Sunday, January 2, 2011

Rindu...

Apabila belaian sayang bertukar menjadi kiriman salam ….Apabila kasih bertukar menjadi rindu….Apabila suka duka menjadi kenangan….Apabila orang yang dirindu berada disebalik pandangan mata…..


Rindu……

Berjauhan dengan keluarga, adik beradik, saudara mara, kawan-kawan…adalah suatu bebanan yang sangat berat untuk dipikul pada waktu-waktu tertentu. Apabila waktu itu datang, segala perkara yang dikerjakan seolah kosong.


Jangan malu untuk merindu….

Kerana perasan itu adalah satu kurniaan berharga buat seorang insan untuk menghargai kasih dan sayang seseorang. Aku akan merindui sesuatu yang tiada di depan matanya, jika ketika keberadaanya, ia banyak menabur budi dan jasa. Aku bebas merindui sesiapa…

Aku rindu si dia dan si dia…..

Setiap pertemuan pasti ada perpisahan…lumrah kehidupan yang amat indah untuk kita mengenal erti RINDU. Ia adalah satu nikmat yang unik dan hebat dari Sang Pencipta.


….tapi malulah jika rindumu bukan padaNYA…

Tapi sedarlah….

tatkala aku merindui si dia dan si dia….

mungkin aku terlupa untuk merindui Sang Pencipta RINDU. Dia telah mencipta RINDU untuk hambaNYA merindu pada apa yang DIA mahu…

Aku kini rindu pada MakhlukMU ya Robb…ampunkan aku ya Ghoffar….tunjukkanlah pada ku lorong rinduMU ya Halim….


….maafkan si hamba tatkala si hamba terlupa…..

Engkau mencipta roh, akal, perasaan, kecantikan, cinta dan ketenangan. HambaMu ini pula telah menggunakan semua itu tanpa ingat dan rindu pada MU. Celakalah tindakan hambaMu ini…..

Aku perlu sedar….Tatkala aku merindui si dia dan si dia yang kini tiada di mata….sesungguhnya aku sedang merindui KAMU ya Robbal Hubb. Engkau mengatur pertemuan dan perpisahan ini supaya aku mengingati dan merindui serta berserah padaMU.


Maafkan aku….kini aku merinduiMU ya Allah,

maka Engkau ubatilah rinduku pada keluargaku ini ya Allah….ubatilah rinduku pada Ramadhan yang kian meninggalkan aku ini…Terimalah taubatku ini....

اللهم إنا نسألك حبك وحب من يحبك والعمل الذي يبلغنا حبك

Nilai Wang Pada Musim Haji.....

Bismillah...


Hanya kepada Allah segala pujian dan syukur...Tuhan yang telah memuliakan peta dunia ini dengan kewujudan Tanah Suci Haram. Di situ dipasak tiang kukuh Islam mula berkembang untuk dianuti. Oleh seorang Pahlawan Dunia Muhammad Bin Abdullah (S.A.W).

Di sanalah Rumah Allah , Ka'bah (Mekah) dan di sana jugalah Makam KekasihNYA , Masjid Nabawi (Madinah).

Selawat dan salam ke atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabatnya. Semoga kita dibangkitkan kelak bersama kekasih yang Agung pemilik syafaat kepada ummat.


Dengan Keizinan dan panggilan dariNYA, dengan kemampuan dan kesihatan diri yang dipinjamkan. 1431H / 2010M , saya telah menjejakkan kaki di tanah suci haram sebanyak dua kali. Kali pertama Umrah (JUN 2010), kedua Haji (November 2010). Kali seterusnya....insyaAllah....Alhamdulillah....


Teringin berkongsi kegembiraan dan nikmat ini bersama keluarga, saudara mara, guru2, kawan2 yang dah pernah ke mekah ataupun belum. Yang belum, didoakan akan dapat menziarahinya, dan yang sudah, didoakan juga dapat menziarahinya lagi. Amin Ya Robb..


Bak Kata seorang sahabat karib saya yang bersama2 saya menunaikan manasik haji pada tahun ini (Al Haj Ustaz Mohd Ihsan Fadhli Bin Che Min Al-Hafiz) dalam ucapan ringkas sempena hari Raya Korban (AidilAdha) di 'Aziziyyah, Mekah, "Rukun Islam sudah lengkap setelah tertunainya Manasik Haji,..rukun hidup belum lagi lengkap...........=) "


Hajjan Mabruran wa Sa'yan Masykuran diucapkan pada para Hujjah di seluruh dunia yang telah menunaikan haji pada tahun ini. Mungkin agak terlewat untuk saya ucapkan demikian(dalam coretan ini), kerana baru sahaja dikurniakan kesihatan yang agak stabil setelah pulang mengerjakan haji tempoh hari. Mungkin 'zukkam' yang agak lama ini petanda masih lagi dirindui Masjid Nabawi, Masjid Haram, Padang 'Arafah, Muzdalifah dan Mina. Amin...


Musafir dari Jordan ke Madinah melalui sempadan Jordan-Saudi menaiki bas memakan masa sekitar 20-23jam. Dari Madinah ke Mekah pula sekitar 6-7jam. Satu rehlah yang amat meletihkan dan agak membosankan. 'Berhenti makan, minum dan tandas' menjadi selingan yang paling ditunggu-tunggu. Rehlah sebuah bas yang terisi 48 penumpang, 1 pemandu dan 1 penumpang tambahan(pendatang asing). 21 Maliziyyin dan selebihnya Urduniyyin dan Suriyyin.


Kesardinan bas tersebut meremukkan emosi bakal-bakal hujjaj pada masa itu. Sehinggakan mutowwif malizi terpaksa mengalah dalam 'permainan gaduh2 rebut kerusi'. Maka Bertigalah mereka di kerusi yang dua. Yang lebih meletihkan dan menyakitkan jiwa raga kami adalah apabila melayan karenah dan tabiat amat buruk manusia arab jordan ini. Merokok di dalam bas yang berhawa dingin dengan muka tak bersalah.


Pelbagai uslub dakwah telah digunapakai oleh para Du'at maliziyyin. Sungguh teruji dan teruja dengan sikap penghisap rokok tegar itu. Seperti air disimbah ke daun keladi. Saya anggar apa yang berlaku itu, lebih baik dari apa yang berlaku antara Nabi Nuh dan Kaumnya. Alhamdulillah....


Kita tinggalkan cerita Maliziyyin vs Urduniyyin+Suriyyin itu.


4 Zulhijjah kami bertolak dari Jordan dan 12 Zulhijjah kami bertolak dari Mekah. 2 hari kami sempat bersama Masjid Nabawi dan selebihnya kami di Mekah. Jujur saya katakan, 2 hari di madinah takkan sama rasa KETENANGANnya jika nak dibandingkan dengan hari2 yang berbaki di Mekah. Bukan niat untuk melebihkan Kota Madinah dari Kota Mekah, tapi itu yang dapat saya rasakan dan ia telah terbukti dengan hamparan sejarah.


Kota Madinah yang dahulu kalanya menjadi kota puak Ansar yang terkenal dengan sopan santunnya, kehalusan budi pekertinya, sikap tolak ansurnya, undang2 yang agak teratur dll. Manakala Kota Mekah pula menjadi tempat puak2 arab jahiliyyah, dengan kedegilannya, kebengisannya, penipuannya, undang2 yang kacau bilau dll. PengHijrahan Nabi S.A.W dan Para sabahat juga telah berlaku dari Kota Mekah ke Kota Madinah.


Manusia tidak mampu hidup tanpa sejarah. Sejarah mempengaruhi tabiat dan gaya sesebuah kehidupan manusia.


"Mengambil kesempatan di dalam kesempitan"

Itulah yang telah berlaku pada musim haji di Mekah. Mengundang sikap berhati-hati dan juga tidak puas hati.

Satu contoh sahaja : Tambang prebet dari Masjid Haram ke Tan'im yang ketika selain musim haji hanya 2Riyal (seorang), tetapi pada musim haji melonjak ke 30-50Riyal (seorang).

Mereka sudah berani bermain-main dengan nilai Ibadah. Nilai duit mula disamakan dengan nilai ibadah. Hilang rasa ingin menolong dan timbang rasa. Yang kaya akan terus dijunjung-junjung di atas kepala, yang miskin akan terus dipijak-pijak di kaki. Astaghfirullahal 'azim....

Amat bernasib baik, kerana orang bukan Islam tidak wujud dalam situasi ini. Jika tidak, mungkin ia akan menjadi fitnah terhadap Islam suatu hari nanti.....

bersambung....

p/s : Kebaikan seseorang tidak boleh diukur dengan tempat dia berada.
Islam boleh terhijab dengan orang yang menganut Islam itu sendiri.

.:: NOTA UNTUK DIRI 1 ::.

Wahai diri yang bergelar penuntut ilmu, 4 perkara perlu kamu JAUHI :

1) Jauhkan dirimu dari segala punca kehinaan dan celaan. Seperti riya', hasad dengki, bangga diri, bermusuhan, berdendam dan sebagainya. Yaa..benar !! sekali pun telah berlaku percanggahan dan perselisihan antara dirimu dan kawan2mu...dan hatimu berkehendakkan kebenaran dan hak. Kamu berhak menegakkan kebenaran itu!! Namun bersabar dan berlaku bijaklah dalam mendamba kebenaran.

Dua syarat utama yang perlu kamu patuhi, pertama, janganlah kamu membezakan samada kebenaran itu zahir di atas lidahmu atau di lidah kawanmu itu. Kedua, biarlah kamu mencari kebenaran itu di tengah kesunyian manusia. Dan kamu tidak suka mengaitkan kebenaran itu dengan usahamu mencarinya.

Jangan sekali kamu malu bertanya dalam mencari kebenaran, kerana yang gelap itu mungkin hatimu atau mungkin juga hati mereka. Bertanyalah pada Dia yang mempunyai cahaya (ilmu) itu. Namun pertanyaan si jahil kepada si 'alim itu ibarat si pesakit yang mengadukan penyakitnya pada si perawat. Segala jawapan kepada persoalannya itu adalah usaha untuk merawat.

Dan kamu harus faham juga, si perawat yang kurang pengalaman tidak boleh merawat kesemua penyakit pesakit itu, dan si perawat yang berpengalaman dan hebat pun tidak akan dapat merawat pesakit yang TIDAK MAHU untuk dirawat...

Hanya kamu yang mampu mengubati penyakit-penyakit hatimu...



2) Jauhkan dirimu dari ingin menjadi seorang pemberi peringatan (tazkirah) kerana kesan buruknya akan lebih besar, KECUALI kamu lakukan ia terlebih dahulu sebelum kamu katakannya. Kemudian kamu berilah peringatan kepada manusia yang lain.

Renungilah kata yang pernah dilemparkan pada Nabi Isa A.S. "Wahai anak Maryam, muhasabahlah dirimu itu, dan sekiranya kamu telah bermuhasabah (sudah beramal) maka nasihatlah manusia yang lain, jika tidak, maka malulah kamu pada Tuhanmu"

Wahai diri, sekiranya kamu diuji dengan kata-kata sebegitu maka ingat dua perkara ini:

Pertama, sesungguhnya Allah s.w.t amat murka pada hamba-hambaNya yang melampaui batasan arahanNya. Kerana mungkin perbuatan aku yang terlalu seronok mengingatkan orang lain tanpa melihat keadaan diri ini mengundang kemurkaanNYA. Na'uzubillah...

Tazkirah yang dimaksudkan ialah, mengingatkan hamba-hamba Allah yang lain dengan hari Akhirat, menambah usaha dalam beribadah menghambakan diri padaNYA, mengingatkan orang lain dengan apa yang telah dilakukan dengan manfaat2nya atau akibat2nya.

Ibarat kamu sedang melihat pencuri memecah masuk sebuah rumah, dalamnya terdapat ahli rumahnya, kemudian kamu berkata "Hati-hati dengan pencuri itu!!"

Seeloknya kamulah yang terlebih dahulu bentindak pada situasi itu. Dan jangan terlalu suka berteori sehingga kamu tidak tahu praktikalnya.

Kedua, jangan kamu mengimpikan tindak balas dan perubahan si dia di saat kamu memberi peringatan itu padanya. Seperti dia datang padamu dan mengaku segala kesalahan lampaunya dan menyatakan "kamu telah menyedarkan aku".

Jangan kamu mudah terpedaya dengannya kerana itu adalah lubang Riya'. Kamu akan terjatuh dalamnya sekiranya kamu lalai dan alpa. Ingatlah! Tugas kamu hanya menyeru manusia dari dunia kepada akhirat, dari maksiat kepada taat, dari tamakkan dunia kepada zuhud, dari bakhil kepada pemurah, dari was-was kepada yakin, dari leka kepada sedar dan dari penipuan kepada taqwa.

Sesungguhnya sebaik-baik perubahan sikap adalah berpunca dengan tolakan dari dalam diri bukannya tarikan dari luar. Oleh itu, tugas yang lebih utama adalah memberi tolak dorongan itu pada kawan-kawanmu, bukan sekadar kamu menarik hati-hati mereka dari luar sahaja.



3) Jauhilah kamu dari banyak bergaul dengan pembesar-pembesar masyarakat yang fasiq dan zalim. Elakkan diri kamu dari berada dalam majlis-majlis bersama mereka kerana ia bakal memberi kesan yang buruk padamu.

Sekiranya kamu terpaksa berada bersama mereka, maka janganlah kamu memuji-muji mereka kerana Allah s.w.t tidak suka dan murka pada hambaNYa yang memuji orang fasiq dan zalim apatah lagi mendoakan agar dipanjangkan umurnya. Sedangkan mereka itu lebih suka melakukan maksiat di bumi Allah ini.



4) Jauhilah kamu dari sebarang pemberian atau hadiah dari pembesar-pembesar itu. Tahukah kamu dari mana sumbernya? haram atau halal??

Kata orang " tak mengapalah, ambil sahaja! kamu manfaatkanlah pemberian itu untuk kebaikan kamu, gunakanlah untuk kamu belajar ilmu-ilmu agama, bukankah ia memberi manfaat yang baik??"

Bagi aku, mengambil pemberian itu bermakna kamu bersetuju dengan si pemberi itu dengan kezalimannya dengan kefasikannya yang seterus akan memusnahkan agama.

Kata orang lagi "Lebih baik kamu ambil pemberian itu dan kamu bahagikan kepada faqir dan miskin yang memerlukannya untuk hidup. Jika mereka bersedekah dengan kefasikan dan kezalimannya, maka kamu telah bersedekah dengan kebaikanmu dan sikap pemurahmu."

Bagi aku lagi, itu semua adalah waswasah syaitan yang untuk menyembelih tengkok-tengkok anak adam.