Adakah kaedah HISAB FALAKI dibolehkan dalam menentukan awal bulan qomari? Atau hanya melalui kaedah RU'YAH sahaja??
Kemunculan anak bulan merupakan suatu petanda yang sangat berkait rapat dengan taklif, hukum-hakam syarak, dan amal ibadat muslimin dalam kehidupan. Antara ibadat yang sangat bergantung pada penentuan anak adalah seperti ibadat berpuasa di bulan Ramadhan, perayaan Aidil Fitri dan Aidil Adha.
Namun secara umumnya, Islam telah memberi garis panduan dan kaedah dalam menentukan kemunculan anak bulan tersebut melalui utusan mulia Nabi Muhammad S.A.W.
عن أبي هريرة رضي الله عنه : أن النبي (ص) قال : (( صوموا لرؤيته وأفطروا لرؤيته، فإن غم عليكم فأكملوا عدة شعبان ثلاثين يوماً )) رواه البخاري ومسلم.
Daripada Abu Hurairah R.A: Sesungguhnya Nabi S.A.W telah bersabda : (Berpuasalah kamu setelah kamu melihat anak bulan (Ramadhan), dan juga berbuka puasalah(beraya) kamu setelah melihat anak bulan(Syawal), sekiranya ia terlindung dari pandangan kamu, maka sempurnakan bilangan hari bagi bulan Syaaban itu sebanyak 30 hari ).
Riwayat Bukhari da Muslim.
Imam Ibn Mubarak, Imam Syafi'e, Imam Ahmad, dan Imam Nawawi pula bersepakat menerima penyaksian seorang lelaki yang adil dalam menentukan anak bulan Ramadhan manakala mensyaratkan penyaksian dua orang lelaki yang adil dalam menentukan anak bulan Syawal.
Ru'yah Hilal
Kaedah yang telah disyariatkan untuk menentukan masuknya awal adalah dengan manusia melihat anak bulan. Dan disyaratkan kepada orang yang melihat anak bulan itu adalah thiqah (dipercayai) dalam agamanya dan diakui kekuatan penglihatannya. Apabila dia telah mengaku melihat anak bulan maka wajib beramal dengan pengakuan tersebut. Samada berpuasa (Ramadhan) jika anak bulan Ramadhan, ataupun beraya (Aidil Fitri) jika anak bulan Syawal.
Kaedah cerapan anak bulan sekalipun tidak diharuskan sekiranya ia tidak dilaksanakan dengan menggunakan penglihatan mata manusia. Dan sekiranya ia menggunakan penglihatan manusia maka ia diharuskan berdasarkan dalil umum dari kata-kata Nabi S.A.W :
عن ابن عمر قال : سمعت رسول الله (ص) يقول : (( إذا رأيتموه فصوموا وإذا رأيتموه فأفطروا فإن غم عليكم فاقدروا له )) رواه البخاري ومسلم وفي رواية لمسلم : ((فاقدروا ثلاثين))
Daripada Ibn Umar R.A, beliau berkata : "Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda : (( Apabila kamu melihatnya (anak bulan Ramadhan) maka berpuasalah, dan apabila kamu melihatnya (anak bulan Syawal) maka berbuka puasalah (berhari raya) dan sekiranya ia terlindung dari pengihatan kamu maka buatlah andaian padanya.)) [riwayat Bukhari dan Muslim].
Dan lafaz pada riwayat Muslim "anggaplah ia tiga puluh "
Ulama' berselisih pendapat dalam mentafsir ungkapan "maka buatlah andaian padanya". Namun Imam Hanafi, Imam Malik, Imam Syafi'e dan Jumhur Ulama' sepakat mentafsirkan ia dengan "menyempurnakan bilangan 30 hari dalam bulan tersebut". Dengan menganggap lafaz daripada riwayat Imam Muslim itu menghuraikan lafaz dalam riwayat Imam Bukhari dan Muslim tersebut.
Oleh yang demikian, tidak wajib berpuasa Ramadhan kecuali telah masuknya bulan tersebut, dan cara untuk mengetahui masuknya bulan tersebut adalah dengan melihat anak bulan. Sekiranya anak bulan tersebut terlindung dari penglihatan, maka wajib untuk menyempurnakan hari ke-30 dalam bulan Syaaban kemudian berpuasa Ramadhan. Tidak kira samada cuaca ketika itu terang ataupun mendung.
Kesimpulannya, Ulama' sepakat menerima kaedah menentukan kemunculan anak bulan dengan menggunakan kaedah Ru'yah sebagai kaedah yang syari'e berdalilkan dengan zahir hadis tersebut. Dan sebahagian Ulama' daripada mereka menerima dan menganggap bahawa melihat anak bulan itu adalah suruhan yang berbentuk Ta'abbudi.
Hisab Falaki
Namun peredaran zaman dan perkembangan teknologi pada hari ini telah menjumpai satu kaedah baru yang cekap dan memudahkan dalam menentukan kemunculan anak bulan qomari ini. Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian Ulama' Mu'asarah menerima kaedah ini dan sebahagian yang lain hanya berpegang dengan kaedah Ru'yah Hilal.
Masing-masing mempunyai pendirian yang tersendiri dan sandaran yang diterima oleh syariat Islam.
* Sebab-sebab Ulama' terdahulu tidak menerima Hisab Falaki :
1) Menentukan kemunculan anak bulan pada hari ke 29 dengan kaedah melihat dengan mata manusia merupakan satu perbuatan ibadat (amrun ta'abbudi). Walaupun Kaedah Hisab Falaki mampu mencapai tahap pensabitan yang terperinci dan yakin, namun hanya kaedah ru'yah diterima kerana ia satu ibadah.
2) Syara' tidak membebankan umat Islam dengan menentukan kemunculan anak bulan pada awal bulan Ramadhan atau penghujungnya dengan menggunakan kaedah yang menyusahkan seperti dengan mengira dan menulis (hisab falaki). Tetapi hanya memadai dengan melihat tanda-tanda (kemunculan anak bulan) yang jelas dengan menggunakan mata kasar manusia. Bahkan ia dianggap menyamai dengan hasil dari kaedah mengira dan juga menulis tersebut. Hikmahnya adalah untuk menyesuaikan kaedah yang mudah ini di setiap generasi dan tempat.
3) أن رسول الله (ص) قال : (( إنا أمة أمية لا نكتب ولا نحسب، الشهر هكذا وهكذا )) أخرجه البخاري ومسلم وأحمد وأبو داود والنسائي (واللفظ للبخاري).
Sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah bersabda : "Kita adalah umat yang ummiy, tidak menulis dan tidak mengira, (bilangan hari) dalam bulan begini dan begini (29 hari atau 30 hari)"
Diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Ahmad, Abu Dawud, dan Nasa'i. Dan lafaz hadis ini adalah dari lafaz riwayat Bukhari.
Kegiatan menulis ( نكتب ) pada zaman tersebut sangat kurang. Manakala (نحسب ) iaitu mengira bintang dan meramalnya, yang mana mereka kurang mahir dalam bidang tersebut. Oleh itu, Nabi telah mengajar mereka dengan kaedah melihat anak bulan (رؤية الهلال ) untuk menentukan kemunculan awal bulan dan akhir bulan.
4) Mereka menolak حساب الفلكي kerana istilah Ahli Nujum pada zaman mereka sering dikaitkan dengan tukang tilik nasib, tukang sihir, teori gerak hati, taksiran, tekaan, dan lain-lain yang berpaksikan ilmu yang berbentuk sangkaan atau tidak meyakinkan. Pendapat ini disandarkan kepada kata-kata Ulama' terkemuka seperti Ibn Hajar Al 'Asqalani, Ibn Taimiyyah, Ibn Battol, Ibn Bazizah, An Nawawi, Al Qastolani, As Sindi, Al 'Aini. Mereka memberi peringatan tentang bahayanya menyandarkan suatu ilmu terhadap Ahli Nujum yang asas ilmunya meragukan.
5) Sebahagian dari mereka berdalilkan dengan ayat Al-Quran :
(( فمن شهد منكم الشهر فليصمه )) dengan mentafsirkan ia "Maka siapa diantara kamu yang melihat anak bulan maka berpuasalah padanya".
[ surah al-baqarah : 185]
* Pendapat yang mengharuskan kaedah Hisab Falaki dan hujjah-hujjahnya :
Sebahagian Ulama' terkemudian kini telah mengharuskan kaedah Hisab Falaki ini dengan berdasarkan kajian yang mendalam terhadap riwayat-riwayat hadis yang berkaitan disamping melihat tujuan atau maqosid disebalik pensyariatan Ru'yah Hilal.
Namun mereka tidak lari dari asas sandaran Islam yang disepakati dan pandangan-pandangan Ulama' masyhur yang terdahulu, bahkan mereka lebih cenderong untuk melaksanakan hukum-hakam berdasarkan kemampuan semasa dan realiti kehidupan umat masa kini.
Antara tokoh ilmuan yang lantang melontarkan pendapat mengharuskan kaedah Hisab Falaki ini adalah Syiekh Mustafa Ahmad Az Zarqo', seorang dari ulama' mu'asoroh di bumi syam Jordan.
Antara hujjjah-hujjah beliau adalah seperti berikut :-
1) Ru'yah Hilal bukanlah satu suruhan yang berbentuk ta'abbudi (satu amal ibadah). Tetapi ia merupakan satu wasilah (jalan) untuk umat islam mencapai suatu matlamat yang ta'abbudi iaitu berpuasa di bulan Ramadhan dan lain-lain amalan yang berkaitan.
Beliau telah memberi sedikit komentar terhadap pendapat Imam Al Qarafi yang membezakan antara sebab ibadah solat dan ibadah puasa. Menurut Imam Al Qarafi, sebab diwajibkan Solat lima waktu sehari semalam adalah "masuknya waktu". Manakala sebab diwajibkan berpuasa adalah dengan "melihat anak bulan" tersebut.
Menurut Az Zarqo', membezakan sebab antara dua ibadah ini adalah tidak wajar. Sepatutnya ibadah puasa juga diwajibkan dengan sebab "masuk waktunya".
Tambahan lagi, Ibadah Solat itu lebih utama dari Ibadah Puasa. Tetapi, realiti masa kini, kenapa hanya dibenarkan ibadah Solat untuk menggunakan taqwim waktu solat, sedangkan Puasa tidak ??
2) (رفع الحرج) melenyapkan segala kesulitan. Dalam merungkaikan maksud tersirat di sebalik hadis : (إنا أمة أمية لا نكتب ولا نحسب ).
Imam Ibn Hajar al 'Asqalani berpendapat bahawa tujuan pensyariatan kaedah Ru'yah Hilal adalah untuk melenyapkan segala kesulitan pada zaman tersebut. Kesulitan yang dimaksudkan beliau adalah bersandar kepada Ahli Nujum ataupun ilmu yang Dzonni (tidak meyakinkan).
Demikian juga pendapat Al 'Aini, Ibn Battol, Al Qostolani dan As Sindi. Mereka menganggap kaedah Ru'yah Hilal itu adalah satu kaedah untuk menjaga ummat dari mudharat mempercayai suatu ilmu yang tidak meyakinkan atau dengan kata lain "untuk melenyapkan segala kesulitan" pada zaman tersebut.
Oleh itu, Nabi S.A.W tidak menyusahkan ummatnya dengan menyuruh menggunakan kaedah Hisab Falaki yang agak rumit (pada masa itu) dan tidak juga menyusahkan dengan mengira mengikut kiraan bulan syamsiyyah yang lebih menyukarkan, bahkan hanya mentaklifkan hambaNya dengan melihat anak bulan qomariyyah yang jelas.
Menurut Az Zarqo', memandangkan Ru'yah Hilal itu adalah satu wasilah, maka ia boleh berubah menurut peredaran masa dan tempat. Dan sekiranya Ru'yah Hilal itu dianggap رفع الحرج, maka Hisab Falaki juga boleh dianggap رفع الحرج . Kerana Hisab Falaki pada zaman kini adalah dengan kemudahan pelbagai dan teknologi yang canggih yang boleh mendekatkan pemandangan yang jauh dan juga boleh mengira kelajuan pergerakan matahari, bulan, bumi serta bintang dan seterusnya mampu mencapai tahap kayakinan yang lebih tinggi dalam mensabitkan kemunculan anak bulan qomari.
3) Keperluan memahami Maqosid Syariah. Maqosid atau tujuan disebalik Nabi S.A.W menyuruh umat pada pasa itu menggunakan kaedah Ru'yah Hilal seperti dihujjahkan oleh Ulama' terdahulu dengan hadis ( صوموا لرؤيته وأفطرو لرؤيته ) , adalah kerana keadaan umat ketika itu adalah ummiy iaitu tidak pandai menulis dan mengira seperti disebut dalam riwayat yang lain ( إنا أمة أمية لا نكتب ولا نحسب، الشهر هكذا وهكذا). Ibn Hajar Al 'Asqalani menghuraikan dua kalimah ( لا نكتب ولا نحسب ), kedua-duanya menggunakan dhamir mustatir NAHNU 'kami'. Dan ia menunjukkan khitob kepada 'kami' iaitu umat islam pada zaman kata-kata itu dilafazkan.
Ini jelas menunjukkan pada kita bahawa, kaedah ini boleh berubah mengikut kemampuan semasa dan keperluan setempat. Kerana Feqh itu Flexsible sesuai dengan peredaran zaman.
4) Penafsiran terhadap istilah Ilmu Falak diantara Fuqaha' terdahulu dan kini sudah berubah dan caranya juga sudah berbeza.
Pada zaman Fuqaha' terdahulu, telah banyak berlaku percampuran di kalangan masyarakat antara ilmuan falak, dan pendeta, tukang tilik, tukang sihir. Sehingga menyebabkan ilmuan falak ketika itu turut terikut dengan cara-cara yang sesat yang digunapakai oleh tukang sihir, pendeta dan sebagainya. Seterusnya mereka turut tidak dipercayai oleh Fuqaha' dan dilabelkan dengan suatu ilmu yang tidak meyakinkan. Tambahan pula peralatan dan kemudahan yang ada pada masa itu masih kekurangan. Dua faktor Fuqaha' tidak menerima Ilmu Hisab Falaki pada masa tersebut :
i- Kerana ilmu itu hanya bergantung pada andaian dan jangkaan manusia semata-mata. Oleh itu, adalah lebih baik mereka memilih kaedah yang meyakinkan iaitu dengan kaedah melihat anak bulan (Ru'yah Hilal).
ii- Kerana golongan ini amat berbahaya. Dan dibimbangi mereka akan menyesatkan umat Islam pada masa akan datang dengan ilmu mereka yang tidak meyakinkan itu.
Pada zaman kini, Ilmu Falak Syari'e telah berkembang dan Ilmuannya pula telah mula diterapkan dalam kalangan masyarakat islam pada hari ini. Dan ketahuilah bahawa ilmu mengkaji pergerakan bulan dan bintang itu bukanlah suatu yang sesat, bahkan ia merupakan tuntutan dari Allah S.W.T dalam firmanNya :
(( قل انظروا ماذا في السموت والأرض وما تغني الآيآت والنذر عن قوم لا يؤمنون ))
Katakanlah, "Perhatikanlah apa yang ada di langit dan di bumi!" Tidak bermanfaaatlah (tanda-tanda kebesaran Allah) dan peringatan-peringatan (oleh rasul-rasulnya) terhadap golongan yang tidak beriman. [surah yunus: 101]
Dan tidak masuk akal sekiranya Nabi S.A.W melarang ummatnya daripada mengkaji ciptaan Allah S.A.W dan mencari hikmahnya. Sesungguhnya Ilmu Allah S.A.W itu amatlah luas dan melingkupi seluruh ciptaannya.
5) (( فمن شهد منكم الشهر فليصمه )) "Oleh itu, barang siapa di antara kamu yang berada pada bulan itu, maka berpuasalah." [surah Al Baqarah : 185]
(Sila rujuk Al-Quran dan Terjemahannya oleh (JAKIM) diterbitkan oleh Pustaka Darul Iman Sdn. Bhd.)
Perkataan شهد dalam ayat tersebut membawa maksud "hadir / ada" bukannya "melihat". Hadir yang dimaksudkan adalah wujud pada suatu tempatnya apabila tibanya Ramadhan, bukan sebagai seorang musafir. Maka wajiblah ke atasnya berpuasa padanya.
Oleh itu, jelas bahawa kewajiban berpuasa adalah dengan sebab memasuki zon Ramadhan itu, bukan atas sebab melihat anak bulan semata-mata. Sekiranya melihat anak bulan dianggap sebagai satu wasilah dalam menentukan anak bulan qomari pada zaman terdahulu atas alasan رفع الحرج , maka kaedah Hisab Falaki juga boleh dianggap sebagai satu cara untuk menentukan kemunculan anak bulan atas alasan رفع الحرج .
KESIMPULAN
عن أبي بكرة رضي الله عنه عن النبي (ص) قال: ( شهرا عيدٍ لا ينقصان، رمضان وذو الحجة ). أخرجه البخاري ومسلم وأبو داود والترمذي وبن ماجه وأحمد.
Menurut Abi Bakrah R.A daripada Nabi S.A.W, baginda telah bersabda : ( Dua bulan perayaan yang tidak akan berkurang, bulan Ramadhan dan bulan Zul Hijjah).
Hadis ini membawa pengertian bahawa tidak akan berkurangnya pahala ibadah pada kedua-dua bulan tersebut sekalipun bilangan hari dalam bulannya itu tidak mencukupi.
(( ومن صام رمضان وأتبعه بست من شوال، كان كصيام الدهر ))
"Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan 6 hari selepasnya pada bulan Syawal, seumpama dia berpuasa setahun."
Fadhilat berpuasa yang dianjurkan sedemikian akan layak dicapai pahalanya walaupun bilangan hari di bulan Ramadhannya cukup ataupun tidak.
Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment