Sunday, May 15, 2011

PENJARA MUKMIN



Impian Mukmin yang paling agong adalah bertemu Allah Azza Wa Jalla. Namun tidak ia semudah 'membuang masa' sahaja. Ujian dan dugaan yang ditempuhi sepanjang kehidupan di dunia ini melambangkan ketinggian dan kemuliaan 'pertemuan' itu. Hanya yang berjaya melepasi ujian-ujian itu sahaja mampu menikmati pertemuan dengan Tuhan segala Tuhan itu.

Allah telah memenjarakan diri MUKMIN di dunia ini dengan dua PENJARA :

Penjara Pertama : Penjarakan hati bersama lazat KETAATAN pada Allah Taala. Kehidupan Mukmin di dunia ini hanya bersama apa yang disuruh oleh Allah seperti perkara-perkara wajib dan sunat sahaja.

Lazimi diri dengan Solat Lima Waktu dan solat-solat sunat seperti dhuha dan witir. Berpuasa di bulan Ramadhan dan puasa Isnin Khamis. Mengeluarkan zakat pada yang cukup syarat dan bersedekat yang mampu. Menunaikan Haji pada yang mampu dan Umrah pada yang mampu dan berkelapangan.

Alangkah indahnya Penjara ini !! Bukan seperti kesengsaraan yang terbayang oleh pemikiran kita di penjara-penjara buatan manusia itu, malah kebahagian dan ketenangan yang tiada penghujungnya.

Penjara Kedua : Penjara hati daripada lazat MAKSIAT keduniaan. Penjara kedua ini sebenarnya bertujuan membantu Mukmin untuk lebih selesa dan tenang di dalam penjara yang pertama itu.

Menjauhi perkara yang Haram dan Syubhah. Kerana kedua-duanya akan mengheret mukmin ke lembah api Neraka. Maksiat tidak akan menjelma di depan mata Mukmin dengan wajah hodohnya, tapi ia akan jelma dengan wajah yang elok dan bersih. Maka berhati-hati lah...

Hati yang terlepas dari penjara pertama itu akan terasa bebas di luar bersama masyarakat maksiat keduniaan. Oleh itu, penjaralah hati itu dalam penjara kedua itu..!!

Mukmin, samada terpenjara di dunia ataupun terpenjara di Akhirat. Maka pilihlah penjara di dunia ini ....

Jadilah kita Mukmin yang menghabiskan hayat di dunia dalam dua penjara itu, dan bakal bebas di akhirat kelak di Syurga bersama bidadarinya. Jangan pula kita menjadi Mukmin yang menghabiskan hayat di dunia ini dengan kebebasan, dan bakal terpenjara di Akhirat kelak di neraka Allah bersama tunggul-tunggul kayu yang sentiasa menyala apinya. Na'uzubillah....

Allaaaaahu Akbar....Kami rindu untuk bertemuMu Ya Allah.......!!

No comments: