Sunday, November 16, 2008

PEDOMAN IMAM SYAFIE

Imam Syafie bernama Muhammad bin Idris. Salasilah keturunan beliau adalah Muhammad bin Idris bin Abbas bin Usman bin Syafie bin Saib bin Abdul Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. Keturunan beliau bertemu dengan keturunan Nabi Muhammad SAW pada datuk Nabi Muhammad yang ketiga iaitu Abdul Manaf. 


Beliau dilahirkan di Ghuzah iaitu nama sebuah kampung di Palestin, pada bulan Rejab 150 H atau 767 Masehi. Tempat asal ayah dan bonda beliau ialah di Kota Mekah. Imam Syafie lahir di Palestin kerana ketika itu bondanya pergi ke daerah itu kerana urusan penting. Namun di dalam perjalanan menuju Palestin tersebut ayahnya meninggal dunia, sementara Imam Syafie masih dalam kandungan ibunya. Setelah berumur dua tahun baru Imam Syafie dan ibunya kembali ke Kota Mekah.

Ketika berumur 9 tahun beliau telah hafal Al-Quran 30 juz. Umur 19 tahun telah mengerti isi kitab Al-Muwatha’, karangan Imam Malik, tidak lama kemudian Al-Muwatha’ telah dihafalnya. Kitab Al-Muwatha’ tersebut berisi hadis-hadis Rasulullah SAW, yang dihimpun oleh Imam Malik.

Kerana kecerdasannya pada umur 15 tahun beliau telah diizinkan memberi fatwa di hadapan masyarakat dan menjawat sebagai guru besar ilmu hadis serta menjadi mufti dalam Masjidil Haram di Mekah.

Ketika berumur 20 tahun beliau pergi belajar ke tempat Imam Malik di Madinah, setelah itu beliau ke Iraq, Parsi dan akhirnya kembali ke Madinah. Dalam usia 29 tahun beliau pergi ke Yaman untuk menuntut ilmu pengetahuan.

Tentang ketaatan beliau dalam beribadah kepada Allah diceritakan bahawa setiap malam beliau membahagi malam itu kepada tiga bahagian. Sepertiga malam beliau gunakan kewajipan sebagai manusia yang mempunyai keluarga, sepertiga malam untuk solat dan zikir dan sepertiga lagi untuk tidur.

Imam Syafie merupakan salah seorang tokoh ahli fiqah yang sangat terkenal dalam agama Islam selain daripada Imam Ahmad Hambal, Imam Malik dan Imam Abu Hanifah. Ilmu fiqah yang dibawa oleh Imam Syafie adalah satu zaman perkembangan ilmu fiqah dalam sejarah perundangan Islam. Hal ini kerana beliau yang menghimpun atau menyatukan ilmu fiqah, ahli akal dan fikir dengan ilmu fiqah, ahli akal dan hadis.


Ilmu fiqah Imam Syafie adalah ikatan sunnah dan qias serta pemikiran dengan beberapa pertimbangan dan sekatan. Ini kerana ilmu fiqah yang menetapkan cara atau peraturan untuk memahami al-Quran dan hadis. Ia juga menetapkan kaedah pengeluaran hukum dan kesimpulannya.

Lantaran itulah beliau berhak dianggap penaja bagi ilmu usul fiqah.
Imam Syafie telah memberikan pedoman yang boleh kita kongsi dan hayati bersama agar amalan dan kehidupan kita menjadi lebih berkualiti.

Empat perkara untuk sihat
Makan daging
Memakai haruman
Kerap mandi
Berpakaian yang diperbuat daripada kapas

Empat perkara melemahkan badan
Terlalu banyak mengadakan hubungan kelamin
Selalu cemas
Banyak minum air ketika makan
Banyak makan bahan yang masam

Empat perkara menajamkan mata
Duduk menghadap qiblat
Bercelak sebelum tidur
Memandang yang hijau
Berpakaian bersih

Empat perkara yang merosakkan mata
Memandang najis
Melihat orang dibunuh
Melihat kemaluan
Membelakangi qiblat

Empat perkara menajamkan fikiran
Tidak banyak berbual kosong
Rajin bersugi
Bercakap dengan orang salih
Bergaul dengan ulama’

 

No comments: