“Tidak sempurna iman seseorang (muslim) itu, sehinggalah dia mencintaiKu (Rasulullah) melebihi cintanya terhadap ibubapanya, anaknya dan manusia keseluruhannya”-hadis-
Sanah helwah diucapkan pada kekasih kita Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w. sempena ulangtahun kelahiran baginda 12 Rabiul Awal (Selasa). Sollu ‘alaih wa ‘ala alih wa ashabil….
Umat Islam di seluruh negara meraikan dan memperingati hari yang penuh bermakna ini. Cara untuk memperingati itu tidak menjadi pertikaian, yang lebih penting adalah ia mampu menyuburkan ingatan umat islam terhadap kekasih kita Muhammad s.a.w. setiap masa.
Jika diteliti pada kalendar-kalendar masihi. Jarak 12 Rabiul Awal (Maulidurrasul) dan 14 Februari (Valentine day/ Hari Cinta). Tarikh yang begitu bermakna bagi kaum yahudi dan nasrani. Pada tahun ini (2011), “hari ini Maulidurrasul manakala semalamnya Valentine day.”
Terdapat negara-negara islam yang memperuntukkan cuti rasmi pada Maulidurrasul dan Valentine day. Ada juga yang hanya Maulidurrasul dan ada juga hanya Valentine day. Mungkin cuti itu diberi kerana ingin memuliakan hari tersebut, mungkin juga ada alasan–alasan yang lain. Semoga alasan-alasan menepati kehendak Syarak.
Rasulullah dan Cinta.
Mencintai Rasulullah lebih mulia berbanding mencintai ibubapa, anak-anak dan sekalian manusia di dunia ini. Namun, bagaimana dengan cinta pada Allah??
Tanda-tanda seseorang itu mencintai Allah adalah dengan dia mencintai RasulNya. Tanda-tanda seseorang itu cintakan Rasulullah adalah dengan dia mencintai apa yang disukai dan disuruh oleh baginda.
“Katakan (wahai Muhammad) : Sekiranya kamu mencintai Allah, maka ikutlah aku, nescaya Allah akan mencintaimu dan mengempunkan dosa-dosamu, dan sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang” –Surah Ali Imran : 31-
Bagaimana dengan cinta lelaki dan wanita ?
حبب إلي من الدنيا النساء والطيب وجعلت قرة عيني في الصلاة
“Yang aku sukai daripada dunia adalah wanita dan wangi-wangian dan dijadikan sembahyang itu penyejuk hati bagiku”-Ditakhrij oleh Imam Ahmad dan An-Nasa’i-.
Nabi s.a.w menyukai dan mencintai wanita seperti baginda menyukai wangi-wangian sahaja, tetapi penyejuk hati bagi nabi s.a.w adalah solat.
Kerana solat adalah medan pertemuan antara hamba dan Penciptanya. Solat juga melambangkan cinta hamba pada Allah. Ini menunjukkan bahawa cinta Rasul kepada Allah mengatasi cinta baginda terhadap wanita dan lain-lain.
Nabi Muhammad s.a.w adalah sebaik-baik guru dan kaunselor. Apa yang dipilih dan dinasihatkan kepada umatnya adalah yang terbaik. Maka berpeganglah dengan nasihat baginda dan jangan sekali-kali menyalah ertikan nasihat tersebut atau mengada-adakannya..!
من كذب علي متعمداً فاليتبوأ مقعده من النار
“Siapa yang membuat penipuan terhadapku, maka dia menempah kediamannya di neraka” -hadis-
Hawa nafsu dan Angan-angan.
Antara perkara-perkara yang amat dibimbangi oleh Rasulullah yang bakal berlaku pada ummatnya adalah mengikut hawa nafsu dan panjang angan-angan.
Dorongan hawa nafsu akan merugikan manusia di dunia. Manakala angan-angan yang panjang akan menyebabkan manusia lalai dan alpa dengan hari Akhirat. Kedua-dua perkara tersebut hanya akan memberi penyesalan pada si pelakunya di Akhirat kelak.
Manusia yang panjang angan-angannya tidak akan mengambil berat tentang umur atau usianya kerana angan-angan tida penghujungnya. Umpama berenang di lautan tanpa pantainya. Ajal mautnya tidak dihiraukan apatah lagi amalan-amalan yang telah dikerjakan.
Manusia yang lupakan hari Kiamat tidak akan berusaha melakukan amal kebaikan di dunia. Mereka selalu berlenggah dengan kewajibannya. Solat selalu dilewat-lewatkan apabila telah masuk waktunya. Menangguhkan fardhu haji walaupun sudah berkemampuan. Belajar sambil lewa dan mengulangkaji hanya apabila sudah dekat dengan peperiksaan.
Namun perlu dibezakan antara angan-angan dan cita-cita. Cita-cita adalah suatu yang digalakkan oleh islam kerana ia sangat berkait rapat dengan USAHA dan TINDAKAN.
Orang yang mempunyai motivasi dan cita-cita yang murni akan berusaha bersungguh untuk mencapai apa yang diimpikan. Bukan sekadar doa dan tunggu sahaja !
Tiadalah motivasi dan cita-cita yang paling tinggi selain daripada ingin berjumpa Allah di Akhirat kelak sebagai seorang hambaNya yang berjaya. Namun untuk sampai kepada cita-cita tersebut, tidak salah untuk bercita-cita untuk berjaya di dunia ini juga.
ومن يرد ثواب الدنيا نؤته منها ومن يرد ثواب الأخرة نؤته منها وسنجزي الشاكرين
“..dan siapa yang mahukan ganjaran di dunia maka kami akan berikannya ganjaran (dunia), dan siapa yang mahukan ganjaran di akhirat maka kami akan berikannya ganjaran (akhirat), dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang berSyukur.”-surah Ali Imran : 145-
Maka bersyukurlah apabila mendapat kebahagiaan di dunia. Kerana dengan bersyukur, Allah akan melipat gandakan nikmat yang telah diberikan itu.
Antara tindakan orang-orang yang bersyukur itu adalah dengan menggunakan nikmat-nikmat yang dikurniakan itu ke jalan yang sepatutnya.
Bersyukur dengan ‘kepandaian’ adalah dengan mengamalkannya dan menyampaikannya kepada orang lain. Bersyukur dengan ‘kekayaan harta’ adalah dengan bersedekah kepada faqir miskin dan menolong orang lain yang memerlukan. Bersyukur dengan ‘peluang dapat belajar’ adalah dengan belajar bersungguh-sungguh dan memperbaiki kelemahan diri. Dan semikianlah seterusnya….
Belajar sambil bercinta atau bercinta sambil belajar?
Gejala ini boleh dianggap telah merebak di seluruh peringkat dan juga bidang pengajian. Tidak kira pelajar aliran agama, sastera, ekonomi, kedoktoran, kejuruteraan dan lain-lain. Cuma permulaan yang paling serius adalah bermula di peringkat pengajian menengah.
Kerana ‘cinta itu buta’ lah, persoalan di atas timbul !!
Orang yang ‘mabuk bercinta’ akan mendahulukan cinta berbanding belajar. Mereka menganggap cinta itu yang utama dan belajar itu sambilan. Kadang-kadang Ibu bapa juga turut diabaikan, apatah lagi prestasi akademiknya.
“Takpe lah tak dapat tinggi pon janji dapat grade same-same”
Mentaliti kolot yang lahir dari ‘mabuk cinta’ ini akan memberi kesan yang buruk pada diri mereka sendiri, sekarang mahupun akan datang.
Antara tabiat buruk golongan yang mabuk cinta ketika belajar masa kini :
1) Menghabiskan duit hanya dengan top up untuk bergayut.
2) Menghabiskan masa dan kurang tumpuan kerana sibuk layan-melayan sms atau YM serta Facebook si dia.
3) Interaksi dengan keluarga kurang, terutamanya dengan Ibu bapa.
4) Bibit derhaka terhadap ibubapa bermula dengan tidak mengendahkan pendapat ibubapa dalam pemilihan calon pasangan dan lain-lain tindakan.
5) Waktu malam dan waktu cuti dihabiskan dengan ‘bergayut’.
6) Melenggah-lenggahkan solat 5 waktu terutamanya solat subuh. (kerana letih bergayut).
7) Hal ehwal semasa di sekitarnya tidak dihiraukan.
8) Mencari apa sahaja peluang dan alasan untuk dapat bersua muka dengan si dia.
9) Percubaan untuk menghalalkan yang haram.
Semua ini adalah realiti yang berlaku dalam masyarakat pada hari ini. Tidak kiralah pelajar aliran agama mahupun tidak, penuntut di luar negara mahupun dalam negara, lelaki mahupun perempuan. Mungkin banyak lagi tabiat-tabiat yang tidak tersenarai untuk kali ini, selebihnya itu diserahkan pada pembaca untuk terus memerhatikan realiti ini.
Adakah menjadi masalah jika bercinta ketika belajar ?
Bercinta ketika belajar tidak menjadi masalah. Yang bermasalah adalah apabila mahasiswa atau pelajar yang tidak memahami keutamaannya ketika belajar. Buktinya, banyak lagi faktor-faktor yang menyebabkan seorang penuntut itu bermasalah dalam akademiknya.
Satu contoh paling popular adalah bersukan. Siswa terutamanya amat gemar bermain bola sepak. Bukan setakat bermain bola sepak sahaja, malah menonton perlawanan bola sepak di televisyen juga menjadi kegemaran sebahagian siswa kini.
Kerana minat yang teramat, cuaca yang sejuk atau panas tidak menjadi halangan untuk turun padang bermain. Kos belanja yang tinggi juga tidak menjadi penghalang untuk menonton perlawanan bola sepak. Akibatnya, sebahagian daripada mereka bermasalah dalam pelajarannya.
‘Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’.
Perlu diingatkan selalu, prioriti bagi seorang penuntut ilmu. Islam tidak sekali-kali menghalang penganutnya bermain bola sepak mahupun menonton perlawanan bola sepak. Namun janganlah kerana terlalu sibuk dengan bola sepak, minat terhadap belajar semakin pudar.
Sebaliknya bola sepak mampu meningkatkan prestasi akademik seseorang pelajar jika ia mampu menyusun jadual pembelajarannya dan mendisiplinkan dirinya antara bola sepak dan belajar. Kerana bermain bola sepak mampu menyihatkan jasmani. Seterusnya jasmani yang sihat mampu menghasilkan akal fikiran yang cerdas.
Begitu juga dengan percintaan. Sedangkan pada kemaluan manusia (tempat melepaskanhawa nafsu manusia) itu juga terdapat kebajikannya jika ia digunakan pada jalan yang betul. Apatah lagi hanya perasaan cintakan seseorang.
Perasaan tersebut adalah satu kurniaan yang istimewa buat manusia. Oleh itu, janganlah sekali-kali melupakan siapakah Penciptanya dan apakah tujuan penciptaannya. Perasaan tersebut perlulah disalurkan pada jalan yang betul demi mencapai keredhaan Allah s.w.t di dunia dan akhirat.
Berkasih sayang kerana Allah.
Antara tujuh golongan yang mendapat lindungan ‘arasy Allah s.w.t daripada panas di padang mahsyar kelak adalah golongan yang mana mereka hanya berkasih sayang kerana Allah dan pertemuan dan perpisahannya adalah kerana Allah.
Semoga ciri-ciri manusia yang bercinta kerana Allah adalah seperti berikut:
1) Rindu pada Allah mendahului rindunya pada si dia.
2) Restu ibubapa menjadi keutamaan mereka dalam perhubungan.
3) Menjaga status perhubungan tersebut dengan mewujudkan pertunangan yang sah. (untuk mengelakkan fitnah).
4) Sentiasa menjaga tingkah laku mereka kerana bimbangkan fitnah sepanjang perhubungan mereka.
5) Sentiasa menasihati si dia supaya menjadi lebih baik kerana Allah.
6) Selalu mendoakan kebahagiaan si dia.
7) Mampu menghadapi masyarakat sekeliling dengan pergaulan yang mesra.
8) Sentiasa baik sangka dalam berdepan dengan konflik dalam perhubungan.
9) Akan mengutamakan kewajibannya dalam pelajaran berbanding selalu bertanya khabar si dia.
10) Menjaga kehormatan diri dan juga si dia serta keluarga.
Realiti yang dimaksudkan di atas adalah sebelum perkahwinan. Sebaiknya ia bermula dalam tempoh pertunangan yang sah di sisi syarak.
Segala yang disenaraikan ini hanyalah berdasarkan penelitian dan sedikit pengalaman hidup. Mungkin juga terdapat kesilapan dalam menyatakan realiti-realiti tersebut.
Kesimpulan
Siapakah putera puteri dunia?
Mereka adalah orang-orang yang mentaati hawa nafsu dan menjadikan nafsu sebagai tuhannya. Mereka merasa berbahagia dengan seruan kemungkaran, malah berusaha untuk lebih menghayati keduniaan itu. Mereka mahu letih berusaha mengejar kebahagian di dunia yang sementara.
Mereka langsung tidak mahu menghubungkan perbuatannya di dunia ini dengan akhirat. Mereka menganggap kesenangan yang dikecapi itu hanya untuk mereka sahaja, tidak ada kaitan dengan orang lain di sekelilingnya. Merekalah putera puteri dunia.!
Sementara putera dan puteri Akhirat adalah mereka yang kehidupannya berteraskan akidah yang sebenar dan amalan yang berlandaskan syariat Nabi Muhammad s.a.w. Mereka sentiasa mempertahan kebenaran islam. Mereka reka mempertaruhkan jiwa dan raga demi mempertahanan kebenaran islam. Mereka lebih suka menghindari atau memerangi segala kemungkaran dan kemaksiatan yang berlaku disekelilingnya.
Putera puteri Akhirat dan putera puteri Dunia mempunyai perbedaan yang jelas dan ketara. Mustahil bagi kedua-dua golongan yang berlainan anutan ini bersatu melainkan yang Putera Dunia mengikut Putera Akhirat ataupun Putera Akhirat mengikut Putera Dunia.
Wallahu a’lam…
No comments:
Post a Comment