Monday, March 28, 2011
Teori dan Hakikat
Teorinya aku mukmin, hakikatnya tidak mempercayai ketentuan Allah...
Teorinya aku berusaha, hakikatnya semua itu qudrat Allah...
Teorinya aku menolong, hakikatnya aku mendamba balasan dari selain Allah...
Teorinya aku beramal, hakikatnya amalku bukan kerana Allah...
Teorinya aku bersabar, hakikatnya aku belum diuji oleh Allah...
Teorinya aku bertawakkal, hakikatnya aku masih bergantung pada selain Allah...
Teorinya aku belajar, hakikatnya aku sedang berdalih dengan kalam Allah...
Teorinya aku zikir, hakikatnya hatiku sering berpaling dari Allah...
Teorinya aku beristikharah, hakikatnya aku sedang memaksa Allah...
Teorinya aku berdoa, hakikatnya ku pinta kemurkaan Allah...
Teorinya aku 'alim, hakikatnya ilmu itu tidak diredhai Allah...
Teorinya aku pendakwah, hakikatnya aku menjauhkan masyarakat dari Allah...
Teorinya aku pemimpin, hakikatnya aku dipuji manusia tapi dikeji Allah...
TEORINYA aku pendusta, dan memang itulah hakikatnya...
Akibat tidak balas mesej AYAH....
"..laka RM *** al aan liddaruriat..."
-7 Feb 2011 (Isnin)-
Itulah antara mesej yang terpanjang yang pernah Ayah hantar. Keunikan itu membuatkan aku hanya mampu tersenyum dan terfikir.
Kebiasaanya mesej itu aku akan balas dengan ayat yang lebih panjang sedikit seperti "...syukran jazilan, alhamdulillah..ala qadari ma razaqanallah...=)"
Tapi kali ini, aku hanya mampu balas mesej itu dengan seukir senyuman dan ucapan terima kasih dalam hati kecil ini. Aku hanya husnuzzon, mungkin ayah paham keadaanku di sini.
Ketika itu aku berada dalam perjalanan ke Amman dengan bas. Aku diulik kesibukan menyelesaikan urusan-urusan pelajar di kementerian-kementerian pelajaran di bandar Amman, Jordan. Ditambah pula kondisi badan tidak berapa stabil dan kredit hp pun kering kontang.
Urusanku di Amman pada masa itu serba-serbi bermasalah. Pegi sana silap, pegi sini kena marah, pegi situ dokumen tak cukup....adusss...Berpuluh-puluh dinar dihabiskan pada driver-driver teksi untuk sampai ke satu-satu tempat. Tapi, satu urusan pun tak selesai, malah dicaci dan dimaki oleh pekerja-pekerja arab. MasyaAllah....Tidak pernah ujian sehebat ini menimpaku sebelum ini....=(
Cukuplah dengan digambarkan perasaanku di kementerian-kementerian pada masa itu seperti separuh nak teruskan hidup separuh lagi,...nak mati..!!! tapi..alhamdulillah,hidup lagi..
Berurusan dengan orang arab ni, bukan suatu perkara yang 'biasa-biasa'..memerlukan kesabaran yang 200%. Itu pun, mungkin cukup mungkin tidak. Moga aku digolongkan di kalangan orang yang bersabar ketika itu...amin3...
MISI aku ke Amman pada hari tersebut = 00.00%.
Aku pulang ke pekan Mu'tah dengan perasaan sangat99x sedih. Allah saja yang tahu. Macam-macam cara telah aku cuba untuk mempositifkan diri. Kali ini tidak berjaya!!
Setibanya di Mu'tah aku disambut dengan udara yang sangat sejuk. Berjalan dengan penuh kehampaan menuju ke bayt Mu'tah (rumahku). Aku berdoa agar tidak dipertemukan dengan sesiapa pun kawan-kawan melayu, bimbang aku akan bermasam muka. Alhamdulillah...dimaqbulkan.
Solat Maghrib dan Isyak kemudian mengisi perut yang kosong dari pagi lagi dengan sedikit makanan. Alhamdulillah...
Tanpa bersemuka dan berbual dengan housemate, aku terus menyelimuti hati yang sebak itu. zzzzzzzzz.....
Pagi esok aku tersedar dengan bunyi deringan hp. Ada mesej masuk. Dari Ibu.
"...kalau ada masa free nati tepon ibu kejap ye..."
Hati kecilku berbisik, "mungkin ada perkara mustahak yang nak diberitahu itu.."
Pabila matahari mula naik ke atas kepala, aku mencari masa yang sesuai dengan waktu di malaysia, dan terus menelefon ibu.
Setelah 10 minit perbulan berlalu, aku bertanya, "Ada hal apa sebenarnya ibu?".
Jawab ibu, "..takde apa2 yang mustahak pun, cuma ayah kamu tu risaukan kamu, sebab kamu tak balas mesej dia semalam, berkali-kali dia tanyakan ibu..."
Tersentak aku mendengar jawapan ibu. Terus terlintas difikiranku segala tragedi yang berlaku padaku ketika berurusan di Amman semalam.
Tergagap-gagap aku menjelaskan segala-galanya pada ibu tentang mesej itu dan aku meminta maaf dengan apa yang telah terjadi. Sehinggalah ibu terpujuk dengan penjelasanku itu. MasyaAllah...
Tidak lama kemudian, kedengaran suara ayah yang baru pulang dari masjid. Lantas aku meminta perbualan dengan ayah. Tanpa aku sedari, minit-minit berbaki itu hanya aku gunakan dengan memohon ampun dan maaf daripada ayah. Allahh.....
Keesokan hari, aku kembali menguruskan kerja-kerja muadalah sijil pelajar di kementerian-kementerian di Amman. Dengan dialog yang sama, dokumen-dokumen yang sama, tempat yang sama.....alhamdulillah...semuanya diterima dan urusan selesai dengan begitu mudah sekali. Tanpa perlu huraian panjang lebar dan tanpa perlu pemeriksaan sijil-sijil dengan teliti.
Baru aku sedar, mungkin kerana aku tidak balas mesej ayah, menyebabkan ayah risau, seterusnya Allah tidak redha dengan kerja-kerja yang aku lakukan pada masa itu.
Percayalah.....Jika Syurga itu di bawah telapak kaki ibu, apatah lagi ibarat si ayah yang sangat banyak pengorbanannya untuk keluarga dan agama...
*Jangan sekali-kali melukai hati ibubapa, walaupun dengan sekecil-kecil perkara yang mungkin kita sendiri tidak sedari. Layanlah mereka dengan sebaik-baik layanan walaupun kamu terpaksa rugi sesuatu di dunia.
"Ya Allah...KAU jagalah mereka berdua seperti mana mereka menjagaku ketika ku masih kecil".
Hangatkan 'API' di musim sejuk.....
Ia merupakan satu jenama kepada program tahunan yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan. Kebiasaannya program ini dilaksanakan diperingkat Mantiqah-mantiqah di Jordan ( mu'tah, mafraq, amman, irbid). Namun kadang-kadang ia juga dilaksanakan secara gabungan antara mantiqah-mantiqah.
Program API ini disasarkan pada pelajar-pelajar baru sahaja, fasilitatornya di kalangan pelajar-pelajar lama di mantiqah masing-masing, dan pelaksananya adalah Persatuan Mahasiswa Malaysia Universiti Mu'tah (PERMATA). Pada tahun ini (2011), Mu'tah telah menerima kemasukan pelajar baru dengan jumlah yang lebih besar berbanding kemasukan-kemasukan yang sebelum ini. Alhamdulillah...
Sekelip mata sahaja........
Sudah ramai 'permata-permata' mu'tah telah meniggalkan medan mu'tah ini dan pulang ke tanah air membawa kejayaan dalam bidang masing-masing. Mereka telah berjaya menghabiskan pengajian diperingkat sarjana muda di Universiti Mutah ini dengan sempurna. Tahniah saya ucapkan..!
Semangat mereka amat mengagumkan. Bukan saja mereka layak untuk digelar senior, bahkan contoh teladan yang baik yang ditunjukkan oleh mereka membuatkan saya menggelar mereka 'sifu'.
Nasihat-nasihat mereka lebih berharga berbanding apa yang saya dapat dalam kuliah harian di jamiah. Borak-borak mereka mencetus idea-idea yang baru dan bernas.
Yang pergi biarkan pergi, mereka pergi meneruskan perjuangan mereka di tanah air. Tanggungjawab kita yang masih di sini, meneruskan semangat dan perjuangan mereka dalam menuntut ilmu dan berbakti pada masyarakat. Bukannya meneruskan senioriti semata-mata.
Namun yang baru datang ini pula ibarat mutiara. Mereka membawa sinar baru dan semangat baru kepada kepimpinan PERMATA. Kepelbagaiaan latar belakang mereka membuka minda dan mematangkan PERMATA dalam menyelesaikan masalah. Matang dan Manja mereka mendidik PERMATA untuk lebih bertanggungjawab dalam memimpin. Terima kasih diucapkan.
API adalah satu program yang bertujuan memantapkan asas-asas akidah bagi seorang pelajar muslim. Mengasah kemahiran berfikir. Mendedahkan mahasiswa dengan isu-isu persatuan dan isu-isu semasa. Mengeratkan silaturrahim antara sesama pelajar baru dan juga pelajar lama.
Pelbagai slot-slot yang disusun oleh pihak pengajur. Pembentanga kertas kerja, forum, latihan dalam kumpulan (LDK), bengkel-bengkel dan lain-lain. Bermula dari pagi hingga ke malam, amatlah memenatkan peserta dan juga AJK pelaksana.
Namun saya kira, satu slot yang telah membuka mata mahasiswa yang sedang mengantuk dan letih iaitu slot bengkel 2. Merupakan bengkel terakhir yang disusun dan ia bertujuan mendengar komen dan pendapat para peserta program API terhadap permasalah-permasalah yang telah sengaja ditimbulkan oleh pihak penganjur.
Permasalah yang telah ditimbulkan adalah permasalahan yang kerap timbul di kalangan mahasiswa islam seluruh negara. Saya amat tertarik untuk sama-sama berkongsi permasalah ini kepada pembaca-pembaca sekalian.
1) Permasalahan Akademik mahasiswa (merosot).
2) Permasalahan Syakhsiah dan Akhlak pelajar agama.
3) Permasalahan Ikhtilat atau pergaulan berlainan jantina.
4) Permasalahan Komitmen mahasiswa terhadap berpesatuan.
5) Permasalahan Ukhuwwah ('asabiyah).
Sengaja tidak mahu menghuraikannya,,,,,kerana.....
Permasalahan-permasalahan di atas telah pun kerap didiskusikan di mana-mana pentas mahasiswa di Malaysia mahupun di timur tengah. Pelbagai punca-punca permasalahan yang telah dikenalpasti dan tidak kurang juga idea-idea penyelesaiaannya yang telah digariskan. Namun realitinya permasalahan tersebut masih lagi tidak dapat dibendung. Kenapa..??!
Usah dipertikaikan sangat pendapat-pendapat dan idea-idea orang lain. Kerana ia hanya menambah huraian berjela-jela sehinggakan mengusutkan kefahaman mahasiswa lain terhadap idea dan cadangan yang sedia ada. Sebaliknya, pertikaikanlah setakat mana 'usaha kita dalam melaksanakan cadangan-cadangan tersebut'??.
Yaa...memang benar...mahasiswa perlu dididik dengan kritikan-kritikan ilmiah supaya mereka akan lebih matang. Namun perlu diingatkan, kritikan tersebut hendaklah berdasarkan sandaran-sandaran yang kukuh dan sesuai dengan tuntutan semasa. Sesuai dengan pribadi seorang penuntut ilmu syariah di Universiti Timur Tengah (Jordan).
Medan penuntut ilmu adalah 'medan rukhsoh'. Segala kesilapan yang dilakukan tidak wajar dipandang serius oleh sesama mereka. Hukum idea-idea yang diutarakan oleh seorang penuntut ilmu adalah fleksibal. Mungkin perlu diamalkan dan mungkin perlu ditinggalkan. Sekiranya selari dengan kehendak syarak, amalkan, dan sekiranya tidak selari dengan kehendak syarak, abaikan.
Oleh itu, walaupun program sudah berakhir, jangan biarkan ia berlalu pergi begitu sahaja. Bangkitkan kembali semangat-semangat kita itu.!! Sedarkan sahabat-sahabat sekeliling kita.!!
Cabaran baru untuk kita bermula hari ini dalam meneruskan kesinambungan semangat menuntut ilmu 'Sifu-Sifu' PERMATA yang telah pulang berbakti di tanah air itu.....!
Menulis keranaNYA.....
Kerana penulisan, umat islam pada hari ini mudah memahami ilmu-ilmu agamanya. Namun kepentingan bidang penulisan ini tidak sekali-kali mengenepikan kepentingan sistem bertalaqqi dalam pengajian seperti yang telah dilakukan pada zaman Rasulullah s.a.w, para sahabat, tabi'en dan Ulama' islam terdahulu.
Bercakap tentang kepentingan bidang penulisan, saya ingin dikongsi bersama pembaca sekalian berkenaan kepentingan 'menulis' ini.
"Menulis adalah pengikat ilmu-ilmu yang dipelajari"
Demikian mafhum daripada nasihat seorang tokoh Ulama' besar islam pada suatu masa dahulu. Imam as Syafi'e. Seorang Alim yang masyhur dengan latar belakang pengajiannya yang amat unik dan mengagumkan.
Rasulullah s.a.w juga pernah menasihati umatnya,
"Apabila mati seorang anak Adam (manusia), maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara;…..( antaranya adalah) ilmu yang boleh memberi manfaat"
Hukum 'menulis' adalah Fardhu (wajib)..!
Kaedah Fiqhiyyah ada menyebut,
ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب
"Jika suatu perkara yang Wajib tidak dapat disempurna tanpa suatu yang lain, maka suatu yang lain itu juga hukumnya Wajib.
Menuntut ilmu agama adalah kewajiban setiap muslim, berdasarkan hadis Nabi s.a.w :
طلب العلم فريضة على كل مسلم
"Menuntut ilmu adalah Fardhu ('ain) ke atas individu Muslim"
Realitinya pada hari ini, hampir seratus peratus sukatan-sukatan pengajian di sekolah-sekolah mahupun universiti bersandarkan kepada buku-buku rujukan tertentu. Ini jelas menunjukkan bahawa tanpa penulisan, umat manusia masa kini akan berada dalam kejahilan yang berleluasa.
Oleh itu, untuk mengelak daripada berlakunya kejahilan di kalangan masyarakat, para ilmuan perlu menceburi bidang penulisan dan mereka berhak mendapat upah atas penulisan tersebut.!!
Jasa penulisan yang paling berharga adalah usaha menulis mashaf Al-Quran Al-Karim dan Sunnah Nabawiyyah. Kerana ia adalah sumber utama segala ilmu di alam ini.
'Menulis' bukan hanya semata-mata melakar idea-idea yang baru, bahkan mengumpulkan idea-idea ulama' juga dikira penulisan yang bermanfaat. Kemudian ditambah dengan huraian-huraian yang bertepatan dengan keadaan semasa.
Ulama' muasarah (kontemporari) juga telah banyak membahaskan tentang hak-hak penulis pada zaman sekarang. Adakah patut si penulis-penulis buku menerima upah? Adakah boleh diciplak karya-karya penulisan tersebut? Adakah karya-karya tersebut boleh diubah atau dikurangkan begitu sahaja oleh orang lain? terutamanya Ulama' yang menulis buku-buku agama.
Segala persoalan dan perbahasan tersebut menggambarkan kepentingan bidang penulisan dalam menjana kesedaran masyarakat di seluruh negara. Tahniah diucapkan pada ilmuan-ilmuan yang berusaha membangkitkan kesedaran ummah dengan cara penulisan ini ..!!
Dewasa kini,….
Menulis bukan lagi hanya tertumpu pada penulisan buku-buku sahaja, bahkan banyak lagi medan yang boleh mengasah kemahiran 'menulis' ini di kalangan ilmuan. Seperti 'blog', FB notes, website, majalah, artikel, ruangan di surat khabar dan lain.
Hasil daripada kepelbagaian media penulisan ini, mungkin juga akan berlaku banyak permasalahan, kesilapan, kesulitan, dan lain-lain. Sabda Rasulullah s.a.w :
فإن كثرة الكلام بغير ذكر الله تعالى قسوة للقلب، وإن أبعد الناس من الله القلب القاسي
"Sesungguhnya banyak bercakap tanpa mengingati Allah s.w.t hanya mengeraskan hati, dan manusia yang paling jauh dari Allah s.w.t adalah mereka yang keras hati"
Walaupun hadis ini tertumpu pada percakapan, namun ia boleh dikiaskan dengan penulisan kerana matlamat kedua-dua cara (menulis dan bercakap) itu adalah untuk menyampaikan suatu khabar atau maklumat baik mahupun buruk.
Kemungkinan untuk berlaku kesilapan sepanjang 'percakapan' dan 'penulisan' adalah pasti. Semakin banyak ia bercakap semakin tinggi kemungkinan untuk berlaku kesilapan, dan begitu juga menulis.
Bahkan 'penulisan' lebih besar mudharatnya jika berlaku kesilapan padanya berbanding percakapan. Kesilapannya lebih mudah dilihat dan lebih mudah diingat oleh si pembaca.
Realiti penulis-penulis blog pada hari ini, ramai yang berminat dengan penulisan-penulisan ilmiah yang bersandarkan dalil-dalil syar'ie. Dan ramai juga yang berminat dengan penulisan yang santai, seperti menulis perjalanan kehidupan hariannya, mengulas isu-isu semasa, dan lain-lain.
Dan lebih unik lagi, mereka yang mampu mengolah kisah-kisah santai tersebut kepada suatu yang berbentuk ilmiah dan nasihat kepada pembaca.
Tidak kisahlah dengan apa bentuk penulisan sekalipun, yang paling penting adalah dia menulis kerana Allah……
Bagaimana menulis kerana Allah s.w.t ??
الدين النصيحة ، قلنا: لمن يا رسول الله؟ قال لله ولكتابه ولرسوله ولأئمة المسلمين وعامتهم
"Agama (islam) adalah nasihat, pada sahabat bertanya, untuk siapa yang Rasulullah? Baginda menjawab : Untuk Allah, untuk kitabNya (Al-Quran), untuk rasulNya,dan untuk Imam-imam muslimin serta masyarakat muslimin umumnya" –dalam himpunan Hadis 40 Imam Nawawi-
Islam adalah satu agama nasihat. Seluruh aspek kehidupan muslim dipelihara dengan nasihat.
Al Khattabi mendefinisikan nasihat itu sebagai "suatu kehendak yang baik daripada si penasihat kepada yang dinasihati".
Abu 'amru bin Solah mendifenisikan 'nasihat' : ( Perkataan yang mempunyai maksud keadaan si penasihat yang menasihati seseorang yang lain dengan niat dan pelaksaan yang baik).
Nasihat untuk Allah : Ialah dengan memperbetulkan akidah dalam mentauhidkan Allah dan mengikhlaskan niat dalam beribadat padaNya.
Sebahagian ulama' Islam membahagikan bahagian nasihat ini kepada dua bahagian, iaitu wajib dan sunat.
-Wajib untuk seorang muslim melakukan segala yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.
-Sunat baginya mendahulukan apa yang disukai Allah berbanding apa yang disukai sendiri.
Nasihat untuk KitabNya : Beriman dengannya dan mengamalkan segala yang terkandung dalamnya. Juga mencintainya kerana ia adalah kalam Allah s.w.t. Seharusnya seorang muslim lebih ghairah untuk memahaminya walau dengan apa cara sekalipun. Seterusnya menyeru kepda manusia yang lain dalam melaksanakan suruhan Allah yang terkandung padanya.
Nasihat untuk RasulNya : Ketika baginda masih hidup dan selepas kewafatan baginda.
-Ketika baginda masih hidup: dengan mentaati baginda, menolong usaha dakwah baginda, mencintai baginda dan menghabiskan harta kepada baginda ketika diperlukannya.
-Selepas baginda wafat: dengan usaha menghidupkan sunnah baginda seperti mempelajari sunnah nabawiyyah dan mengamalkannya, menjadikan akhlak baginda sebagai contoh teladan dalam kehidupan kini dan menentang golongan yang ingin merosakkan sunnah baginda.
Nasihat untuk imam-imam muslim : Dengan mengharapkan kebaikan, kebenaran, dan keadilan untuk mereka. Mencintai kesatuan masyarakat di bawah pemerintahan mereka, dan membenci perpecahan ummah. Selalu mendoakan mereka dalam ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah.
Nasihat untuk masyarakat umumnya : Melakukan sesuatu kepada orang lain dengan apa yang disukainya, dan tidak melakukan sesuatu kepada orang lain itu dengan apa yang tidak disukainya. Mereka mengasihi orang yang berada di sekelilingnya. Yang muda dikasihi dan yang tua dihormati. Bergembira bersama dengan kegembiraan mereka, dan turut simpati dengan apa yang disedihkan. Menolong mereka daripada musuh-musuhnya.
Kesimpulan
Menulis kerana Allah adalah menulis sesuatu yang memberi manfaat kepada masyarakat dan untuk lebih mendekatkan diri kepadaNya di dunia dan akhirat dengan penulisan tersebut.
Menulis kerana Allah adalah dengan mengutamakan tajuk-tajuk akidah dalam penulisan. Penulis muslim hendaklah menjadi pemudah cara kepada masyarakat dalam memahami ilmu asas Islam. Tidak semata-mata menfokuskan pada panulisan-penulisan yang penuh dengan kontrovesi-kontrovesi di kalangan masyarakat atau pembaca.
Menulis kerana Allah adalah menulis dengan cara yang penuh dengan hikmah. Memudahkan pembaca dalam memahami. Elakkan daripada menyakitkan hati para mad'u ketika mereka membaca. Tidak meng'aibkan mad'u. Tidak menimbulkan sebarang fitnah kepada orang lain dengan penulisan tersebut. Kurangkan undangan salah faham di kalangan pembaca.
Sekian, wassalam….
Kalau inilah CINTAku........
Kau tahu, ku tidak layak mencapai Cinta Mu yang Maha Suci itu, maka kurniakanlah daku si dia yang sentiasa mencintaiMu.
Kau tahu, diriku amat lemah, maka kurniakanlah daku si dia yang sentiasa bermunajat dan menangis mengadu padaMu.
Kau tahu, ibu dan ayah telah banyak bersedih kerana ku, maka kurniakan daku si dia yang solehah yang sentiasa menjaga hubungan denganMu dan sentiasa membelai perasaan ibu dan ayahnya.
Kau tahu, ku selalu buta dalam memilih jalan-jalan Mu, maka kurniakanlah daku si dia yang tidak berputus asa dalam mencari dan meminta petunjuk-petunjuk dari Mu.
Kau tahu, ku selalu tertewas dalam menghadapi ujian-ujian dari Mu, maka kurniakanlah daku si dia yang sentiasa bersabar dengan dugaan Mu dan sentiasa bersyukur dengan pemberian dari Mu.
Kau tahu, ku tidak mampu membahagiakan kawan-kawan ku, maka kurniakanlah daku si dia yang 'penyejuk mata' dan sentiasa disenangi oleh kawan-kawannya.
Kau tahu, ku selalu lupa pada ayat-ayat Mu dan bait-bait kekasih Mu, maka kurniakanlah daku si dia yang sentiasa suka mentadabbur kalam Mu dan nasihat-nasihat Rasul Mu.
Kau tahu, ku sentiasa mendustai Mu, maka kurniakanlah daku si dia yang sentiasa jujur dan luhur budi pekertinya.
Kau tahu, di sekelilingku ada kegelapan maksiat yang boleh menjauhkanku dari Mu, maka kurniakanlah daku si dia yang sentiasa sudi menarikku ke arah cahaya Mu.
Kau tahu, tiada tempat lain yang boleh ku mengadu selain pada Mu, maka kurniakanlah daku si dia yang mampu menyampaikan segala aduanku itu pada Mu."
Selamat pengantin baru diucapkan buat sahabat-sahabat seperjuangan yang telah pun melangsaikan 'lafaz sakinahnya' di malaysia mahupun di bumi Syam ini...Lebih-lebih lagi di musim cuti persekolahan di Malaysia kini. Jadual 'makan gulai' penuh....
Ucapan khas buat Mak Su yang sudah sempurna diijab kabulkan pada 13.3.2011....Selamat Pengantin Baru...Semoga berbahagia selama-lamanya di sisi yang tersayang...( Maaf sebab tak sempat nak tolong-tolong angkat kerusi...hehe)...Tahniah..!! =)
Sejak jasad ini berada di timur tengah ini...'perasaan ingin berteman' itu makin menjadi-jadi pula...hehe....Pelik bertambah hairan. Kenapa ye?? Mungkin itulah yang dimaksudkan dengan fitrah manusia yang diciptakan berpasang-pasangan. Aku akur sahaja....
Mungkin beginilah yang ayah dan ibu pernah rasa dulu-dulu. Mungkin bermula dengan perasaan itu, aku sampai ke sini. Mungkin dengan itu juga, aku boleh merasakannya sekarang ini. Maha Kuasa Allah dengan keunikan itu......