberikan itu seakan-akan telah menjawab segala permasalahan yang ditimbulkan, namun mungkin terdapat aspek-aspek lain yang kita terlepas pandang.

Contohnya, ada soalan-soalan yang hanya perlu dikemukakan jawapannya pada waktu, tempat atau kepada individu-individu tertentu sahaja. Tetapi sayangnya, disebabkan terlalu ghairah dengan 'tanggungjawab' menyampaikan ilmu itu, kita terlupa akan perkara itu.

Ya..."ZALIM" !! Kerana telah meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya.

Akibatnya Fitnah-Fitnah liar akan mula timbul !! Cela-mencela....ejek-mengejek...umpat mengumpat....keperibadian ilmuan-ilmuan mula dipandang serong.

"من حسن الاسلام المرء تركه ما لا يعنيه"
"Sebahagian daripada keelokan seseorang mukmin ialah meninggalkan suatu yang tidak berfaedah baginya" - Hadis Hasan- Riwayat Tirmizi dan Ibn Majah-

Oleh itu, jawablah persoalan itu dengan mengikut kesesuaian dan keperluan si penyoal.

Nasihat Imam Syatibi dalam karya masyhurnya "Al Muwafaqat" apabila berbicara tentang adab seorang Qadhi dalam mengeluarkan hukum, terdapat dua perkara yang perlu dititikberatkan iaitu 'memahami sandaran hukum (Quran dan Sunnah)' dan 'memahami situasi semasa'.

Contoh teladan juga telah banyak ditontonkan oleh junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w dalam 'FIQHUL JAWAB' ini. Apabila baginda ditanya oleh para sahabat tentang amalan-amalan yang paling Afdhal, maka baginda telah menjawabnya dengan jawapan yang berlainan mengikut kesesuaian si penyoal itu.


"ما أنت بمحدث قوما حديثا لا تبلغه عقولهم إلا كان لبعضهم فتنة"
"Daripada Ibn Mas'ud, katanya : Percakapan kamu itu hendaklah sampai kepada akal-akal sesuatu kaum (difahami), jika tidak sebahagian daripadanya adalah fitnah" (dalam sahih Muslim).

Oleh itu, ternyatalah kepada kita bahawa akibat daripada tidak memahami tahap pemikiran si penyoal itu, akan timbulnya fitnah. Kerana mungkin lain yang diberitahu dan lain pula yang difahami oleh masyarakat awam.


KESIMPULAN


'FIQHUL JAWAB' perlu menjadi satu agenda dalam misi dan visi para penuntut ilmu agama terutamanya. Dalam memastikan ilmu-ilmu yang dipelajari itu mampu disampaikan kepada orang lain dengan selamat dan sempurna. Dan yang paling penting dapat menjaga Islam dari difitnah dan ditohmah dengan pelbagai tohmahan oleh musuh-musuh Allah.


Selain itu, dapat melahirkan para ilmuan agama yang profesional dalam berhadapan dengan pelbagai permasalahan masyarakat atau manusia akhir zaman ini. Sekaligus menjaga imej graduasi-graduasi 'pengajian Islam' di mata masyarakat awam. Samada graduasi dari timur tengah, pondok, maahad, universiti tempatan dan lain-lain.


SELAMAT BERFIKIR DAN MENCUBA.....!!

No comments: