Alhamdulillah...terlebih dahulu setinggi-tinggi terima kasih dan syukur padaNYA, moga dengan keluangan masa yang diberi olehNYA ini dapat saya manfaatkan sebaik-baiknya.
Sekalung tahniah buat kemenangan yang bakal dikecapi oleh tentera2 Islam di Palestin. Juga tahniah buat kemenangan PAS di Terengganu. Dan tidak saya lupakan tahniah buat kemenangan calon2 Pilihanraya MPMKUIS 14 Januari lepas. Semoga dengan kemenangan2 tersebut Umat Islam menjadi lebih tegak berdiri di bumi Allah ini.
Saya agak terharu dan berbangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh semua ahli MPMKUIS 08/09 dalam syura pemilihan Presiden MPMKUIS 15 Januari baru-baru ini. Tahniah buat Sdr. Nasrul Izad atas perlantikan sebagai Presiden MPM kali ini. Jalankanlah tanggungjawab kalian dengan terbaik mungkin dengan kemampuan yang ada.
Kami dari barisan mantan MPMKUIS 07/08 bersedia membantu sedaya upaya. Walaupun kemampuan yang ada mungkin masih dipertikai oleh sesetengah pihak, namun kami percaya bahawa usaha kami selama ini tidak akan sia-sia. Berusaha bukan untuk dibangga, bukan juga untuk dijaja tapi mengharap redha dari Yang Maha Esa.
Sejak mula-mula saya melibatkan diri dalam kepimpinan Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIS 2006-2008, banyak harapan yang dibawa bersama, yang paling utama ialah untuk mengharapkan diri ini menjadi lebih dekat pada Ilahi melalui ujian-ujian yang ditempuhi. Namun, semua itu telah ditempuhi, dikecapi dan dihayati dengan berhati-hati.
Bermula dengan saya diamanahkan menjadi setiausaha agong MPP dan kemudiannya Presiden MPM...secara peribadi saya dapat merasakan agak ramai sahabat yang sanggup berjalan bersama-sama saya di jalan yang amat licin, ada yang hanya bersorak dan memberi sokongan dari belakang, dan tidak dilupakan juga pada yang hanya ikut berjalan bersama-sama kemudian mereka riuh bertepuk tangan ketika saya terjatuh, tergelincir dan sebagainya.
Namun, apa yang berlaku ini mungkin sebahagian daripada apa yang telah saya gambarkan sebelum memulakan perjalanan dijalan yang licin itu.
Coretan ini jauh tujuan daripada mengaibkan mana-mana pihak tapi anggaplah ia satu percubaan dalam mencari kesatuan kerana Ilahi.
Firman Allah Taala dalam surah Ali Imran, ayat 103. "Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah sebagai orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka(tatkala kamu bermusuhan), lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk."
Kesatuan dan juga persaudaraan dalam islam itu adalah satu nikmat yang diturunkan oleh Allah kepada manusia. Maka siapa yang mensyukurinya, akan ditambahkan lagi nikmat itu oleh Allah. Sebaliknya siapa yang mengkufurinya, sesungguhnya seksaan Allah itu amatlah pedih. Begitu jugalah perumpaan suatu permusuhan itu umpama berada dijurang neraka. Oleh itu hindarilah sebarang persengketaan.
Syeikh Muhammad Bin Soleh Bin Othman dalam kitabnya pernah menyebut bahawa "Perselisihan pendapat itu adalah penambahan ilmu". Amat indah kata-kata itu, tetapi saya melihat perselisihan yang berlaku diantara pimpinan-pimpinan KUIS kini bukan lagi semata-mata menambah ilmu, akan tetapi ia mungkin membuka sedikit ruang kepada golongan-golongan yang iri hati dengan Islam itu untuk menghulurkan jarum-jarumnya seterusnya mudharat yang lebih besar bakal menimpa.
Mahasiswa KUIS yang selalu mengikuti perkembangan kepimpinan MPMKUIS melalui internet mungkin terbayang tentang apa yang cuba saya sampaikan kali ini. Mungkin bermula dengan sedikit isu-isu sensetif yang ditimbulkan oleh individu-individu tertentu yang kurang matang dilaman friendster, blog, web dan sebagainya telah menarik perhatian kelompok individu-individu yang lain, seterusnya kumpulan-kumpulan dan seterusnya ke seluruh mahasiswa KUIS terutamanya.
Secara peribadinya saya amat menggalakkannya mahasiswa KUIS khususnya untuk terlibat dalam menyumbangkan pendapat, memberi komen dan sebagainya terhadap isu-isu yang sedang berlaku. Tapi jagalah adab dalam berbicara, menulis sebagai seorang muslim supaya matlamat penulisan kalian itu tercapai. Saya percaya, tidak akan tersenarai dalam senarai matlamat penulis iaitu untuk menyakitkan hati pembacanya. Jika ada, sama-samalah kita jauhinya.
Dalam Surah Muhammad ayat yang terakhirnya yang mana bermaksud : "Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, dan orang-orang yang bersamanya itu amat berkeras ke atas orang-orang kafir dan mereka berkasih-sayang diantara mereka."
Orang-orang Islam itu amatlah menjaga tali persaudaraan sesama mereka dengan layanan berkasih-sayang kerana Allah, sebaliknya sikap bengis dan garang itu hanya patut ditunjukkan kepada musuh2 Islam sahaja. Oleh itu, kenapa kita berlumba untuk mewujudkan jurang antara muslimin kita ini?? semata-mata untuk mewujudkan persaingan?? jangan tertipu dengan belaian jiwa dan perasaan yang dibelai oleh musuh Allah...iaitu Syaitan laknatullah.
Mahasiswa KUIS sekalian,
MPMKUIS bukan semata-mata nama untuk digeruni atau dihormati oleh mahasiswa, tetapi ia adalah satu nama organisasi yang wajib dihayati fungsi dan peranannya bersama-sama. MPM bukan untuk dipuji apatah lagi untuk dimaki. Cukuplah dengan kerjasama dan sokongan daripada seluruh mahasiswa yang ada untuk menggerakkan fungsinya yang murni itu.
Kini mahasiswa KUIS banyak menyentuh soal corak kepimpinan yang pastinya berbeza pada setiap zaman kepimpinan mereka. Jika kalian mahu pertikaikan tentang sosok tubuh individu itu kerana kelemahannya, seeloknya tujukanlah cacian dan makian kalian itu pada individu tersebut sahaja. Kerana segala perubahan pada manusia itu bukan bermula dengan tarikan dari luar, tetapi ia bermula dengan tolakan dari dalam hati itu. Mungkin dengan teguran secara individu itu lebih mengundang perubahan, daripada teguran secara terbuka yang mungkin akan mengundang perbalahan yang lebih besar.
Pernah sesetengah pihak yang aktif dengan dunia blogger dan friendster ini bertanya pendapat saya tentang sedikit pergolakan yang berlaku dikalangan mantan pimpinan mahasiswa KUIS dalam PRK MPMKUIS baru-baru ini. Di iringi dengan kenyataan-kenyataan yang pelbagai yang telah ditonjolkan dalam bulletin friendster dan post2 atau komen2 blogger. Saya mengambil keputusan untuk berdiam diri (dalam internet) daripada mengeluarkan apa-apa kenyataan lagi kerana ia mungkin boleh mengeruhkan lagi keadaan. Saya berhajat untuk tidak mahu menambahkan satu kumpulan lagi daripada bilangan kelompok yang sedia ada kini.
Cukuplah sekadar saya menyatakan sokongan saya secara terbuka kepada calon2 PRK baru-baru ini. Dan kepada mereka yang telah berjaya memenangi PRK tersebut, backup pertama dalam apa jua situasi kalian ialah Allah Yang Maha Mencipta, kemudian diiringi dengan suara mahasiswa.
Terakhirnya, kepada penulis-penulis juga pembaca-pembaca atau penyumbang-penyumbang idea sekalian, hayatilah apa yang kalian tulis, apa yang kalian baca, dan apa yang kalian komen untuk direalisasikan dalam kehidupan yang realiti. Jangan sekadar tahu menaip sahaja tetapi dalam realitinya hanya berkurung di dalam bilik, tidak mahu terlibat dengan persatuan-persatuan, berjalan pun hanya ke bilik tutorial, cafetaria, CC, library dan sebagainya.
Sertailah persatuan-persatuan, program-program, diskusi-diskusi ilmiah kerana yang akan beruntung bukan orang yang menganjurkan tetapi orang yang menyertainya. Seterusnya hindari dan jauhilah sifat hasad dengki dan penyakit-penyakit yang ada dihati kerana ia akan memakan sedikit demi sedikit amal kebajikan yang anda kerjakan selama ini.
Semoga Allah ampun segala dosa saya sepanjang saya menulis memikul amanah tanggungjawab yang besar di KUIS ini dan jutaan terima kasih pada sahabat2 yang membantu selama ini, langsung ataupun tidak langsung dan ampun maaf atas ketelanjuran kata, janji yang tidak terkota, dan kekurangan dalam memikul amanah selama ini.
Salam Perjuangan.....
No comments:
Post a Comment