Sunday, May 15, 2011

MANUSIA Lupa ALLAH kerana Lupa DIRI

وإن تعدوا نعمة الله لا تحصوها
“Sekiranya kamu menghitung nikmat Allah s.w.t nescaya kamu tidak akan mampu untuk menghitungnya” (Surah An-Nahl : 18)

Demikian CABARAN yang berbentuk PENYATAAN. Dirakamkan dalam antara himpunan ayat-ayat suci Al-Quran Al-Karim.

Maha Pemurah sang Pencipta itu terhadap hamba-hambaNya. Sentiasa sudi memberikan nikmat kepada sekalian manusia walaupun DIA sering dilupa.


Maha Kaya sang Pencipta itu terhadap hamba-hambaNya. Memenuhi segala permintaan manusia tanpa berkurang hak milikNya walaupun sedikit.


Maha Mengetahui sang Pencipta itu terhadap hamba-hambaNya. Menganugerahkan pada manusia nikmat-nikmat yang tidak sama sedangkan manusia sering mempertikaikannya.


Manusia akan menyedari semua hakikat tersebut sekiranya mereka berakal !


Usahlah dihitung segala nikmat-nikmat Allah yang ada di muka bumi ini. Cukuplah sekadar kita menghitung nikmat yang sedang kita rasai sekarang,..mendengar, melihat, merasa, berperasaan, berfikir, bernafas….itupun sudah tidak terhitung manfaatnya.


Firman Allah s.w.t :


فاذكروني أذكركم واشكرولي ولا تكفرون

“Ingatlah kalian pada AKU nescaya AKU juga akan mengingatimu, bersyukurlah padaKu dan janganlah kufur (pada NikmatKU)”


ZIKIR (mengingati Allah) banyak caranya. Bukan hanya dengan berzikir selepas solat atau pada majlis-majlis tertentu sahaja. Namun mengingati Allah dituntut di setiap masa dan tempat. Juga dengan memerhatikan awan, langit, bintang, bulan, matahari, pokok, haiwan, manusia dan seluruh ciptaan Allah yang lain, kita mampu ingat pada Penciptanya.


Mungkin agak sukar mengingati Allah dengan cara-cara berikut. Kerana ia memerlukan tahap tadabbur dan tafakkur yang tinggi. Namun terdapat satu lagi cara yang lebih mudah dari segi teorinya untuk mendapat perhatian Allah, iaitu dengan bersyukur padaNYA.


SYUKUR . Bersyukur juga bukan hanya terletak pada rukun qauli (kata-kata) tapi ia lebih sesuai dengan rukun fi’li (perbuatan).


اعملوا ءال داود شكراً وقليل من عبادي الشكور

“Bekerjalah wahai keluarga Dawud untuk bersyukur. Dan sedikit sahaja dari hamba-hambaKU yang bersyukur” (Surah As-Saba’ :13)


Lambang yang paling nyata untuk mengukur kesyukuran seseorang itu adalah dengan melihat pada perbuatannya.


Manusia berZIKIR dan berSYUKUR adalah untuk mendapat perhatian daripada Allah Taala. Bagaimanakah keadaan kita….dimanakah kita… jika kita tidak termasuk dalam golongan yang mendapat perhatian dan inayah Allah???!


“Ya ALLAH.... janganlah Kau serahkan aku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata...”


Ingat pada DIRI maka Ingat pada ALLAH, Sayang pada DIRI maka sayang pada ALLAH……


ولا تكونوا كالذين نسوا الله فأنساهم أنفسهم أولئك هم الفاسقون

“Dan janganlah kamu jadi seperti orang-orang yang melupakan Allah sehinggakan Allah menjadikan mereka lupa pada diri mereka sendiri, mereka itulah orang-orang yang fasiq” (Surah Al-Hasyr : 19)


Manusia yang melupakan Allah akibatnya mereka akan lupakan diri mereka sendiri. Mereka akan bertindak di luar batasan. Mereka lupa asal usul mereka. Mereka lupa hak-hak dan tanggungjawab mereka. Mereka lupa tujuan mereka hidup di muka bumi ini. Mereka lupa kemana akan mereka tuju selepas ini…..

يأيها الذين ءامنوا اتقوا الله ولتنظر نفس ما قدمت لغدٍ واتقوا الله

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu pada Allah s.w.t dan perhatikanlah setiap apa yang telah dikerjakan untuk hari esok (akhirat) dan bertaqwalah kamu pada Allah s.w.t”


Yaaa……benar…Allah Taala telah menyarankan pada orang-orang beriman agar mempersiapkan dirinya untuk menghadapi hari Akhirat kelak. Hari yang akan berlangsungnya segala perhitungan amalan yang telah dikerjakan di dunia samada baik atau buruk. Hari yang padanya hanya PAHALA dan DOSA sahaja yang akan menjadi ‘pertukaran’ yang sah. Hari yang hak mutlaknya hanya pada Allah Taala.


Namun persiapan-persiapan tersebut tidak akan mampu dilakukan oleh mereka yang lupa diri, kerana hakikatnya mereka telah lupa siapa Pemilik Hari Akhirat itu.


Oleh itu, agamawan pernah menyebut “perkara pertama dalam agama (Islam) ialah mengenal Allah”. Namun orang yang mahu mengenal Allah terlebih dahulu ia perlu mengenal dirinya sendiri.


Menyayangi dan mengasihi diri adalah satu tuntutan dalam Islam. Kerana bermula dari situ, kita akan menyayangi kawan-kawan kita, Rasulullah s.a.w dan Allah Robbul Jalal.


Sabda Nabi :

لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه

“Tidak akan sempurna iman seorang daripada kamu sehinggalah dia mengasihi saudaranya seperti ia mengasihi dirinya sendiri”


Hadis ini jelas menggambarkan pada kita bahawa kasih dan sayang kita pada orang di sekitar diri kita adalah berpunca dari kasih kita pada diri sendiri.


Kalaulah begini keadaannya. Bagaimana kita mahu menjaga ‘hablun minAllah’ dan ‘hablun minannas’ sedangkan diri kita sendiri masih belum selesai….???


Tanda manusia cintakan Allah adalah dengan dia mencintai Al-Quran (Kalamullah).


Tanda manusia cintakan Kalamullah adalah dengan dia mencintai Rasulullah s.a.w.


Tanda manusia cintakan Rasulullah s.a.w adalah dengan dia mencintai sunnah Rasulullah.


Tanda manusia cintakan Sunnah Rasulullah adalah dengan dia mengamalkannya.



PENJARA MUKMIN



Impian Mukmin yang paling agong adalah bertemu Allah Azza Wa Jalla. Namun tidak ia semudah 'membuang masa' sahaja. Ujian dan dugaan yang ditempuhi sepanjang kehidupan di dunia ini melambangkan ketinggian dan kemuliaan 'pertemuan' itu. Hanya yang berjaya melepasi ujian-ujian itu sahaja mampu menikmati pertemuan dengan Tuhan segala Tuhan itu.

Allah telah memenjarakan diri MUKMIN di dunia ini dengan dua PENJARA :

Penjara Pertama : Penjarakan hati bersama lazat KETAATAN pada Allah Taala. Kehidupan Mukmin di dunia ini hanya bersama apa yang disuruh oleh Allah seperti perkara-perkara wajib dan sunat sahaja.

Lazimi diri dengan Solat Lima Waktu dan solat-solat sunat seperti dhuha dan witir. Berpuasa di bulan Ramadhan dan puasa Isnin Khamis. Mengeluarkan zakat pada yang cukup syarat dan bersedekat yang mampu. Menunaikan Haji pada yang mampu dan Umrah pada yang mampu dan berkelapangan.

Alangkah indahnya Penjara ini !! Bukan seperti kesengsaraan yang terbayang oleh pemikiran kita di penjara-penjara buatan manusia itu, malah kebahagian dan ketenangan yang tiada penghujungnya.

Penjara Kedua : Penjara hati daripada lazat MAKSIAT keduniaan. Penjara kedua ini sebenarnya bertujuan membantu Mukmin untuk lebih selesa dan tenang di dalam penjara yang pertama itu.

Menjauhi perkara yang Haram dan Syubhah. Kerana kedua-duanya akan mengheret mukmin ke lembah api Neraka. Maksiat tidak akan menjelma di depan mata Mukmin dengan wajah hodohnya, tapi ia akan jelma dengan wajah yang elok dan bersih. Maka berhati-hati lah...

Hati yang terlepas dari penjara pertama itu akan terasa bebas di luar bersama masyarakat maksiat keduniaan. Oleh itu, penjaralah hati itu dalam penjara kedua itu..!!

Mukmin, samada terpenjara di dunia ataupun terpenjara di Akhirat. Maka pilihlah penjara di dunia ini ....

Jadilah kita Mukmin yang menghabiskan hayat di dunia dalam dua penjara itu, dan bakal bebas di akhirat kelak di Syurga bersama bidadarinya. Jangan pula kita menjadi Mukmin yang menghabiskan hayat di dunia ini dengan kebebasan, dan bakal terpenjara di Akhirat kelak di neraka Allah bersama tunggul-tunggul kayu yang sentiasa menyala apinya. Na'uzubillah....

Allaaaaahu Akbar....Kami rindu untuk bertemuMu Ya Allah.......!!

Nasihat buat Adikku "Remaja"....

Engkau dituntut lahir ke dunia.....

Engkau dituntut mengenal dunia......

Engkau dituntut mengenal Tuhan dan RasulNya....

Engkau dituntut menyayangi ibu bapamu dan keluargamu...

Engkau dituntut menjaga mainan ketika kau kecil.....

Engkau dituntut untuk ke sekolah menuntut ilmu....

Engkau dituntut menguruskan diri mu sendiri....

Engkau dituntut supaya beradab dengan orang sekelilingmu...

............................dari mana kau mula tahu semua tuntutan-tuntutan ini...!!!??

Tentunya orang pertama yg mengajarmu tuntutan itu adalah Ibu dan Ayah mu......

Tapi pernahkah engkau dengar sendiri dari mulut Ibu mu ...."Engkau mesti jaga hati Ibu"...???!!


Allaaaah.....


sejak dulu hinggalah sekarang...engkau telah berjaya tunaikan semua tuntutan di atas itu...tapi sehingga kini juga kau tak pernah endahkan hati kecil ibumu itu....!! kenapa..?!

Adakah engkau mahu tunggu sehingga Ibu mu berkata depan mu......"abang,,..jangan lupa ye..jaga hati ibu ini...."?????

TIDAK BERGUNA LANGSUNG segala yang engkau selalu megah-megahkan itu.....jika hati kecil itu pun kau tak mampu jaga....

Usah berbicara tentang kelelakian atau kejantanan mu itu....jika kau tak mampu tunduk pada ibumu....

Usah berbicara tentang kepandaian mu itu....jika kau tak tahu bagaimana nak memujuk ibumu yang sedang kesedihan itu....

Usah bercakap tentang kecantikan mu itu...jika kau tak mampu tuk hiasi taman hati ibu mu yang sedang tercemar itu...

Usahlah kau banyak berfalsafah dengan falsafah kepimpinan...jika kau tak boleh memimpin kehendakmu ke arah berbakti pada Ibu dan Ayah mu....

Usah berbicara tentang kekayaanmu itu....jika kau tak boleh nak bagi kesenangan pada kehidupan Ibu mu yang sudah habis peluhnya mencari rezeki untuk mu satu masa dulu....



Kini...

Bukan sahaja kau tak jaga hatinya......malah Ibu mu itu terpaksa menjaga hati mu pula......

Ibu terpaksa berfikir berkali-kali menegurmu... takut kau akan rasa sedih...takut hati kau terguris....takut kau akan rasa malu dengan adik beradik mu yang lain.....takut kau akan melenting...takut kau takkan balik rumah lagi......

Takut..!!!???? Sekarang Ibu sudah takut pada kamu......?? Gembiralah kau dengan pencapaian 'cemerlang' itu, sekiranya itulah yang kau mahukan......senang kerja kau selepas ini...tidak lagi dikongkong....tidak lagi dipaksa-paksa....

Yaa..kalau kau nak tahu.....itulah antara tanda-tanda kiamat sudah dekat.....!!! Maka bersedialah kau untuk dibakar dengan api neraka kerana perbuatanmu itu.


Ibu dan Ayah selalu jaga 'aib dan kehormatan mu dimana-mana sahaja kau pergi....tapi kau pula membalas dengan lemparan najis mu sendiri ke muka ibu dan ayahmu....adil ke tu?!

Dimanakah keperibadian mu sebagai seorang anak, seorang abang, seorang kakak, seorang adik....??

Walaupun tahap pendidikan mu lebih tinggi dari Ibu dan Ayah mu....adakah itu alasan untuk kau tidak membelai hati mereka.??

Adakah kerana kawan-kawan mu itu lebih mudah memahami perasaan dan kehendakmu, kau meninggalkan nasihat-nasihat ibu dan ayah mu itu ..?

Adakah kerana kau rasa kau masih belum betul matang, kau selalu sakiti hati mereka..?

Adakah kerana Ibu lebih sayangkan adik-beradikmu yang lain, kau menganggap dia bukan ibu mu..??

Adakah kerana kau bukan dari aliran agama, kau boleh berlaku biadap terhadap Ibu dan Ayahmu..??

Adakah kerana subjek Bahasa Melayu mu dapat rendah, kau tak tahu untuk menggunakan bahasa yang betul supaya tidak mengguris hati Ibu..??


Yaa...menjadi kebiasaan anak-anak remaja sekarang dididik dengan cara tidak memaksa. Hanya memberi peluang dan dorongan kepada anak-anak.

Jika dulu, mahu minta duit dengan Ayah untuk bayaran aktiviti di sekolah itu memerlukan masa yang lama untuk dapat. Perlu menebalkan muka dan telinga sebelum dapat duit itu. Mungkin tiga hari sebelum, mungkin 5 hari, mungkin seminggu baru dapat.

Tapi kini, kau mampu dapat semua itu sebelum kau lafazkan permintaan itu. Ibu dan ayah akan sentiasa tanya apa yang kau perlukan untuk kau belajar, untuk belanja kau dan lain-lain.

Sampai begitu sekali pun, kau boleh katakan yang Ibu mu itu "kedekut" . Kau boleh katakan Ibu dan Ayah selalu "menyibuk" atau sebagainya. Astaghfirullah....


Ingatlah wahai adik-adikku....

Walaupun Ibu dan Ayah mu itu tidak mengalirkan air matanya di depan mu, bukan bermakna kau boleh teruskan dengan ungkapan-ungkapan yang kesat dan perbuatan-perbuatan yang melampau itu terhadap mereka. Walaupun mereka tidak mengadu kepada manusia, tapi mereka selalu mengadu pada Allah. Kemana lagi kau mahu lari dari Azab Allah yang Maha Kuasa itu...?

Gunalah sebaik-baiknya akal fikiran yang Allah kurniakan pada mu itu. Fikirkanlah apa kesan dari perkataan dan perbuatan yang kau bakal tujukan kepada mereka. Jika engkau terpaksa rugi atau sedih sekalipun dengan perbuatan itu, bersabar sajalah.....ku pohon pada kau wahai adikku....janganlah kau sekali-kali memindahkan kesedihan dan kerugian itu kepada jasad dan hati mereka berdua. Besar ganjarannya jika kau jadi soleh dan solehah! Itu janji Allah dan RasulNya.

FIQHUL 'Jawab'

Alhamdulillahi robbil 'alamin....

Segala pujian dan syukur hanya milik Allah Taala, yang telah mengurniakan pada kita sehingga ke hari ini dengan pelbagai nikmat yang tidak terhingga nilainya. Seperti Islam, Iman, akal, perasaan, kehidupan, pancaindera dan banyak lagi.

Dan lebih bersyukur lagi, nikmat-nikmat tersebut tidak pernah diminta bayarannya samada bulan mahupun tahunan. Alhamdulillah....Bahkan nikmat-nikmat itu dikira sebagai modal untuk kita, jika kita gunakannya ke arah kebaikan maka kita UNTUNG. Jika kita gunakannya ke arah kejahatan maka kita RUGI.


Pada kali ini hanyalah ingin mengolah kepentingan sebahagian kecil dari nikmat-nikmat yang umat manusia pada hari ini sedang kecapi (kecuali yang bisu). Iaitu nikmat 'BERCAKAP'.

Pesanan Nabi Muhammad s.a.w berkaitan dengan 'percakapan' ini :

"من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليقل خيراً أو ليصمت"
"Barangsiapa yang beriman pada Allah dan hari Akhirat maka berkata dengan kata-kata baik, atau diam.." - riwayat Bukhari dan Muslim


'Bercakap' yang dimaksudkan adalah percakapan yang melibatkan dua belah pihak atau lebih (perbualan). Kerana yang bercakap berseorangan itu, dikhuatiri kewarasannya kecuali pada tempat-tempat dan masa-masa tertentu.

Oleh itu, perkongsian 'FIQHUL JAWAB' kali ini adalah bertujuan meneliti disiplin-disiplin atau kemahiran-kemahiran yang perlu dipatuhi dalam menjawab suatu persoalan dan juga dalam menyampai suatu ilmu.


Perkongsian ini hanya ditujukan pada pembaca-pembaca yang menyahut seruan hidup bermasyarakat! Sebaliknya tidak ditujukan pada mereka yang 'anti bermasyarakat', 'anti berpesatuan', mereka yang hanya suka hidup bersendirian, dan lain-lain yang sewaktu dengannya. Kerana tiada 'jawab' dalam kehidupan bersendirian.

Perkongsian ini juga tidak ditujukan pada mereka yang berniat ingin menyembunyikan ilmu yang ada padanya. Kerana tiadanya proses 'penyampaian ilmu' pada diri mereka.

Perkongsian ini hanya ditujukan khas buat ilmuan-ilmuan yang merasakan tanggungjawab dalam menyampaikan Ilmu Allah walaupun sedikit dan menjauhkan Agama Islam dari fitnah-fitnah manusia yang jahil.


Berinteraksi dengan manusia berdasarkan tahap fikiran mereka.
(خاطبوا الناس على قدر عقولهم
)

Para nabi terdahulu amat menggalakkan umatnya untuk bergaul dengan sekalian manusia dengan meraikan tahap pemikiran mereka. Kerana itu adalah salah satu method dakwah yang amat berkesan untuk menarik manusia kepada agama Islam. Masuknya manusia ke dalam Islam bukan hanya kerana fakta-fakta dan bukit-bukti yang pasti itu, bahkan didorong oleh naluri dan tabiat pemikiran yang sesuai.

Prinsip ini bukan hanya dipraktikkan ketika berhadapan dengan kanak-kanak sekolah rendah atau warga-warga emas sahaja. Malah ia perlu dilihat dalam konteks masyarakat yang lebih luas.

Allah Taala telah menganugerahkan kepada manusia dengan potensi akal fikiran yang berbeza-beza. Dan potensi ini tidak boleh diukur dengan tepat hanya dengan melihat pada raub wajah, usia, jantina atau luaranya sahaja. Kadang-kadang ada yang umurnya telah dewasa tetapi pemikirannya kebudak-budakan dan ada juga yang usianya masih muda tapi memiliki kematangan dan pemikiran yang dewasa.

Selain itu, ada juga golongan dewasa yang berilmu yang cenderong menerima sebarang input dengan menggunakan logikal sahaja, dan ada juga cenderong menerima input yang hanya mempunyai sandaran pada nas-nas sahaja dan pelbagai lagi.

Oleh itu, amat tidak wajar sekali jika kita terlalu cepat menghukum seseorang individu itu hanya dengan memandang luarannya sahaja. Sebaliknya kita seharusnya lebih teliti dalam mengenal manusia disekiling kita. Mendekati mereka sebelum menegur mereka. Memahami mereka sebelum mengajar mereka.

MENGELAK SALAH FAHAM ORANG AWAM

Realiti yang berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini, ...banyak perpecahan yang berlaku berpunca daripada golongan interlektual (ustaz-ustaz) yang tidak faham 'FIQHUL JAWAB'. Apabila mereka berasa bangga dan tinggi dengan ilmu-ilmu, kitab-kitab dan tokguru-tokguru mereka. Seterusnya mereka mengajar orang-orang kampung yang sedang 'kebuluran ilmu' itu dengan menggunakan istilah-istilah yang pelik.

Ustaz-ustaz yang mengajar di masjid atau mana-mana majlis ilmu sepatutnya memandang serius pada permasalahan ini. Kerana yang dimaksudkan dengan 'menyampai ilmu' itu adalah dengan memastikan pendengar benar-benar faham dengan apa yang hendak disampaikan itu.

Jika tidak, buruk padahnya!!


"حدثوا الناس بما يعرفون، أتحبون أن يكذّب الله ورسوله"
"Berkata-katalah kamu pada manusia dengan apa yang mereka ketahui, adakah kamu suka mereka mendustai kata-kata Allah dan RasulNya.?" (hadis mauquf dari Saidina Ali-dalam sahih Bukhari)

Sewajibnya ustaz-ustaz menjadi pemudahcara bagi masyarakat awam untuk memahami sesuatu hukum hakam agama. Oleh itu, jawablah segala pertanyaan mereka dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami, dan elakkan dari menggunakan istilah-istilah yang 'pelik-pelik' yang boleh menjadi benteng kepada akal dan hati pendengar daripada menerimanya.

Ustaz-ustaz juga perlu mengambil kira juga tahap pemikiran masyarakat awam yang tiada asas didikan agama terutamanya pemuda-pemuda yang sangat agresif dalam menolak pendapat-pendapat yang mungkin bercanggah dengan naluri dan tabiat harian mereka.

Akibatnya, mereka menganggap kata-kata 'bombastik' dan nas-nas syar'ei yang dibawa oleh ustaz-ustaz itu adalah suatu yang direka-reka sahaja. Kerana bagi mereka Islam itu agama yang menyeluruh dan tidak akan bercanggah dengan fitrah manusia.

Secara tidak langsung, mereka telah mendustai Allah dan RasulNya dengan menolak jawapan-jawapan dan nas-nas yang dibawa oleh si ustaz-ustaz itu. Berhati-hati lah wahai ustaz-ustaz.......

MENJAUHI FITNAH DALAM MENJAWAB SOALAN

Selain daripada berusaha meraikan tahap pemikiran si penyoal itu , ilmuan-ilmuan juga perlu berhati-hati terhadap akibat kepada jawapan yang diberikan itu. Kerana boleh jadi, jawapan yang diberikan itu seakan-akan telah menjawab segala permasalahan yang ditimbulkan, namun mungkin terdapat aspek-aspek lain yang kita terlepas pandang.

Contohnya, ada soalan-soalan yang hanya perlu dikemukakan jawapannya pada waktu, tempat atau kepada individu-individu tertentu sahaja. Tetapi sayangnya, disebabkan terlalu ghairah dengan 'tanggungjawab' menyampaikan ilmu itu, kita terlupa akan perkara itu.

Ya..."ZALIM" !! Kerana telah meletakkan sesuatu pada bukan tempatnya.

Akibatnya Fitnah-Fitnah liar akan mula timbul !! Cela-mencela....ejek-mengejek...umpat mengumpat....keperibadian ilmuan-ilmuan mula dipandang serong.

"من حسن الاسلام المرء تركه ما لا يعنيه"
"Sebahagian daripada keelokan seseorang mukmin ialah meninggalkan suatu yang tidak berfaedah baginya" - Hadis Hasan- Riwayat Tirmizi dan Ibn Majah-

Oleh itu, jawablah persoalan itu dengan mengikut kesesuaian dan keperluan si penyoal.

Nasihat Imam Syatibi dalam karya masyhurnya "Al Muwafaqat" apabila berbicara tentang adab seorang Qadhi dalam mengeluarkan hukum, terdapat dua perkara yang perlu dititikberatkan iaitu 'memahami sandaran hukum (Quran dan Sunnah)' dan 'memahami situasi semasa'.

Contoh teladan juga telah banyak ditontonkan oleh junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w dalam 'FIQHUL JAWAB' ini. Apabila baginda ditanya oleh para sahabat tentang amalan-amalan yang paling Afdhal, maka baginda telah menjawabnya dengan jawapan yang berlainan mengikut kesesuaian si penyoal itu.


"ما أنت بمحدث قوما حديثا لا تبلغه عقولهم إلا كان لبعضهم فتنة"
"Daripada Ibn Mas'ud, katanya : Percakapan kamu itu hendaklah sampai kepada akal-akal sesuatu kaum (difahami), jika tidak sebahagian daripadanya adalah fitnah" (dalam sahih Muslim).

Oleh itu, ternyatalah kepada kita bahawa akibat daripada tidak memahami tahap pemikiran si penyoal itu, akan timbulnya fitnah. Kerana mungkin lain yang diberitahu dan lain pula yang difahami oleh masyarakat awam.


KESIMPULAN


'FIQHUL JAWAB' perlu menjadi satu agenda dalam misi dan visi para penuntut ilmu agama terutamanya. Dalam memastikan ilmu-ilmu yang dipelajari itu mampu disampaikan kepada orang lain dengan selamat dan sempurna. Dan yang paling penting dapat menjaga Islam dari difitnah dan ditohmah dengan pelbagai tohmahan oleh musuh-musuh Allah.


Selain itu, dapat melahirkan para ilmuan agama yang profesional dalam berhadapan dengan pelbagai permasalahan masyarakat atau manusia akhir zaman ini. Sekaligus menjaga imej graduasi-graduasi 'pengajian Islam' di mata masyarakat awam. Samada graduasi dari timur tengah, pondok, maahad, universiti tempatan dan lain-lain.


SELAMAT BERFIKIR DAN MENCUBA.....!!

BUAT KAWANKU “MAHASISWA”


Segala puja, puji dan syukur hanya layak untuk Allah s.w.t. Selawat dan salam buat junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w, para Sahabat, pemimpin-pemimpin agama Islam, muslimin dan muslimat serta seluruh pengikut Baginda s.a.w sehingga ke hari Kiamat.

Rasulullah s.a.w telah mengeluarkan umat manusia daripada gelap kejahilan kepada sinar kesejahteraan Islam, kecuali mereka yang enggan. Semoga kita digolongkan dalam kalangan yang sentiasa redha dengan cahaya Allah s.w.t.

Selaku seorang kawan, ku lakarkan coretan ini buat perkongsianmu dan buat sesiapa yang sudi menerimanya. Agar coretan ini juga dikira oleh Allah Taala sebagai satu usaha kecil seorang kawan untuk menolong kawan-kawannya.

Mahasiswa Islam dan Faqih

Kawan-kawanku sekalian,

Bersyukurlah kita dengan kurniaan yang amat besar ini. Kita masih lagi diberi peluang untuk memegang panji Islam di dunia ini. Tapi ingat! Islamnya kita sekarang ini bukannya kerana Ibu dan Ayah kita sudahpun Islam, tetapi kerana kita yang mahukan Islam!

Segalanya bermula dengan ‘kehendak’ kita sendiri. Berapa ramai yang telah dilahirkan dalam keluarga yang Islam tetapi kini dia sedang berusaha untuk lari dari Islam,??? dia menganggap Islam adalah musuhnya, Islam itu menyekat kebebasannya, Islam itu agama di masjid sahaja, dan Islam itu hanya untuk orang-orang tua sahaja.

Itu semua adalah atas ‘kehendak’ mereka sendiri. Siapa yang ‘berkehendak’ pada hidayah Allah, maka Allah akan bentangkan jiwanya seluas-luasnya untuk menerima Islam. Manakala siapa yang ‘berkehendak’ pada kesesatan, maka Allah akan sempitkn jiwanya sesempit-sempitnya daripada menerima Islam.

Mahasiswa Islam adalah mahasiswa yang berjiwa besar dan berlapang dada.

Sikap ‘berlapang dada’ yang ada pada mahasiswa Islam berperanan menonjolkan sikap toleransi dalam Islam. Islam adalah satu agama Toleransi. Namun toleransi itu juga perlu diikat pada suatu paksi yang kukuh supaya ia tidak terlalu bebas atau tidak terarah.

Pengikatnya adalah KEFAHAMAN dalam agama(Tafaqquh fi Din). Kerana ia akan membezakan antara Mahasiswa Muslim dan Mahasiswa Munafiq.!!

Kawan-kawanku,

“Sesiapa yang Allah Taala mahukan kebaikan untuknya, maka akan dikurniakan KEFAHAMAN dalam agamanya”

Oleh itu, tidak cukup sekadar kita bermegah dengan mengibarkan panji Islam itu sahaja, namun masih memerlukan pelengkapnya iaitu ‘Mahasiswa Faqih fid Din’.

Ibaratnya, orang yang tidak faham agama akan terus menerus mengibarkan panji Islam tanpa melihat kesesuaian waktu dan tempatnya, akibatnya mereka akan mudah letih dan bosan. Tetapi orang yang faham agamanya akan mengibarkan panjinya pada waktu dan tempat yang sesuai sehingga masyarakat sekeliling tidak terasa terganggu atau sakit dengan revolusi Islam itu sebaliknya menerimanya dengan senyuman.

Mahasiswa yang faqih tidak akan mudah melenting atau menghukum orang lain dengan kesilapannya, tetapi mereka akan berusaha memperbaiki kesilapan itu seterusnya memberi ruang dan peluang kepada orang lain untuk terus berasa nikmat hidup bersama Islam.

Mahasiswa yang faqih mampu berinteraksi dengan masyarakat di pelbagai lapisan dengan mudah. Kerana mereka betul-betul memahami akan tuntutan agama terhadap para mukallaf.

Oleh itu, ingatlah wahai kawan, sekiranya Ilmu itu boleh terhijab dengan para Mu’alliminnya, maka Islam ini juga mungkin akan terhijab dengan Muslimin itu sendiri.!!

Mahasiswa berzikir dan berfikir

Wahai kawan,

Kejarlah Qurbah Allah dengan menghidupkan amalan fardhu dan sunat!

Perhatikanlah banyak perintah dalam Al-Quran yang dimulakan dengan menunaikan solat. Kerana di situ ada sumber kejayaan, di situ ada sumber pertolongan, di situ ada taufiq dan di situ ada ketenangan. Walau dalam apa juga keadaan sekalipun, perintah menunaikan solat itu tidak akan luput ke atas seorang yang mukallaf.

Oleh itu, marilah wahai kawan, kita segera menunaikan solat di awal waktunya. Usahalah dengan sedaya upaya kerana ia membuktikan kesungguhan kita dalam menegakkan tiang agama. Lazimilah diri kita dengan jemaah dan berhati-hati daripada menjadi mangsa sang serigala.

Wahai kawan,

Sentiasalah sedar dan ingat pada sang Pencipta.! Doronglah diri kita untuk sentiasa berzikir kerana padanya ada ketenangan dan kesejahteraan. Didiklah diri kita dengan sentiasa membaca Al-Quran, menghafal dan memahami mesej-mesej yang terkandung dalamnya kerana ia adalah sebaik-baik zikir dan pedoman seorang hamba. Perbanyakkan amalan sunat kita agar ia mampu menghapuskan dosa-dosa kita yang terdahulu.

Wahai kawan,

Paksalah diri kita untuk menguasai bahasa Al-Quran. Jangan terlalu layan dengan kepayahan itu, tapi pandanglah pada kemuliaan yang ada padanya. Sudah lama kita mula mempelajari bahasa itu, tetapi kita mungkin tidak sedar bahawa setiap hari kita berdialog dengan Allah dengan bahasa itu dalam Solat. Amat cuailah kita jika kita gagal menguasai bahasa agama kita sendiri.!!

Wahai kawan,

Dalam mengejar qurbah Allah itu, perlu diingat….ia bukan setakat solat dan zikir di masjid atau di rumah sahaja. Mendekati jiwa masyarakat juga adalah satu cara mencapai qurbah Allah Taala. Berfikirlah untuk agama kita! Untuk diri kita! Untuk keluarga kita! Untuk kawan-kawan kita! Untuk masyarakat kita! Bagaimana nasib kita dan mereka di akhirat kelak..!?

‘Masa’ yang dikurniakan di dunia ini perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya. Berlaku adillah antara dunia dan akhirat kita! Berlaku adil dengan dunia bukan bermakna memenuhi segala kehendak dunia tetapi menjadikan ia sebagai alat untuk kita mencapai kejayaan di akhirat.

Walaupun selipar itu telah banyak berjasa pada kita. Dengannya kita mampu ke masjid dank e jamiah. Namun cara membalas jasanya bukan dengan menjunjungnya di atas kepala, tetapi tetap meletakkan ia di bawah tapak kaki. Malah bersyukurlah pada Allah kerana Dia telah mengurniakan selipar sebagai alat untuk kita berasa selesa di dunia dan mencapai qurbah pada Allah. Begitu juga dengan dunia.!!

Berfikir dan Bertadabburlah wahai kawan!!

Berapa ramai mahasiswa Islam yang sedang berkasih dan bercinta sesame manusia !? Berapa ramai pula mahasiswa non-muslim yang juga sedang bercinta dan berkasih !?

Berapa ramai mahasiswa Islam yang sedang makan dan minum. Berapa banyak juga lembu dan anjing yang juga turut makan dan minum. ?!

Berapa ramai mahasiswa Islam yang telah menerima nasihat dan teguran?! Berapa ramai juga Mat-mat rempit dan penagih dadah yang turut menerima nasihat itu?!

Kalaulah begitu, apa bezanya kita dengan non-muslim itu, apa beza kita dengan lembu dan anjing itu, apa beza kita dengan mat rempit dan penagih dadah itu???!

Itulah realiti yang kita nampak pada hari ini. Tapi sedarlah wahai kawan, terdapat perbezaan yang amat besar antara KITA dan MEREKA….

Ya….bezanya adalah cara kita berFIKIR.

Mereka berkasih dan bercinta hanya sekadar dengan manusia, tetapi kita bercinta dan berkasih kerana Allah. Si anjing makan dan minum kerana lapar dan dahaga sahaja, tapi kita makan dan minum kerana Allah. Si mat rempit itu menerima nasihat itu kerana manusia yang mungkin ustaz atau cikgu, tetapi kita menerima nasihat dan teguran itu kerana Allah!!

Oleh itu, hikmah untuk perenggan kedua ini adalah pelengkap kepada Mahasiswa Berzikir adalah Mahasiswa Berfikir. Kerana ayat-ayat Allah itu bukan hanya pada Al-Quran itu semata-mata, tetapi ia ada di mana saja kita berada. Maka sentiasalah berfikir dan bertadabbur pada setiap ciptaan Allah ini untuk mencapai QurbahNya.

Hebatnya Mahasiswa adalah kerana senjatanya adalah berfikir…malah lagi hebat Mahasiswa itu jika segala fikirannya itu ditujukan hanya kerana ALLAH TAALA !!

Mahasiswa berilmu dan beramal

Wahai kawan,

Mahasiswa amat sinonim dengan Ilmu. Tetapi Ilmu itu tidak akan bermakna kepada mahasiswa tanpa ada amalannya. Bak kata ahli ilmu, “Ilmu tanpa amal ibarat pokok yang tidak berbuah atau berbunga”.

Ibaratnya…menghabiskan masa menuntut ilmu di perantauan, menghabiskan duit sumbangan atau tajaan, mengorbankan rasa rindu keluarga di tanah air, mengurangkan waktu tidur, menghabiskan keringat pensyarah-pensyarah, menghabiskan elektrik di rumah, air di tangki, menghabiskan tenaga berjalan ke kelas dan lain-lain. Namun hasilnya tiada. Hanya segulung ijazah sebagai simbolik sahaja.

Kawan-kawan ku,

Para sahabat salafus soleh amat menitikberatkan perihal amalan ini. Mereka tidak akan mudah berpindah dari satu ilmu ke satu ilmu yang lain selagi ia belum diamalkan. Kerana yang akan dipersoalkan di hadapan Allah kelak, bukanlah kuantiti ilmu yang dimiliki sahaja, tetapi kuantiti ilmu yang telah diamalkan.

Menjadi satu mala petaka akhir zaman apabila ilmu hanya berada di buku dan di bibir semata-mata tetapi tiada pengamalnya.!!

Berapa ramai graduan-graduan Syariah mahupun Adab yang berjaya di peringkat universitinya namun gagal di medan masyarakat…?

Berapa ramai mahasiswa Islam pengkhususan Fiqh yang mengetahui hukum-hukum yang disepakati dan hukum-hukum yang tidak disepakati….tetapi kenapa hanya wujud perbahasan dan perbandingan itu sahaja..??? dimanakah pengamalnya…?

Berapa ramai mahasiswa pengkhususan Hadis yang menghafal ratusan malah ribuan hadis dari pelbagai darjat kesahihannya,…..tetapi kenapa hanya wujud perbahasan ‘itu sahih’ dan ‘itu dhoif’ sahaja?? Di manakah pengamalnya..??

Berapa ramai mahasiswa pengkhususah Bahasa Arab yang mahir dalam nahu dan sorofnya….tetapi kenapa hanya wujud perbahasan ikhtilaf kaedah kufi atau basri dan nota-nota sahaja…?? Dimanakah pengamalnya…??

Wahai kawan,

Sedarlah bahawa kita kini ketandusan pengamal-pengamal ilmu Allah Taala.!! Siapa lagi yang kita harapkan kalau bukan KITA !!!

Mahasiswa berdebat dan beradab

Kawan-kawan ku,

Walaupun berdebat itu adalah satu kaedah yang dianjurkan oleh Islam untuk menyerlahkan suatu kebenaran. Namun jangan kita lupa untuk menjaga adab-adabnya. Jauhi pertarungan idea tanpa beradab.

Pertarungan idea yang tidak beradab akan mendorong kepada pertengkaran dan perbalahan. Dan jangan sekali-kali kita mendekati pertengkaran kerana padanya terdapat pihak yang ketiga yang akan membisikkan kita ke arah memutuskan silaturrahim. Syaitan laknatullah namanya…..!!

Sekalipun kau tahu kebenaran berada di pihak mu, namun jagalah adab-adabmu apabila kamu menasihati atau menegurku ini. Sesungguhnya kamu tidak akan mampu memberi petunjuk kepada sesiapa yang kamu suka, tetapi yang memberi hidayah dan taufiq itu hanyalah Allah Rabbul Jalal. Maka mohonlah petunjuk itu dariNya.

Sekalipun kau mempunyai fahaman yang lebih mendalam dalam agamamu, namun kamu juga perlu ingat, bahawa aku juga mahukan kefahaman itu. Maka kau didiklah aku dengan kefahaman itu. Sesungguhnya aku juga inginkan menjadi sepertimu.

Wahai kawan,

Jadilah kamu seorang penyelamat pada disetiap masa. Janganlah kamu yang menyemarakkan lagi api yang sedang membara ini, malah jadilah kamu seorang penyelamat yang sentiasa memadamkan mara api kemarahan ini.

Berpeganglah pada falsafah ini :

“Tolong-menolonglah menegakkan apa yang kita sepakati, dan berlapang dadalah dengan apa yang tidak kita sepakati.”

“Pendapat kamu itu benar, tapi mungkin juga ada silapnya. Pendapat aku ini salah, tapi mungkin juga ada yang betulnya.”

Mahasiswa bermasyarakat dan berakhlak

Kawan-kawan ku,

Bermasyarakat adalah satu tuntutan dalam kehidupan. Kerana manusia itu perlu saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Begitulah aturan yang Maha Esa terhadap fitrah manusia. Siapa kita untuk melawan fitrah itu ?!

Luaskan rangkaian kamu dalam berkawan, walaupun mereka tidak meminta kamu berbuat demikian. Hulurkan salam ukhuwwah, salam kasih sayang, salam kemesraan dan salam perkenalan. Demikian jugalah antara hikmah yang tersirat disebalik pensyariatan Ibadat Haji. Seluruh umat Islam datang berkunjung tidak mengira bangsa, darjat, warna kulit, dan jawatan. Mereka berukhuwwah kerana Allah.

Tuntutan bermasyarakat itu bukanlah bermaksud kita wajib menghabiskan masa sepenuhnya bersama masyarakat dengan mengabaikan tanggungjawab pada diri sendiri dan keluarga serta orang yang terdekat dengan kita. Berpada-pada, itulah ajaran Islam kita.

Perintah menyampaikan dakwah yang diturunkan kepada Nabi s.a.w juga bermula dengan kawan-kawan yang terdekat kemudian kepada mereka yang lebih jauh. Malah baginda juga telah mendidik para Isteri dan para sahabatnya melalui gurauan senda baginda.

Wahai kawan ku,

Hiasilah pergaulan dan gurauanmu bersama kawan-kawan mu dengan akhlak dan tutur cara yang baik. Jangan sekali-kali hati mereka terluka disebabkan tingkah laku dan pertuturanmu itu. Perlakukan kepada mereka dengan perlakuan yang paling kamu suka, dan jauhi dari yang sebaliknya.

Senyumlah selalu dan bersederhanalah ketika ketawa. Nabi s.a.w adalah orang yang paling banyak melemparkan senyuman dan memberi salam, dan baginda juga ketawa tetapi hanya pada waktu yang sesuai sahaja. Jauhi diri dari hiburan yang melampau yang boleh melalaikan kita dari mengingati Allah.

Kawan-kawanku,

Jauhi umpat mengumpat, keji mengeji, ejek mengejek dan lain-lain. Adakah kamu suka memakan daging saudaramu sendiri yang sudah mati..??! Usahlah merendah-rendahkan persatuan atau pertubuhan lain atau mengutuk aktiviti-aktiviti yang di anjurkan oleh mereka itu. Bercakaplah sekiranya ada keperluan kebajikan padanya.!!

Kawan-kawanku,

Kawallah suara mu ketika bercakap dengan teman-temanmu. Kerana ia boleh mendatangkan fitnah pada diri mu dan boleh menyakitkan hati teman-teman mu itu. Bersederhanalah ketika mengeluarkan suaramu itu, kerana itulah cara yang turut disukai oleh Tuhanmu ketika Dia ingin mendengar doa dan rintihanmu.

Kawan-kawanku,

Seriuslah kamu dalam melakukan tugasan dalam kehidupanmu, dan berguraulah pada waktu-waktu yang sepatutnya. Kerana tanpa serius kuranglah kesungguhan, dan tanpa gurauan maka tawarlah kehidupan.

Bak kata penyair :

“Rehatkan jiwamu yang kesibukan dengan berfikir, ubati ia dengan bergurau. Tapi jika kamu mahu ubatinya dengan bergurau, hendaklah dalam batasannya seperti kamu memasukkan garam dalam masakan.”

Walau apa sekalipun, ketahuilah sumber akhlak yang paling utama adalah AKHLAK AL-QURAN. Bertadabbur dan beramallah dengannya !!

Mahasiswa berdisiplin dan menghormati masa

Wahai kawan,

Zaman moden kini, ‘disiplin’ telah diluasertikan kepada segenap skop kehidupan manusia. Memandangkan pelbagai profesion yang makin berkembang mengikut keperluan semasa, maka disiplin juga semakin bertambah.

“Sesungguhnya Allah amat menyukai seseorang yang apabila dia melakukan amalan, dia tekun atau berdisiplin”

Seperti disiplin seorang guru, seorang pelajar, seorang pensyarah, seorang pekerja, seorang pemandu kapal terbang, seorang kerani, seorang suruh, seorang petani, seorang imam, seorang pengawal keselamatan, dan banyak lagi.

Namun disiplin yang wajib ada pada setiap profesion itu adalah disiplin masa. Jika mahasiswa mampu mendisiplinkan dirinya dengan masa yang ada, maka mereka telah menutup pintu kerugiannya. Bagaimana untuk berdisiplin?? Jawapannya termaktub dalam surah al-Asr. Kajilah ia wahai kawan…..(Beriman, beramal soleh, tolong-menolong dengan kebenaran dan dengan kesabaran.)

Maksimumkanlah manfaat waktu kita dan tolonglah kawan-kawan kita yang lain untuk memanfaatkan waktu mereka. Biasakan diri dengan hidup berjadual. Hormatilah masa kawan-kawan kita !!

Kawan-kawan sekalian,

Jika anda dijemput menyampaikan kuliah atau ceramah atau apa-apa pengisian, maka patuhilah masa yang diperuntukkan itu. Kerana ia juga sebahagian daripada bentuk didikan anda kepada para pendengar yang hadir.

Oleh itu, elakkan daripada bicara yang meleret-leret tanpa hala tuju dan noktah. Kerana ia mungkin termasuk dalam perkara-perkara yang tidak memberi manfaat padamu. Mahasiswa yang hebat adalah mahasiswa yang sentiasa meninggalkan segala perkara-perkara yang tidak memberi manfaat padanya.