Kerana penulisan, umat islam pada hari ini mudah memahami ilmu-ilmu agamanya. Namun kepentingan bidang penulisan ini tidak sekali-kali mengenepikan kepentingan sistem bertalaqqi dalam pengajian seperti yang telah dilakukan pada zaman Rasulullah s.a.w, para sahabat, tabi'en dan Ulama' islam terdahulu.
Bercakap tentang kepentingan bidang penulisan, saya ingin dikongsi bersama pembaca sekalian berkenaan kepentingan 'menulis' ini.
"Menulis adalah pengikat ilmu-ilmu yang dipelajari"
Demikian mafhum daripada nasihat seorang tokoh Ulama' besar islam pada suatu masa dahulu. Imam as Syafi'e. Seorang Alim yang masyhur dengan latar belakang pengajiannya yang amat unik dan mengagumkan.
Rasulullah s.a.w juga pernah menasihati umatnya,
"Apabila mati seorang anak Adam (manusia), maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara;…..( antaranya adalah) ilmu yang boleh memberi manfaat"
Hukum 'menulis' adalah Fardhu (wajib)..!
Kaedah Fiqhiyyah ada menyebut,
ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب
"Jika suatu perkara yang Wajib tidak dapat disempurna tanpa suatu yang lain, maka suatu yang lain itu juga hukumnya Wajib.
Menuntut ilmu agama adalah kewajiban setiap muslim, berdasarkan hadis Nabi s.a.w :
طلب العلم فريضة على كل مسلم
"Menuntut ilmu adalah Fardhu ('ain) ke atas individu Muslim"
Realitinya pada hari ini, hampir seratus peratus sukatan-sukatan pengajian di sekolah-sekolah mahupun universiti bersandarkan kepada buku-buku rujukan tertentu. Ini jelas menunjukkan bahawa tanpa penulisan, umat manusia masa kini akan berada dalam kejahilan yang berleluasa.
Oleh itu, untuk mengelak daripada berlakunya kejahilan di kalangan masyarakat, para ilmuan perlu menceburi bidang penulisan dan mereka berhak mendapat upah atas penulisan tersebut.!!
Jasa penulisan yang paling berharga adalah usaha menulis mashaf Al-Quran Al-Karim dan Sunnah Nabawiyyah. Kerana ia adalah sumber utama segala ilmu di alam ini.
'Menulis' bukan hanya semata-mata melakar idea-idea yang baru, bahkan mengumpulkan idea-idea ulama' juga dikira penulisan yang bermanfaat. Kemudian ditambah dengan huraian-huraian yang bertepatan dengan keadaan semasa.
Ulama' muasarah (kontemporari) juga telah banyak membahaskan tentang hak-hak penulis pada zaman sekarang. Adakah patut si penulis-penulis buku menerima upah? Adakah boleh diciplak karya-karya penulisan tersebut? Adakah karya-karya tersebut boleh diubah atau dikurangkan begitu sahaja oleh orang lain? terutamanya Ulama' yang menulis buku-buku agama.
Segala persoalan dan perbahasan tersebut menggambarkan kepentingan bidang penulisan dalam menjana kesedaran masyarakat di seluruh negara. Tahniah diucapkan pada ilmuan-ilmuan yang berusaha membangkitkan kesedaran ummah dengan cara penulisan ini ..!!
Dewasa kini,….
Menulis bukan lagi hanya tertumpu pada penulisan buku-buku sahaja, bahkan banyak lagi medan yang boleh mengasah kemahiran 'menulis' ini di kalangan ilmuan. Seperti 'blog', FB notes, website, majalah, artikel, ruangan di surat khabar dan lain.
Hasil daripada kepelbagaian media penulisan ini, mungkin juga akan berlaku banyak permasalahan, kesilapan, kesulitan, dan lain-lain. Sabda Rasulullah s.a.w :
فإن كثرة الكلام بغير ذكر الله تعالى قسوة للقلب، وإن أبعد الناس من الله القلب القاسي
"Sesungguhnya banyak bercakap tanpa mengingati Allah s.w.t hanya mengeraskan hati, dan manusia yang paling jauh dari Allah s.w.t adalah mereka yang keras hati"
Walaupun hadis ini tertumpu pada percakapan, namun ia boleh dikiaskan dengan penulisan kerana matlamat kedua-dua cara (menulis dan bercakap) itu adalah untuk menyampaikan suatu khabar atau maklumat baik mahupun buruk.
Kemungkinan untuk berlaku kesilapan sepanjang 'percakapan' dan 'penulisan' adalah pasti. Semakin banyak ia bercakap semakin tinggi kemungkinan untuk berlaku kesilapan, dan begitu juga menulis.
Bahkan 'penulisan' lebih besar mudharatnya jika berlaku kesilapan padanya berbanding percakapan. Kesilapannya lebih mudah dilihat dan lebih mudah diingat oleh si pembaca.
Realiti penulis-penulis blog pada hari ini, ramai yang berminat dengan penulisan-penulisan ilmiah yang bersandarkan dalil-dalil syar'ie. Dan ramai juga yang berminat dengan penulisan yang santai, seperti menulis perjalanan kehidupan hariannya, mengulas isu-isu semasa, dan lain-lain.
Dan lebih unik lagi, mereka yang mampu mengolah kisah-kisah santai tersebut kepada suatu yang berbentuk ilmiah dan nasihat kepada pembaca.
Tidak kisahlah dengan apa bentuk penulisan sekalipun, yang paling penting adalah dia menulis kerana Allah……
Bagaimana menulis kerana Allah s.w.t ??
الدين النصيحة ، قلنا: لمن يا رسول الله؟ قال لله ولكتابه ولرسوله ولأئمة المسلمين وعامتهم
"Agama (islam) adalah nasihat, pada sahabat bertanya, untuk siapa yang Rasulullah? Baginda menjawab : Untuk Allah, untuk kitabNya (Al-Quran), untuk rasulNya,dan untuk Imam-imam muslimin serta masyarakat muslimin umumnya" –dalam himpunan Hadis 40 Imam Nawawi-
Islam adalah satu agama nasihat. Seluruh aspek kehidupan muslim dipelihara dengan nasihat.
Al Khattabi mendefinisikan nasihat itu sebagai "suatu kehendak yang baik daripada si penasihat kepada yang dinasihati".
Abu 'amru bin Solah mendifenisikan 'nasihat' : ( Perkataan yang mempunyai maksud keadaan si penasihat yang menasihati seseorang yang lain dengan niat dan pelaksaan yang baik).
Nasihat untuk Allah : Ialah dengan memperbetulkan akidah dalam mentauhidkan Allah dan mengikhlaskan niat dalam beribadat padaNya.
Sebahagian ulama' Islam membahagikan bahagian nasihat ini kepada dua bahagian, iaitu wajib dan sunat.
-Wajib untuk seorang muslim melakukan segala yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.
-Sunat baginya mendahulukan apa yang disukai Allah berbanding apa yang disukai sendiri.
Nasihat untuk KitabNya : Beriman dengannya dan mengamalkan segala yang terkandung dalamnya. Juga mencintainya kerana ia adalah kalam Allah s.w.t. Seharusnya seorang muslim lebih ghairah untuk memahaminya walau dengan apa cara sekalipun. Seterusnya menyeru kepda manusia yang lain dalam melaksanakan suruhan Allah yang terkandung padanya.
Nasihat untuk RasulNya : Ketika baginda masih hidup dan selepas kewafatan baginda.
-Ketika baginda masih hidup: dengan mentaati baginda, menolong usaha dakwah baginda, mencintai baginda dan menghabiskan harta kepada baginda ketika diperlukannya.
-Selepas baginda wafat: dengan usaha menghidupkan sunnah baginda seperti mempelajari sunnah nabawiyyah dan mengamalkannya, menjadikan akhlak baginda sebagai contoh teladan dalam kehidupan kini dan menentang golongan yang ingin merosakkan sunnah baginda.
Nasihat untuk imam-imam muslim : Dengan mengharapkan kebaikan, kebenaran, dan keadilan untuk mereka. Mencintai kesatuan masyarakat di bawah pemerintahan mereka, dan membenci perpecahan ummah. Selalu mendoakan mereka dalam ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah.
Nasihat untuk masyarakat umumnya : Melakukan sesuatu kepada orang lain dengan apa yang disukainya, dan tidak melakukan sesuatu kepada orang lain itu dengan apa yang tidak disukainya. Mereka mengasihi orang yang berada di sekelilingnya. Yang muda dikasihi dan yang tua dihormati. Bergembira bersama dengan kegembiraan mereka, dan turut simpati dengan apa yang disedihkan. Menolong mereka daripada musuh-musuhnya.
Kesimpulan
Menulis kerana Allah adalah menulis sesuatu yang memberi manfaat kepada masyarakat dan untuk lebih mendekatkan diri kepadaNya di dunia dan akhirat dengan penulisan tersebut.
Menulis kerana Allah adalah dengan mengutamakan tajuk-tajuk akidah dalam penulisan. Penulis muslim hendaklah menjadi pemudah cara kepada masyarakat dalam memahami ilmu asas Islam. Tidak semata-mata menfokuskan pada panulisan-penulisan yang penuh dengan kontrovesi-kontrovesi di kalangan masyarakat atau pembaca.
Menulis kerana Allah adalah menulis dengan cara yang penuh dengan hikmah. Memudahkan pembaca dalam memahami. Elakkan daripada menyakitkan hati para mad'u ketika mereka membaca. Tidak meng'aibkan mad'u. Tidak menimbulkan sebarang fitnah kepada orang lain dengan penulisan tersebut. Kurangkan undangan salah faham di kalangan pembaca.
Sekian, wassalam….
No comments:
Post a Comment