Friday, January 30, 2009

SKRIN TELEVISYEN PADANG MASYAR

Mata liarku memandang setiap manusia yang berjalan di hadapanku tanpa putus-putus ibarat tali air. Tiba-tiba mataku tertumpu pada sekujur badan, badannya agak luar biasa sehingga aku lupakan manusia-manusia lain disekelilingku dan terus menumpukan perhatian pada orang tersebut. Alangkah terkejutnya memandang orang tersebut kerana rupa-rupanya Allah sedang mengujinya dengan suatu penyakit luar biasa. Aku dapati tangan, kaki dan sebahagian mukanya sembam (bengkak). YA Allah bertapa besarnya nikmat (kecantikan/kesihatan) yang telah Engkau kurniakan kepadaku serta kepada keluargaku, Engkau kekalkanlah nikmat yang telah Engkau kurniakan kepadaku dan kepada keluargaku sehingga bila-bila itulah doa kesyukuran yang terlintas di dalam hatiku.

Pada masa yang sama aku rasa terharu dan hairan melihat kekuatan (iman)orang itu mengahadirkan diri ke masjid untuk sembahyang berjemaah dalam keadaan sakit. Betapa kuatnya iman manusia tersebut dan bertapa kasihnya Allah sehingga Dia memilih orang itu untuk datang ke rumahNya walaupun di luar masih ramai yang gagah sihat tidak datang sembahyang berjemaah dan masing-masing menjadikan rumah sebagai surau dan masjid . Saya diberitahu oleh orang tua-tua bahawa bukan semua orang dapat datang ke masjid melainkan mereka-mereka yang Allah pilih sahaja. Ini dapat ditamsilkan dengan contoh begini bukan semua orang dapat pergi ke istana menghadiri sesuatu majlis melainkan mereka-mereka yang dipilih khas oleh pemilik istana tersebut begitulah keadaan pergi ke masjid bertemu dengan Al-Malikul Mulk. Mengapa Allah membawa orang tersebut di hadapanku? Pada mulanya aku anggap ia sebagai suatu peristiwa yang biasa sahaja tetapi kini aku mendapati bahawa Allah mahu menegurku (Tarbiah) supaya aku beroleh hidayah.

Bila perutku terasa lapar aku berjalan hulu ke hilir mencari rezeki di luar masjid, tetapi tidak ditemui dan aku balik ke masjid kerana masjid itu ada kantin lalu aku masuk dan menjamu selera. Bila sudah habis makan aku bangun hendak meninggalkan ruang tersebut tetapi tiba-tiba tanganku ditarik oleh seseorang dan bila aku menoleh, aku mendapati kawan lamaku, masyaAllah tidak sangka aku akan berjumpa dengannya kerana sejak mula aku masuk masjid itu aku teringin sangat hendak jumpanya, puas mataku mencari, bila mataku penat tiba-tiba Allah munculkan dia di hadapanku. Kami dua duduk berbincang tentang pelbagai perkara. Pada masa yang sama tiga orang yang saya tidak kenali juga datang duduk bersama kami dan mula mengambil bahagian dalam apa yang kami bincangkan. Walaupun baru satu minit berkenalan tetapi langsung tidak terasa janggal atau jauh hati seolah-olah kami sudah lama berkenalan. Itulah Allah yang memegang hati-hati manusia dalam sekelip mata Dia boleh menebalikkan hati sesiapa yang Dia suka dan dalam sekelip mata juga Dia berkuasa mendekatkan hati sesiapa yang Dia kedendaki. Maha berkuasa Dia ke atas segala sesuatu. Bila rancak berbincang, kawan saya dan salah seorang dari tiga orang itu meminta diri meninggalkan kami bertiga kerana pada waktu itu jarum jam telah melebihi pukul 11 malam.

Oleh kerana kami bertiga tiada apa-apa urusan maka kami duduk berbincang juga. Tiba-tiba salah seorang dari saudara yang baru saya jumpa mula ceritakan mengenai pengalaman seorang manusia yang luar biasa. Menurutnya orang ini telah lebih dua bulan terlantar di hospital dalam keadaan koma. Pada masa ini rohnya telah dibawa jalan ke alam akhirat. Dia telah di bawa ke Padang Masyar dan ditunjukkan kaedah penghisaban. Menurutnya lagi di Padang Masyar ada televisyen serba canggih lebih canggih dari apa yang ada sekarang (kerana hari kiamat adalah future) dan segala lakonan hidup yang kita lakonkan sepanjang hayat akan ditontonkan kepada semua manusia sejak awal sehingga akhir; tidak kira baik atau buruk, sama ada yang dilakukan di kelayak ramai atau secara sembunyi, tidak kira sama ada di dalam kegelapan atau dalam cahaya; pendek kata tiada suatupun yang akan terlepas dari skrin televisyen tersebut.

Bila saya dengar sahaja tentang skrin televisyen ini dah hati saya kembali mengingati maksiat, kedurjanaan, khianat dan macam-macam amalan jahat yang telah aku lakukan. Pada masa itu terasa teramat malu pada diri saya sendiri seolah-olah saya berada di khalayak ramai tanpa seutas benang pun pada badan saya, begitulah rasa malu saya ketika saya dengar tentang skrin televisyen itu. Masya Allah apakah akan jadi kalau hal ehwal aku ketika aku hidup di dunia ini ditontonkan kepada penduduk Masyar, apakah yang mereka akan fikirkan, kalaulah ibubapaku yang menyangka anaknya ini seorang yang baik melihat lakonanku apa yang mereka akan fikirkan tentang diriku ini, kalaulah saudara-saudariku melihatnya bagaimanakah penerimaan mereka terhadapku, kalaulah kawan-kawanku melihat maksiat yang aku lakukan dibelakang mereka dan berlakon sebagai seorang baik di hadapan mereka apakah yang mereka akan fikirkan tentang diriku, apakah yang akan difikirkan oleh orang-orang yang aku pernah tegur dan menyuruh berbuat baik tetapi aku sendiri tidak melakukan kebaikkan......................ya Allah, tolonglah tutup keaiban ku.........janganlah engkau membuka keaibanku di hadapan manusia lain. Inilah doa dan penyesalanku ketika itu.

Kawan saya seorang lagi seolah-olah mengetahui perasaan kesalku dia memberi kata-kata semangat, dia kata kalau kita tidak membuka keaiban manusia lain dengan memalukan di khalayak ramai di dunia ini, dipadang Masyar nanti insyaAllah, Allah akan menutupkan keaiban kita dan Dia akan menghisab kita di belakang tabir tanpa diketahui oleh sesiapapun dan bertaubatlah kata kawanku itu. Menurutnya lagi bukan sahaja orang itu di bawa ke padang Masyar sahaja malah telah dibawa ke neraka juga untuk menunjukkan betapa azabnya siksa neraka yang telah dilupai oleh kebanyakan manusia dan tenggelam dalam

mencari nikmat dunia yang tidak seberapa dengan melupakan Allah. Dalam hatiku tertanya siapakah orang yang dikatakannya yang berada dalam koma dan diberi peluang oleh Allah untuk melihat kebesaranNya ............maka sampailah masanya dia memberitahu siapa orang tersebut dan kemudian dia beradar dari situ, dia berkata "itulah orang yang bengkak kaki dan tangan yang kami jumpa di dalam masjid". Saya terus tersentak dan terpaku seketika memikirkan lelaki yang tersebut.Tidak lama kemuadian baru saya tertanya-tanya lagi,, siapakah dua orang yang saya jumpa dan menceritakan akan hal ini kepadaku adakah mereka sama seperti saya atau.....?

Subahanallah. Dalam setiap penciptaan makhluk, Allah telah meletakkan suatu pengajaran kepada manusia seperti saya, tetapi saya yang tidak faham dan tidak mengerti. Kini setiap kali saya teringin melakukan maksiat SKRIN TELEVISYEN PADANG MASYAR yang saya teringat. Ini bukan cerita ciptaan atau Khayalan semata-mata, ini adalah cerita benar, dan saya masih hairan melihat manusia yang ketawa terbahak-bahak........sudah lupakah mereka mengenai hisab Yaumal Zalzalah?

Tuesday, January 20, 2009

"Mengapa Saya Diam Dalam Bising"

Alhamdulillah...terlebih dahulu setinggi-tinggi terima kasih dan syukur padaNYA, moga dengan keluangan masa yang diberi olehNYA ini dapat saya manfaatkan sebaik-baiknya.

Sekalung tahniah buat kemenangan yang bakal dikecapi oleh tentera2 Islam di Palestin. Juga tahniah buat kemenangan PAS di Terengganu. Dan tidak saya lupakan tahniah buat kemenangan calon2 Pilihanraya MPMKUIS 14 Januari lepas. Semoga dengan kemenangan2 tersebut Umat Islam menjadi lebih tegak berdiri di bumi Allah ini.

Saya agak terharu dan berbangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh semua ahli MPMKUIS 08/09 dalam syura pemilihan Presiden MPMKUIS 15 Januari baru-baru ini. Tahniah buat Sdr. Nasrul Izad atas perlantikan sebagai Presiden MPM kali ini. Jalankanlah tanggungjawab kalian dengan terbaik mungkin dengan kemampuan yang ada.

Kami dari barisan mantan MPMKUIS 07/08 bersedia membantu sedaya upaya. Walaupun kemampuan yang ada mungkin masih dipertikai oleh sesetengah pihak, namun kami percaya bahawa usaha kami selama ini tidak akan sia-sia. Berusaha bukan untuk dibangga, bukan juga untuk dijaja tapi mengharap redha dari Yang Maha Esa.

Sejak mula-mula saya melibatkan diri dalam kepimpinan Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIS 2006-2008, banyak harapan yang dibawa bersama, yang paling utama ialah untuk mengharapkan diri ini menjadi lebih dekat pada Ilahi melalui ujian-ujian yang ditempuhi. Namun, semua itu telah ditempuhi, dikecapi dan dihayati dengan berhati-hati.

Bermula dengan saya diamanahkan menjadi setiausaha agong MPP dan kemudiannya Presiden MPM...secara peribadi saya dapat merasakan agak ramai sahabat yang sanggup berjalan bersama-sama saya di jalan yang amat licin, ada yang hanya bersorak dan memberi sokongan dari belakang, dan tidak dilupakan juga pada yang hanya ikut berjalan bersama-sama kemudian mereka riuh bertepuk tangan ketika saya terjatuh, tergelincir dan sebagainya.

Namun, apa yang berlaku ini mungkin sebahagian daripada apa yang telah saya gambarkan sebelum memulakan perjalanan dijalan yang licin itu.

Coretan ini jauh tujuan daripada mengaibkan mana-mana pihak tapi anggaplah ia satu percubaan dalam mencari kesatuan kerana Ilahi.

Firman Allah Taala dalam surah Ali Imran, ayat 103. "Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah sebagai orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka(tatkala kamu bermusuhan), lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk."

Kesatuan dan juga persaudaraan dalam islam itu adalah satu nikmat yang diturunkan oleh Allah kepada manusia. Maka siapa yang mensyukurinya, akan ditambahkan lagi nikmat itu oleh Allah. Sebaliknya siapa yang mengkufurinya, sesungguhnya seksaan Allah itu amatlah pedih. Begitu jugalah perumpaan suatu permusuhan itu umpama berada dijurang neraka. Oleh itu hindarilah sebarang persengketaan.

Syeikh Muhammad Bin Soleh Bin Othman dalam kitabnya pernah menyebut bahawa "Perselisihan pendapat itu adalah penambahan ilmu". Amat indah kata-kata itu, tetapi saya melihat perselisihan yang berlaku diantara pimpinan-pimpinan KUIS kini bukan lagi semata-mata menambah ilmu, akan tetapi ia mungkin membuka sedikit ruang kepada golongan-golongan yang iri hati dengan Islam itu untuk menghulurkan jarum-jarumnya seterusnya mudharat yang lebih besar bakal menimpa.

Mahasiswa KUIS yang selalu mengikuti perkembangan kepimpinan MPMKUIS melalui internet mungkin terbayang tentang apa yang cuba saya sampaikan kali ini. Mungkin bermula dengan sedikit isu-isu sensetif yang ditimbulkan oleh individu-individu tertentu yang kurang matang dilaman friendster, blog, web dan sebagainya telah menarik perhatian kelompok individu-individu yang lain, seterusnya kumpulan-kumpulan dan seterusnya ke seluruh mahasiswa KUIS terutamanya.

Secara peribadinya saya amat menggalakkannya mahasiswa KUIS khususnya untuk terlibat dalam menyumbangkan pendapat, memberi komen dan sebagainya terhadap isu-isu yang sedang berlaku. Tapi jagalah adab dalam berbicara, menulis sebagai seorang muslim supaya matlamat penulisan kalian itu tercapai. Saya percaya, tidak akan tersenarai dalam senarai matlamat penulis iaitu untuk menyakitkan hati pembacanya. Jika ada, sama-samalah kita jauhinya.

Dalam Surah Muhammad ayat yang terakhirnya yang mana bermaksud : "Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, dan orang-orang yang bersamanya itu amat berkeras ke atas orang-orang kafir dan mereka berkasih-sayang diantara mereka."

Orang-orang Islam itu amatlah menjaga tali persaudaraan sesama mereka dengan layanan berkasih-sayang kerana Allah, sebaliknya sikap bengis dan garang itu hanya patut ditunjukkan kepada musuh2 Islam sahaja. Oleh itu, kenapa kita berlumba untuk mewujudkan jurang antara muslimin kita ini?? semata-mata untuk mewujudkan persaingan?? jangan tertipu dengan belaian jiwa dan perasaan yang dibelai oleh musuh Allah...iaitu Syaitan laknatullah.

Mahasiswa KUIS sekalian,

MPMKUIS bukan semata-mata nama untuk digeruni atau dihormati oleh mahasiswa, tetapi ia adalah satu nama organisasi yang wajib dihayati fungsi dan peranannya bersama-sama. MPM bukan untuk dipuji apatah lagi untuk dimaki. Cukuplah dengan kerjasama dan sokongan daripada seluruh mahasiswa yang ada untuk menggerakkan fungsinya yang murni itu.

Kini mahasiswa KUIS banyak menyentuh soal corak kepimpinan yang pastinya berbeza pada setiap zaman kepimpinan mereka. Jika kalian mahu pertikaikan tentang sosok tubuh individu itu kerana kelemahannya, seeloknya tujukanlah cacian dan makian kalian itu pada individu tersebut sahaja. Kerana segala perubahan pada manusia itu bukan bermula dengan tarikan dari luar, tetapi ia bermula dengan tolakan dari dalam hati itu. Mungkin dengan teguran secara individu itu lebih mengundang perubahan, daripada teguran secara terbuka yang mungkin akan mengundang perbalahan yang lebih besar.

Pernah sesetengah pihak yang aktif dengan dunia blogger dan friendster ini bertanya pendapat saya tentang sedikit pergolakan yang berlaku dikalangan mantan pimpinan mahasiswa KUIS dalam PRK MPMKUIS baru-baru ini. Di iringi dengan kenyataan-kenyataan yang pelbagai yang telah ditonjolkan dalam bulletin friendster dan post2 atau komen2 blogger. Saya mengambil keputusan untuk berdiam diri (dalam internet) daripada mengeluarkan apa-apa kenyataan lagi kerana ia mungkin boleh mengeruhkan lagi keadaan. Saya berhajat untuk tidak mahu menambahkan satu kumpulan lagi daripada bilangan kelompok yang sedia ada kini.

Cukuplah sekadar saya menyatakan sokongan saya secara terbuka kepada calon2 PRK baru-baru ini. Dan kepada mereka yang telah berjaya memenangi PRK tersebut, backup pertama dalam apa jua situasi kalian ialah Allah Yang Maha Mencipta, kemudian diiringi dengan suara mahasiswa.

Terakhirnya, kepada penulis-penulis juga pembaca-pembaca atau penyumbang-penyumbang idea sekalian, hayatilah apa yang kalian tulis, apa yang kalian baca, dan apa yang kalian komen untuk direalisasikan dalam kehidupan yang realiti. Jangan sekadar tahu menaip sahaja tetapi dalam realitinya hanya berkurung di dalam bilik, tidak mahu terlibat dengan persatuan-persatuan, berjalan pun hanya ke bilik tutorial, cafetaria, CC, library dan sebagainya.

Sertailah persatuan-persatuan, program-program, diskusi-diskusi ilmiah kerana yang akan beruntung bukan orang yang menganjurkan tetapi orang yang menyertainya. Seterusnya hindari dan jauhilah sifat hasad dengki dan penyakit-penyakit yang ada dihati kerana ia akan memakan sedikit demi sedikit amal kebajikan yang anda kerjakan selama ini.

Semoga Allah ampun segala dosa saya sepanjang saya menulis memikul amanah tanggungjawab yang besar di KUIS ini dan jutaan terima kasih pada sahabat2 yang membantu selama ini, langsung ataupun tidak langsung dan ampun maaf atas ketelanjuran kata, janji yang tidak terkota, dan kekurangan dalam memikul amanah selama ini.

Salam Perjuangan.....

Friday, January 2, 2009

ESOK !! Dunia Milik Islam

Sesungguhnya Muslimin mempunyai kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain. Penegakan Daulah Islam yang pertama di Madinah telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati umat Islam. Gerakan dan cara yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah menjadi panduan kepada Muslimin hari ini untuk menegakkan Islam kembali. Perlu diyakini bahawa marhalah dakwah dan cara yang dilakukan oleh Rasulullah itu merupakan 'Rabbani Taujih' (panduan dari Allah) yang diberikan kepada Rasulullah sehingga Islam tertegak dengan megahnya dimuka bumi ini. Maka dengan bekalan pengalaman ini, muslimin mengatur langkah dalam menegakkan Islam kembali di muka bumi ini.

Selain daripada itu, muslimin mempunyai kekuatan yang tidak boleh dipandang lekeh oleh manusia. Kita boleh simpulkan bahawa muslimin mempunyai tiga unsur kekuatan yang mampu menggugat kekuatan musuh.

Pertama: Kekuatan kuantiti.

Islam pada hari ini mempunyai bilangan penganut yang hampir suku penduduk dunia yang tersebar di seluruh benua di dunia. Sesungguhnya jumlah yang ramai ini merupakan antara aset utama dalam menegakkan Islam. Ianya merupakan satu nikmat yang seharusnya di syukuri. Sepertimana firman Allah swt "Ingatlah, ketika kamu masih sedikit, kemudian kamu telah menjadi

banyak…"(Al A'araf: 86).

Jamaluddin Al Afghani pernah berkata kepada rakyat India: "Jika sekiranya bilangan kamu yang berjuta-juta ini semuanya menjadi lalat, nescaya kamu mampu untuk menghancurkan telinga Inggeris."

Kedua: Hasil Bumi.

Muslimin pada hari ini menetap di negara-negara yang amat kaya dengan hasil buminya. Negara yang yang kaya dengan minyak dan bahan galian yang lain serta tanah yang subur untuk pertanian. Semuanya ini merupakan kepunyaan muslimin.

Ketiga: Manhaj Rabbani.

Inilah kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain. Muslimin menyeru manusia kepada satu sistem yang mampu membawa keadilan dan kebahagiaan kepada alam sejagat. Sistem ciptaan manusia yang wujud pada hari ini sebenar telah membawa kepada kerosakan dan kesengsaraan kepada manusia. Manusia yang berfikir tidak akan sekali-kali menolak sistem Allah ini.

Oleh itu jelaslah kepada kita bahawa kelemahan umat Islam ini tidak akan selama-lama. Islam sekali lagi akan mencapai kejayaan dan menjadi pentadbir alam ini.

Sikap kita

Kita sebagai pejuang agama Allah ini seharusnya mempunyai sikap yang optimis dengan kejayaan yang bakal di hadapi oleh Islam. Kita tidak seharusnya bersifat putus asa dan keluh kesah dengan suasana dan penindasan musuh terhadap umat Islam. Malah kita yakin dengan janji-janji Allah bahawa Allah akan memenangkan agamanya walaupun dihalang oleh orang-orang kafir.

Dengan keyakinan ini bukan bermakna kita akan berdiam diri dan berpeluk tubuh dengan menunggunya kemenangan yang dijanjikan oleh Allah. Tetapi dengan keyakinan ini, seharusnya kita mempergandakan kesatuan, amalan dan usaha kita dalam menegakkan agama Allah ini.

Janganlah umat mengimpikan kemenangan muslimin terhadap Yahudi sedangkan umat masih lagi berpecah belah, berselisihan dan pergaduhan. Janganlah umat berangan-angan dengan kemenangan sedangkan umat masih lagi bermalasan dan tidak bersungguh-sungguh.

Mustahil kemenangan diberikan kepada orang yang bermalasan dalam berhadapan dengan musuh yang berjuang bersungguh-sungguh menghancurkan Islam. Mustahil kemenangan diberikan kepada umat yang hanya meluangkan cebisan waktu untuk Islam dalam berhadapan dengan musuh yang meluangkan sepenuh waktu untuk meruntuhkan Islam. Maka cepat atau lewatnya kemenangan Islam adalah di bahu kita bersama yang akan dipersoalkan oleh Allah Ta'ala nanti.

Dan ingatlah kata-kata Saidina Umar kepada sahabatnya: " Impikanlah" Seorang pemuda berkata: " Aku mengimpikan jika sekiranya negeri ini dipenuhi dengan emas lalu aku infakkan pada jalan Allah." Omar berkata lagi: "Impikanlah". Seorang pemuda berkata: "Aku mengimpikan jika negeri ini dipenuhi dengan batu permata lalu aku infakkan pada jalan Allah." Omar berkata lagi: "Impikanlah". Mereka berkata: "Kami tidak tahu apa yang hendak dikatakan wahai Amirul Mukminin" Omarpun berkata: "Tetapi aku mengimpikan rijal seperti Abu Ubaidah bin al Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim, hamba Abu Huzaifah. Lalu aku meminta pertolongan dari mereka untuk meninggikan kalimah Allah".

Itulah sebenarnya modal utama untuk kembali memerintah dunia ini. Seorang pemuda itu lebih berharga dan bernilai dari seluruh isi dunia. Maka pemuda inilah yang akan berjuang sehingga tertegaknya Dinul Islam ini.Percaya dan yakinlah hakikat kemenangan Islam di muka bumi ini. Al-Quran dan As-Sunnah telah menggambarkan kemenangan tersebut.

Kemenangan Islam Menurut

Al Quran.

Kemenangan Islam terhadap agama-agama lain.

" Dia yang mengutuskan RasulNya dengan petunjuk dan agama yang benar(agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrikin tidak menyukai" (At Taubah: 33)

Mukmin sebagai khalifah di muka bumi .

"Dan Allah telah menjanjikan bagi orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amalan soleh, bahawa Allah akan mengangkat mereka menjadi khalifah di muka bumi, sebagaimana orang-orang dahulu telah menjadi khalifah, dan Allah akan menetapkan agama mereka(Islam) yang diredhainya untuk mereka, dan akan menggantikan ketakutan mereka dengan keamanan. Mereka menyembah Aku dan tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu juapun. Barang siapa yang kafir sesudah itu, maka mereka itulah orang yang fasik." (An-Nur: 55)

Pertolongan Allah kepada Mukminin .

"Sehinggalah rasul-rasul itu telah berputus asa, dan mereka menyangka bahawa mereka telah didustakan, datanglah kepada mereka pertolongan kami, lalu diselamatkan orang-orang yang kami kehendaki. Dan tidak dapat ditolak siksa kami daripada orang-orang yang berdosa." (Yusuf: 110)

Hancurnya perancangan dan tipu daya musuh

"Mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya mereka dan Allah adalah sebaik-baik pembalas tipu daya."( Al Anfal: 30)

Kemenangan Islam menurut

As Sunnah :

Tersebarnya Islam di seluruh alam.

Diriwayatkan oleh Tamim Ad Dari, berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya, urusan ini (Islam) akan sampai ke mana sahaja uang sampai oleh malam dan siang. Allah tidak akan meninggalkan sebuah rumahpun daripada penduduk dusun dan kampung melainkan Allah akan memasukkan ke dalamnya agama ini, sama ada memuliakan orang yang mulia ataupun denga menghina orang yang hina, iaitu Allah muliakan dengan Islam dan menghinakan dengan kekufuran. (Riwayat Ahmad)

Kekuasaan Islam di Timur dan Barat

Daripada Thauban daripada Nabi s.a.w bersabda: " Sesungguhnya Allah telah melipatkan bumi bagiku (menghimpunkan dan mengumpulkannya) lalu akau dapat melihat timur dan baratnya. Sesungguhnya kekuasaan umatku akan sampai ke semua tempat bumi yang dilipatkan bagiku.." (Riwayat Muslim)

Kemenangan Muslimin terhadap Yahudi

Daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi s.a.w bersabda: "Tidak berlaku kiamat sehingga muslimin memerangi Yahudi. Mereka dibunuh oleh muslimin sehingga orang yahudi bersembunyi di sebalik batu dan pokok. Batu dan pokok itu berkata: Wahai muslim, wahai hamba Allah, Ini dia yahudi berada dibelakangku. Kemarilah dan bunuhlah dia. Melainkan pokok gharqad. Sesungguhnya ia adalah daripada pokok Yahudi" (Riwayat Muslim)

Kembalinya khalifah di atas manhaj Nubuwwah

Daripada Huzaifah, bahawa Nabi s.a.w bersabda: Berlakunya zaman kenabian di kalangan kamu sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah untuk belaku. Kemudian Allah mengangkatkannya (menghilangkannya) ketika mana dia mengkehendaki. Kemudian berlaku pula khilafah di atas manhaj kenabian. Maka berlangsunglah ia sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah untuk berlaku. Kemudian Allah mengangkat ketika mana Dia mengkehendakinya. Kemudian berlakunya pula pemerintahan raja yang 'menggigit' (zalim). Maka berlakula ia sepertimana yang dikehendaki oleh Allah. Kemudian Allah megangkatkannya. Kemudian berlaku pula pemerintahan raja 'paksaan' (kuku besi). Maka berlakulah ia sepertimana yang dikehendaki oleh Allah. Kemudian Allah mengangkatkannya ketika mana dia mengkehendaki. Kemudian berlaku pula khilafah di atas manhaj kenabiaan.