Thursday, April 1, 2010

Apa tujuan kamu hidup??

Apakah tujuan kamu hidup ??

Memang nampak ringkas dan mudah, tapi amat sukar untuk dijawab. Soalan ini menjadi soalan killer pada mereka yang tidak mengerti makna kehidupan, dan menjadi soalan score pada mereka yang mengerti makna kehidupan.

Hidup tanpa tujuan ibarat dunia tanpa kutub, bumi tanpa gravity, rumah tanpa lampu, kat-kata tanpa huruf, ucapan tanpa suara, pandangan tanpa mata, pendengaran tanpa telinga, kepala tanpa otak, dan dada tanpa jantung.


Walau apa pun tujuan kehidupan, ketahuilah…ia memberi makna yang bererti dalam menghabiskan waktu2 kehidupan ini sehingga menjadi lebih bererti.


Persoalan tersebut mengundang jawapan yang berbeza bergantung pada individu tersebut menjiwai erti kehidupannya sendiri. Namun, penetapan tujuan hidup adalah bahagian paling penting dalam kehidupan dan usaha untuk mencapainya adalah seni dalam kehidupan.


Bilakah tujuan kehidupan saya akan tercapai??


Jawapannya, ketika saya mula berusaha untuk mencapai tujuan kehidupan saya itu, pada saat itulah tujuan sudah berjaya dicapai. Kerana kejayaan itu merupakan suatu perjalanan dan bukannya sekadar terhenti di satu kedudukan selepas mencapai cita-cita.


Tujuan kehidupan wujud di segenap lorong2 waktu, namun waktu tidak mempengaruhi tujuan itu. Waktu akan terus berlalu walaupun manusia tidak mempunyai tujuan hidupnya. Mereka yang mempunyai matlamat dan tujuan hidupnya akan menghargai waktu yang berlegar disekelilingnya.


Setiap manusia dibekalkan dengan waktu (24jam) yang sama, tetapi mereka memiliki kemampuan dan kecekapan yang berbeza antara satu sama lain.


Firman Allah Taala yang bermaksud : “Demi Masa, Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, dan mereka tolong-menolong dengan kebenaran dan dan juga tolong-menolong dengan kesabaran”


Kenapa dikaitkan rugi dengan masa ??


Kerana setiap sesuatu itu mempunyai kaitan dengan masa. Kerja, tidur, belajar, peperikasaan, lahir, mati dan segalanya. Oleh itu, berjayalah bagi siapa yang pandai menguruskan masanya, dan rugilah bagi yang sebaliknya. Antara cara pengurusan masa yang baik adalah dengan mempunyai tujuan dalam kehidupan.


Setiap perbuatan dan percakapan yang kita lakukan semestinya mempunyai tujuan, samada untuk jangka masa pendek atau panjang. Kerana melakukan perkara sia-sia itu amatlah dilarang oleh islam. Nabi S.A.W pernah bersabda –“ Meninggalkan segala yang tidak member manfaat itu adalah sebahagian daripada kebaikan Islam.”


Oleh itu, kualiti amalan yang paling tertinggi dalam islam adalah dengan seseorang itu melakukan amalan dengan rasa “ikhlas”, iaitu melakukan sesuatu hanya kerana Allah dan tidak mengharapkan apa-apa balasan. Namun, ikhlas ini tidak akan hadir begitu saja dalam hati manusia melainkan dengan dimulakan dengan tujuan dan usaha mencapainya.


Firman Allah yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu , melainkan mereka (berusaha) mengubahnya sendiri..”


Rohani dan jasmani yang kita miliki pada hari ini adalah nafas kepada “tujuan”. Sekiranya sehingga kini kita masih boleh menikmati nafas kehidupan bererti kita masih lagi berkesempatan untuk menetap dan mencapai tujuan kihidupan kita dengan optimum.


Hidup di dunia ini adalah kehidupan yang sementara sahaja. Apa yang kita lakukan itu bakal menjadi kenangan bagi orang lain. Kejayaan dalam kehidupan bukan hanya diukur dengan melihat tahap atau prestasi pencapaian, tetapi diukur terhadap kejadian yang kita alami dalam kehidupan.


“Ketika kamu kahir, kamu menangis dan seluruh dunia berbahagia. Jalanilah kehidupan kamu dengan penuh makna, supaya apabila kamu meninggalkan dunia, dunia akan menangis dan kamu akan berbahagia.”


Membuat kehidupan ini lebih bermakna, bererti kita memulakannya dengan menetapkan tujuan hidup yang jelas dan terarah. Antara tujuan kehidupan yang dicadangkan dalam Al-Quran adalah:


والذين يقولون ربنا هب لنا من أزواجنا وذرياتنا قرة أعين واجعلنا للمتقين إماماً


Dan orang-orang yang berkata : “ wahai tuhan kami, kurniakanlah kepada kami pasangan hidup dan zuriat kami yang menyejukkan mata (soleh / solehah) dan jadikanlah kami sebagai ketua kepada orang-orang yang bertaqwa”


Tujuan kehidupan yang dicadangkan ini berbentuk doa yang dirakamkan dalam Al-Quran. Kerana doa adalah pengharapan dan permintaan hamba terhadap Penciptanya. Berdoa juga merupakan cara kedua bagi seorang hamba untuk mencapai matlamat atau tujuannya selepas ia berusaha. Sekali gus doa menjadi peransang dan pemotivasi untuk berusaha dan terus berusaha.


Tujuan yang dicadangkan adalah menjadi ketua kepada orang2 bertaqwa. Tampak cita2 dan harapan itu amat tinggi untuk dicapai, namun ia tidak mustahil untuk dicapai dengan izin Allah Taala. Kerana kita tidak dapat memastikan apa yang akan terjadi di masa akan datang, tetapi kita mampu memilih dan menentukan tujuan hidup kita ketika ini.


Bermula daripada tujuan hidup, segala aspek kehidupan selepas itu akan dapat dirancang dengan dinamik dan bermakna.Orang yang memiliki tujuan hidup memiliki perspektif yang lurus dan benar ketika dia cuba untuk menjalaninya.


No comments: