Sunday, May 15, 2011

MANUSIA Lupa ALLAH kerana Lupa DIRI

وإن تعدوا نعمة الله لا تحصوها
“Sekiranya kamu menghitung nikmat Allah s.w.t nescaya kamu tidak akan mampu untuk menghitungnya” (Surah An-Nahl : 18)

Demikian CABARAN yang berbentuk PENYATAAN. Dirakamkan dalam antara himpunan ayat-ayat suci Al-Quran Al-Karim.

Maha Pemurah sang Pencipta itu terhadap hamba-hambaNya. Sentiasa sudi memberikan nikmat kepada sekalian manusia walaupun DIA sering dilupa.


Maha Kaya sang Pencipta itu terhadap hamba-hambaNya. Memenuhi segala permintaan manusia tanpa berkurang hak milikNya walaupun sedikit.


Maha Mengetahui sang Pencipta itu terhadap hamba-hambaNya. Menganugerahkan pada manusia nikmat-nikmat yang tidak sama sedangkan manusia sering mempertikaikannya.


Manusia akan menyedari semua hakikat tersebut sekiranya mereka berakal !


Usahlah dihitung segala nikmat-nikmat Allah yang ada di muka bumi ini. Cukuplah sekadar kita menghitung nikmat yang sedang kita rasai sekarang,..mendengar, melihat, merasa, berperasaan, berfikir, bernafas….itupun sudah tidak terhitung manfaatnya.


Firman Allah s.w.t :


فاذكروني أذكركم واشكرولي ولا تكفرون

“Ingatlah kalian pada AKU nescaya AKU juga akan mengingatimu, bersyukurlah padaKu dan janganlah kufur (pada NikmatKU)”


ZIKIR (mengingati Allah) banyak caranya. Bukan hanya dengan berzikir selepas solat atau pada majlis-majlis tertentu sahaja. Namun mengingati Allah dituntut di setiap masa dan tempat. Juga dengan memerhatikan awan, langit, bintang, bulan, matahari, pokok, haiwan, manusia dan seluruh ciptaan Allah yang lain, kita mampu ingat pada Penciptanya.


Mungkin agak sukar mengingati Allah dengan cara-cara berikut. Kerana ia memerlukan tahap tadabbur dan tafakkur yang tinggi. Namun terdapat satu lagi cara yang lebih mudah dari segi teorinya untuk mendapat perhatian Allah, iaitu dengan bersyukur padaNYA.


SYUKUR . Bersyukur juga bukan hanya terletak pada rukun qauli (kata-kata) tapi ia lebih sesuai dengan rukun fi’li (perbuatan).


اعملوا ءال داود شكراً وقليل من عبادي الشكور

“Bekerjalah wahai keluarga Dawud untuk bersyukur. Dan sedikit sahaja dari hamba-hambaKU yang bersyukur” (Surah As-Saba’ :13)


Lambang yang paling nyata untuk mengukur kesyukuran seseorang itu adalah dengan melihat pada perbuatannya.


Manusia berZIKIR dan berSYUKUR adalah untuk mendapat perhatian daripada Allah Taala. Bagaimanakah keadaan kita….dimanakah kita… jika kita tidak termasuk dalam golongan yang mendapat perhatian dan inayah Allah???!


“Ya ALLAH.... janganlah Kau serahkan aku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata...”


Ingat pada DIRI maka Ingat pada ALLAH, Sayang pada DIRI maka sayang pada ALLAH……


ولا تكونوا كالذين نسوا الله فأنساهم أنفسهم أولئك هم الفاسقون

“Dan janganlah kamu jadi seperti orang-orang yang melupakan Allah sehinggakan Allah menjadikan mereka lupa pada diri mereka sendiri, mereka itulah orang-orang yang fasiq” (Surah Al-Hasyr : 19)


Manusia yang melupakan Allah akibatnya mereka akan lupakan diri mereka sendiri. Mereka akan bertindak di luar batasan. Mereka lupa asal usul mereka. Mereka lupa hak-hak dan tanggungjawab mereka. Mereka lupa tujuan mereka hidup di muka bumi ini. Mereka lupa kemana akan mereka tuju selepas ini…..

يأيها الذين ءامنوا اتقوا الله ولتنظر نفس ما قدمت لغدٍ واتقوا الله

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu pada Allah s.w.t dan perhatikanlah setiap apa yang telah dikerjakan untuk hari esok (akhirat) dan bertaqwalah kamu pada Allah s.w.t”


Yaaa……benar…Allah Taala telah menyarankan pada orang-orang beriman agar mempersiapkan dirinya untuk menghadapi hari Akhirat kelak. Hari yang akan berlangsungnya segala perhitungan amalan yang telah dikerjakan di dunia samada baik atau buruk. Hari yang padanya hanya PAHALA dan DOSA sahaja yang akan menjadi ‘pertukaran’ yang sah. Hari yang hak mutlaknya hanya pada Allah Taala.


Namun persiapan-persiapan tersebut tidak akan mampu dilakukan oleh mereka yang lupa diri, kerana hakikatnya mereka telah lupa siapa Pemilik Hari Akhirat itu.


Oleh itu, agamawan pernah menyebut “perkara pertama dalam agama (Islam) ialah mengenal Allah”. Namun orang yang mahu mengenal Allah terlebih dahulu ia perlu mengenal dirinya sendiri.


Menyayangi dan mengasihi diri adalah satu tuntutan dalam Islam. Kerana bermula dari situ, kita akan menyayangi kawan-kawan kita, Rasulullah s.a.w dan Allah Robbul Jalal.


Sabda Nabi :

لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه

“Tidak akan sempurna iman seorang daripada kamu sehinggalah dia mengasihi saudaranya seperti ia mengasihi dirinya sendiri”


Hadis ini jelas menggambarkan pada kita bahawa kasih dan sayang kita pada orang di sekitar diri kita adalah berpunca dari kasih kita pada diri sendiri.


Kalaulah begini keadaannya. Bagaimana kita mahu menjaga ‘hablun minAllah’ dan ‘hablun minannas’ sedangkan diri kita sendiri masih belum selesai….???


Tanda manusia cintakan Allah adalah dengan dia mencintai Al-Quran (Kalamullah).


Tanda manusia cintakan Kalamullah adalah dengan dia mencintai Rasulullah s.a.w.


Tanda manusia cintakan Rasulullah s.a.w adalah dengan dia mencintai sunnah Rasulullah.


Tanda manusia cintakan Sunnah Rasulullah adalah dengan dia mengamalkannya.



No comments: